KUALA LUMPUR, 25 Mei: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penyelesaian isu tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar harus didasarkan kepada prinsip ketelusan terutamanya apabila ianya membabitkan kepentingan nasional dan khazanah negara.![]() “Kita hargai kepentingan hubungan antara kedua negara ini terutamanya menyangkuti bidang ekonomi dan pelaburan serta usaha berterusan bagi menyelesaikan isu berbangkit. “Kita difahamkan bahawa isu tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad yang selama ini menjadi pertikaian di antara Malaysia dan Singapura telah diselesaikan semalam,” ujarnya. Katanya, penyelesaian yang kononnya dikenali sebagai “penyelesaian muktamad” agak mengejutkan kerana setahu beliau beberapa persoalan berkaitan kepentingan negara di negara jiran itu adalah lebih rumit dan harus ditangani dengan bijak serta teliti. Menurutnya, kenyataan bersama Datuk Seri Najib Razak kelihatannya mengakibatkan beberapa kepentingan negara; Stesen Keretapi Tanjung Pagar, beberapa keping tanah di Kranji, Woodlands, Tanjung Pagar serta Lot 76-2 mk 16, Lot 249 Mk 4 dan Lot 32-10 Mk 16 dipercayai merugikan. “Kita gusar kerana persefahaman yang dipersetujui YAB Perdana Menteri itu dibuat serta diumumkan dengan tergesa-gesa tanpa memberi maklumat terperinci sedangkan persoalan ini membabitkan isu kedaulatan dan kepentingan negara. Ini bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri dan kerajaan sebelum ini,” ujarnya. Menurutnya lagi, sungguhpun dinyatakan tanah-tanah tersebut akan diamanahkan kepada sebuah syarikat yang bernama M-S Pte Ltd di mana Khazanah memiliki 60% dari kepentingannya, namun dari kenyataan tersebut terdapat kemungkinan besar kepentingan-kepentingan terbabit akan ditukarkan dengan tanah di kawasan yang lain. “Kita curiga nilai tanah yang ditukarkan itu; sama ada di Marina South dan/atau Ophor Rochir, tidak menandingi nilai tanah milik KTMB itu. Apa yang lebih membimbangkan pembabitan Khazanah hanyalah sebagai alasan untuk meletakkan kepentingan syarikat kroni. “Kita tuntas mempersoalkan kebijaksanaan keputusan Kerajaan Malaysia kerana sebarang pembangunan yang bakal dilaksanakan nanti pastinya tidak berupaya menjana kegiatan ekonomi domestik,” katanya yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat. Beliau mempersoalkan berapa ramaikan para pengusaha, kontraktor mahupun pembekal Malaysia yang bakal terlibat dengan pembangunan usahasama Syarikat M-S Pte Ltd itu. Anwar juga menggesa pentadbiran Najib untuk segera menjelaskan secara terperinci maksud sebenar bahawa points of agreement (POA) di antara Kerajaan Singapura dan Malaysia boleh ditambahkan dengan terma serta syarat baru kononnya untuk memaksimumkan potensi tanah-tanah tersebut di negara jiran itu. Beliau juga mahukan penjelasan sama ada Najib menggunakan POA 1990 yang digariskan Tun Daim Zainuddin, menteri kewangan ketika itu sedangkan ianya tidak mendapat persetujuan Kabinet. Selain itu, katanya kerajaan sewajarnya menjelaskan apakah kedudukan sebenar isu air serta wujudnya penyemakan semula harga air mentah yang kita bekalkan kepada Singapura. “Kita menggesa Datuk Seri Najib untuk membentangkan kertas laporan di sidang parlimen pada bulan Jun ini,” katanya lagi. |
Selasa, 25 Mei 2010
Penyelesaian isu tanah KTMB mesti telus
Label: ISU RAKYAT
Ahad, 2 Mei 2010
Dua Medan Minyak: Surat Terbuka Untuk Najib YAB Perdana Menteri Malaysia
PENYERAHAN SEMPADAN LAUT MENGANDUNGI DUA MEDAN MINYAK BLOK L DAN M KEPADA BRUNEI DARUS SALAM - POHON PENJELASAN.
Saya yakin YAB sudah mengikuti laporan media mengenai isu sempadan perairan Malaysia yang telah diserahkan kepada Brunei - seperti kenyataan akhbar bekas Perdana Menteri pada Juma'at lalu.
Bersekali dengan penyerahan sempadan laut ini, dua medan minyak yang kaya yang dulunya milik negara kita, juga dengan sendirinya menjadi milik Kerajaan Brunei.
