Tarmizi Mohd  Jam
PAS amat kesal, walaupun tidak terkejut  dengan tindakan ‘mengunci mulut’ Menteri Di Jabatan Perdana Menteri  (JPM), Senator Jamil Khir Baharom, seluruh mufti dan para ulama Umno di  negara ini apabila berdepan dengan isu pemilikan saham Amanah Raya  Berhad (ARB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam syarikat  perjudian Magnum Corporation dan syarikat arak terkemuka Calsberg.
Lajnah Pekerja & Sumber Daya  Rakyat PAS Wilayah Persekutuan menyifatkan Jamil Khir sebagai menteri  yang menjaga hal ehwal agama patut bertanggungjawab sepenuhnya  menasihati Kerajaan Umno-BN dalam perkara yang amat serius, melibatkan  pelanggan dan pencarum (pekerja) di kalangan umat Islam di negara ini.
PAS berpendapat  ARB yang menjalankan tugas memegang amanah rakyat seharusnya bebas dan  bersih daripada sebarang label dalam syarikat perjudian. Apa yang  menghairankan mengapa Kerajaan Umno-BN ‘terkunci mulut’ dalam perkara  ini sedangkan dalam isu-isu yang melibatkan Pakatan Rakyat, segala macam  pemimpin Umno-BN begitu ghairah mendalangi propaganda dan manipulasi.
Sikap anti arak  yang ditampilkan Umno-BN sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Hulu  Selangor dengan menentang tabiat buruk Dato' Zaid Ibrahim meneguk arak  semasa mudanya, dan beberapa siri demontrasi Umno membantah Kerajaan  Selangor dalam isu penjualan arak di tempat terbuka patut dipuji; tetapi  realitinya tindakan dan sikap itu hanyalah ‘lakonan munafik’ apabila  isu melibatkan pendapatan negara dan wang rakyat dalam pelaburan judi  dan arak, mereka hanya membisu dan memekakkan telinga.
PAS mahu semua  Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri membentangkan isu ini kepada mufti  dan membawanya kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk tindakan  lanjut demi mempertahankan maruah umat Islam di negara ini. Jabatan  Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mufti harus berpendirian tegas  setelah banyak pihak kesal dengan langkah yang diambil Perkeso dan ARB  ini, sekalipun ulama Umno enggan bersuara.
ARB memiliki saham  Magnum terdedah berdasarkan Laporan Tahunan Magnum Corporation 2006  yang menyatakan Amanah Raya Berhad memiliki lebih 11 juta unit saham  dalam syarikat judi itu. Sementara, Laporan Tahunan 2007-2009 syarikat  Calsberg Brewery Malaysia Berhad, mendapati Perkeso berada di tangga ke  lapan dengan 2. 155,700 pegangan saham.
TARMIZI  MOHD JAM
Setiausaha  Lajnah (Biro) Pekerja dan
Sumber Daya Rakyat PAS Wilayah Persekutuan
 


 
 
 
 





 
0 ulasan:
Catat Ulasan