Dua blok minyak itu dulunya adalah milik Petronas dan Petronas telah pun menganugerahkan konsesi kawasan ini untuk pengeluaran kepada Petronas Carigali dan Murphy Oil sejak 2003 dan berkuatkuasa bulan April tahun ini, perjanjian konsesi berkenaan terpaksa ditamatkan.
Isu yang lebih besar dan memerlukan penjelasan awam yang segera dari Kerajaan pimpinan YAB ialah bagaimana Kabinet Malaysia pada 11 Februari 2009 boleh bersetuju dengan pelepasan kedaulatan Malaysia ke atas wilayah berkenaan.
Seperti disebutkan dalam kenyataan Tun Abdullah, ia adalah 'overlapping area'. Jika ianya 'overlapping area' sebagaimana kawasan-kawasan lain seperti JDA dan CAA, mengapa Malaysia dengan mudah melepaskannya? Jika kawasan lain tidak kita lepaskan kedaulatannya, mengapa yang ini kita lepaskan?
Adakah Malaysia tidak yakin bahawa kita mempunyai hak ke atas kawasan perairan ini dan adakah Malaysia telah mengkaji dengan teliti bahawa tuntutan kita ke atas kawasan ini memang tidak kukuh?
Jika kita tidak mempunyai hak ke atasnya sama sekali, bagaimana Brunei boleh mengizinkan kita terlibat sama dalam perkongsian pengeluaran bagi kedua-dua blok itu dalam tempoh empat puluh tahun?
Mengapa pula sebelum ini kita telah menandatangani perjanjian konsesi dengan Murphy Oil jika kita tidak yakin ia adalah milik kita?
Bukankah selama ini kawasan ini dalam perairan kita dan tiba-tiba kita tidak mempunyai asas yang kukuh untuk terus memilikinya?
2. Selepas keputusan Kabinet dibuat dan langkah menandatangani perjanjian dengan Brunei dilakukan pada 16 Mac 2009, mengapa rakyat Malaysia tidak dimaklumkan mengenai keputusan Kerajaan menyerahkan perairan bersekali dengan medan minyak itu?
Mengapa tidak juga ada penjelasan Parlimen dibuat?
Rakyat Malaysia hanya mendapat tahu kedudukan ini melalui kenyataan Murphy Oil kepada NYSE selepas konsensinya dibatalkan.
YAB sendiri tidak pernah berterus terang dengan keputusan ini dan tidak mengambil langkah menjelaskannya kepada umum sampai hari ini.
Mengapa ia harus disembunyikan jika fakta-fakta tuntutan tidak menyebelahi kita dan kita tidak mempunyai pilihan lain melainkan menyerahkan wilayah ini kepada Brunei?
Jika sebaliknya, iaitu kita sememangnya mempunyai fakta kukuh ke atas tuntutan ini dan penyerahan ini hanyalah kerana keputusan politik semata-mata, rakyat berhak untuk tahu apakah sebab politik mendesak sehingga keputusan seperti itu dibuat.
Adakah ia semata-mata untuk menyenangkan hati Perdana Menteri waktu itu dan seluruh Kabinet menerima keputusan ini walau pun ianya merugikan negara?
Jika sebiji pulau kecil sebesar Batu Putih kita perjuangkan hingga saluran terakhir, mengapa wilayah sebesar dan sekaya itu kita lepaskan sebegitu mudah?
Apakah asas-asas yang dterima untuk Kabinet memutuskan sedemikian?
3. Rakyat Malaysia juga berhak untuk tahu apakah tawaran gantian kepada Murphy Oil atau sebarang ganjaran atas penamatan konsensi berkenaan?
Sehingga satu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Kerajaan, isu ini sungguh memilukan kami rakyat Malaysia. Pilu bukan sahaja kerana hilangnya wilayah kita dengan sebegitu mudah, malah timbul keraguan terhadap tahap tanggungjawab pemimpin negara, bahkan tahap kemampuan mereka membuat keputusan untuk kepentingan negara dengan wajar dan tepat.
Terima kasih.
Husam Musa
2 Mei 2010.
Label: ISU RAKYAT
Peguam Perancis Di KL Siasat Scorpene
Joseph Breham, seorang daripada anggota perundangan Perancis yang memfailkan aduan di mahkamah di Paris berhubung skandal pembelian kapal selam kepada kerajaan Malaysia dijangka mendarat di Kuala Lumpur hari ini.
Misi Breham adalah untuk mencari maklumat lanjut bagi menyediakan kes berkenaan serta berjumpa dengan pertubuhan hak asasi manusia, Suaram, yang juga adalah anak guamnya dalam kes berkenaan.
Perjanjian pembelian kapal selam yang menelan belanja berbilion dolar itu dimeterai oleh menteri pertahanan ketika itu (2002), Datuk Seri Najib Razak yang kini adalah perdana menteri Malaysia.
Perjanjian itu dikatakan memberi komisyen RM3.7 billion kepada seorang sekutu rapat Najib, Abdul Razak Baginda.
Nilai pembelian itu adalah untuk memperolehi dua kapal selam kelas diesel – yang dibina oleh Armaris, sebuah anak syarikat firma pertahanan gergasi Perancis, DCN (yang dulunya dikenali sebagai Direction des Constructions Navales) dan pemajakan kapal selam ketiga yang sudah bersara yang diusahakan oleh sebuah syarikat usahasama antara DCN dan firma, Sepanyol, Agosta.
Breham, seorang daripada tiga peguam yang memfailkan kes berkenaan dengan pihak pendakwaan Perancis bagi pihak Suaram memberitahu Asia Sentinel bahawa mahkamah Perancis telah membuka siasatan awal dan akan menasihatkan anak guamnya berhubung langkah seterus mereka.
Breham, Renaud Semerdjian dan peguam utama, William Bourdon, memfailkan permohonan bagi menyiasat rasuah dan wang umpanan ke atas DCN pertama kali pada Disember dan memfailkan dokumen tambahan pada Februari lalu.
Kes berkenaan menjadi tajuk utama media di Malaysia berikutan pembunuhan ngeri seorang penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada Oktober 2006 yang juga adalah kekasih Razak Baginda yang mengiringinya ke Perancis berhubung beberapa urusniaga pembelian kapal selam berkenaan.
Altantuya yang juga seorang model dijumpai dalam keadaan berkecai diletupkan dengan bahan peledak milik pihak keselamatan di sebuah hutan di luar Kuala Lumpur.
Dua daripada polis pengawal peribadi Perdana Menteri yang diarahkan menghalang Altantuya oleh ketua staff Najib, Musa Safri telah didapati bersalah oleh makamah dan dijatuhkan hukuman mati.
Namun, Najib, mahupun Musa belum disoal-siasat oleh pihak berkuasa berhubung kes berkenaan.
Walaupun rekod menunjukkan bahawa Najib berada di Perancis pada masa yang sama ketika Altantuya dan Razak Baginda, beliau berulang-kali telah bersumpah kepada Allah bahawa dia tidak mengenali model Mongolia itu.
Sebuah laporan yang difailkan oleh seorang penyiasat persendirian yang diupah oleh Razak Baginda mendakwa Altantuya adalah kekasih pertama Najib.
Selepas Altantuya dibunuh, pihak berkuasa menjumpai sepucuk surat yang mengatakan bahawa wanita itu akan memeras ugut Razak Baginda untuk sejumlah US$500,000, walaupun tujuan wang itu tidak disebut.
Selain kos kapal selam dan juga komisyen yang tinggi, lebih menggemparkan kontrak asal menyebut kapal selam berkenaan tidak mempunyai kelengkapan senjata dan peralatan mengesan. Pihak ketenteraan Malaysia perlu membuat bayaran tambahan €130 juta (RM550 juta) untuk melengkapkan kapal selam itu.
“Adakah ini bermakna, kita membeli besi kosong?” soal seorang pegawai tentera yang tidak mahu dikenali, menerusi email kepada Asia Sentinel.
Label: ISU RAKYAT
Skandal Pembelian Kapal Selam
Pakatan Rakyat memuji Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) kerana memulakan aduan rasuah di Mahkamah Perancis berhubung urus niaga bernilai RM 4.7 bilion di antara Kerajaan Malaysisa dan DCN, konglomerat senjata terbesar Perancis. Urus niaga ini melibatkan Razak Baginda, yang dikenali sebagai penasihat kepada Perdana Menteri Najib Razak sehinggalah berlakunya pembunuhan penterjemah Mongolia, Altantuya Shariibuu di Malaysia.
Sistem keadilan Malaysia, secara khususnya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) gagal mengenal pasti isu-isu rasuah yang kini sedang dibawa SUARAM ke dalam sistem perundangan Perancis. Amat mengaibkan, rakyat Malaysia terpaksa pergi ke Perancis untuk mendapatkan penjelasan dan ketelusan terhadap rasuah yang membazirkan berbilion ringgit duit orang ramai.
Namun demikian, ia bukan hanya tentang kegagalan SPRM.
http://anwaribrahimblog.com
Pembunuhan Altantuya juga masih belum diselesaikan. Seluruh negara tahu bahawa dua orang anggota polis yang disabitkan kesalahan, Azilah Hadri dan Sirul Azhar hanyalah perkakas yang digunakan untuk membunuh Altantuya. Ibarat telah ada alat sepucuk pistol tetapi siapa yang menarik picu melepaskan peluru? Kesemua lembaga-lembaga negara kita – polis, Jabatan Peguam Negara dan Kehakiman telah gagal, secara sengaja atau akibat kecuaian untuk memberikan jawapan kepada soalan mustahak ini.
Beberapa soalan penting yang masib belum berjawab berkaitan dengan urus niaga kapal selam dan pembunuhan sensasi:
Apakah peranan Perdana Menteri Najib Razak dalam urus niaga kapal selam tersebut, hubungan dengan penasihatnya Razak Baginda yang membuat keuntungan luar biasa daripada urusniaga itu dan penglibatannya dalam pembunuhan Altantuya Shariibuu?
Apakah yang dimaksudkan dengan meminta bantuan yang dibuat Razak Baginda kepada Musa Safri, Ketua Pengawal Najib pada malam 19 Oktober 2006 melalui telefon selepas Sirul dan Azilah sampai dengan seorang anggota polis wanita, Lans Koperal Rohainaza serta membawa pergi Altantuya dari hadapan rumah Razak di Bukit Damansara dan tidak ditemukan lagi selepas itu? Siapa yang mengarahkan anggota polis terbabit ke sana?
Apakah yang dibuat pegawai khas Najib Tun Razak selama 20 tahun, Nasir Safar memandu kereta Proton merah yang muncul di hadapan rumah Razak, beberapa ketika sebelum anggota polis tersebut muncul dan membawa Altantuya pergi?
Apakah Nazim Razak menawarkan sejumlah wang yang besar kepada penyiasat persendirian Balasubramaniam (gambar kiri) dan juga mengancam keluarganya apabila dia bertemu Bala pada malam 3 Julai 2008 selepas Bala mengeluarkan pengakuan bersumpahnya yang pertama?
Apa pula penglibatan Deepak Jaikishan yang dikenal rapat dengan Rosmah Mansor dalam pembuatan akuan bersumpahnya yang kedua, serta peranannya dalam mengaturkan pertemuan di antara Nazim Razak dan Bala?
Bagaimana dengan kewujudan gambar yang diperkatakan Burmaa OyunChinmeg, sepupu Altantuya, yang menunjukkan Najib, Razak dan Altantuya makan malam bersama di sebuah restoran di Paris? Kenapa Arnaud Dubus, wartawan Perancis, berkata bahawa bapa Altantuya memberikan gambar tersebut kepada bekas Konsul Kehormat Kedutaan Mongolia di Malaysia, Syed Abdul Rahman Alhabshi dari Wisma Putra Malaysia. Abdul Rahman kemudiannya memberikan gambar tersebut kepada pihak polis yang akhirnya hilang selepas itu.
Kenapa syarikat yang baru ditubuhkan Razak Baginda, Perimekar terlibat dalam urus niaga kapal selam ini memandangkan ianya tidak memiliki keupayaan, kemampuan kewangan atau kepakaran untuk mendokong pemberian kontrak tersebut?
Mengapa kerajaan tidak berurusniaga secara langsung dengan konglomerat senjata Perancis tersebut?
Siapa yang memberi arahan untuk membunuh kerana dua orang pengawal tersebut tidak mempunyai motif untuk membunuh Altantuya?
Kenapa penyiasat persendirian Balasubramaniam yang membuat perakuan bersumpah dan dakwaan lainnya terhadap penglibatan Najib dan para pegawainya (Musa Safri dan Nasir Safar) lari dari Malaysia? Apakah yang perlu dilakukan bagi menjamin keselamatan Bala untuk ikut terlibat dalam penyiasatan ini?
Mengapakah pembantu Najib, Musa Safri dan Nasir Safar tidak dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan?
Pakatan Rakyat amat menyokong penyiasatan ini dibuat atas kepentingan keadilan serta ketelusan. Pakatan Rakyat juga mendesak kerajaan dan institusi-institusi negara yang berkenaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya serta jujur dalam penyiasatan ini.
Label: ISU RAKYAT
Misteri kehilangan dua blok padang minyak
http://kadirjasin.blogspot.com
ADAKAH benar dakwaan bekas Pardana Menteri, (Tun) Dr Mahathir Mohamad dan akhbar The Edge bahawa Kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran (Tun) Abdullah Ahmad Badawi telah secara diam-diam menyerahkan dua blok padang minyak (oil fields) kepada negara Brunei?
Dr Mahathir menulis dalam blongnya semalam bahawa Blok L dan M telah secara diam-diam dan tanpa pengetahuan Petronas diserahkan kepada Brunei walaupun Petronas telah menandatangani perjanjian perkongsian pengeluaran dengan syarikat minyak Amerika, Murphy Oil.
Dr Mahathir yang juga Penasihat Petronas berkata dua blok itu dituntut oleh Malaysia berasaskan fakta sejarah dan dianggarkan mempunyai simpanan minyak mentah mutu tinggi sebanyak 1 bilion tong.
Laporan The Edge dan The Brunei Times mendakwa dua blok padang minyak itu tidak lagi dimiliki Malaysia.
Akhbar ekonomi The Edge pada 22 April memetik Murphy Oil sebagai berkata Petronas telah menamatkan kontrak perkongsian pengeluaran untuk Blok L dan M kerana padang minyak itu “bukan sebahagian daripada Malaysia lagi".
Murphy Oil berkata Petronas telah memaklumkan kepadanya pada 21 April bahawa “berikutan pelaksanaan pertukaran surat antara Malaysia dan Brunei pada 16 Mac, 2009, kawasan penerokaan luar pantai yang diberi nama Blok L dan M bukan lagi sebahagian daripada Malaysia.”
Kerajaan wajib menjawab sama ada dakwaan Dr Mahathir dan laporan media massa itu benar atau sebaliknya. Kalau benar, ini adalah perbuatan menyembunyikan maklumat yang boleh dianggap satu pengkhianatan.
Kalau benar, kenapakah padang minyak itu tiba-tiba bukan lagi milik kita dan adakah benar pemilik barunya adalah Brunei?
Adakah ini ada kena mengena dengan penyelesaian yang kononnya telah dicapai dengan Brunei mengenai tuntutan negara itun ke atas Limbang, Sarawak?
Pada 16, 2009 Bernama memetik Abdullah sebagai berkata di Bandar Seri Bengawan bahawa “Brunei telah secara rasmi menggugurkan tuntutannya yang lama ke atas Limbang.”
Abdullah berkata pengguguran tuntutan oleh Brunei itu adalah sebahagian daripada Pertukaran Surat-Surat yang dimeterai beliau dengan Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.
Tetapi dua hari kemudian, pada 18 Mac, Menteri Luar dan Perdadangan Kedua Brunei, Lim Jock Seng, dipetik oleh akhbar The Brunei Times sebagai berkata “isu tuntutan wilayah ke atas Limbang tidak dibincangkan dalam perjanjian-perjanjian yang ditandatangani pada hari Isnin yang menyelesaikan isu dua-hala yang tertangguh antara Brunei Darussalam dan Malaysia.”
Dr Mahathir dalam blognya berkata Kementerian Luar Negeri Malaysia tidak pernah menafikan kenyataan Brunei itu.
Jadi adakah kita kehilangan dua padang minyak kepada Brunei tetapi Brunei tidak menggugurkan tuntutan ke atas Limbang?
Kerajaan Mohd Najib Abdul Razak perlu memberi penjelasan tanpa sebarang percubaan “cover-up”.
Setelah kita kehilangan Pulau Batu Putih kepada Singapura pada zaman singkat pemerintahan Abdulllah, kita berhak untuk tahu apakah kepentingan dan kedaulatan kita di Sarawak juga telah disabotaj akibat kedangkalan pemerintah waktu itu.
Kita takut padang minyak yang kita kendong telah berciciran dan pembebasan Limbang daripada tuntutan Brunei yang kita kejar tak dapat.
Kita tidak mahu cerita si Luncai yang terjun ke sungai dengan labu-labunya terjadi kepada kita. Si Luncai tak apalah. Labu-labu itu miliknya. Tapi dua padang minyak dengan potensi hasilnya dianggarkan RM320 bilion itu milik kita. Ia bukan milik mana-mana Luncai.
Saya telah beberapa kali menyuarakan secara terbuka keraguan saya terhadap kemampuan penasihat-penasihat hal ehwal luar dan perundangan Abdullah, khasnya dalam hal Pulau Batu Putih. Keraguan itu terbukti apabila kita kalah perbicaraan menuntut pulau strategik itu pada 23 Mei, 2008.
Soalnya, kalau betul dua padang minyak itu diserahkan kepada Brunei oleh Abdullah, apa yang menteri-menteri dan penasihat-penasihat beliau ketika itu buat? Adakah mereka bersubahat (complicit) atau mereka tertidur?
Kita juga ingin tahu kepada siapa kontrak pengeluaran minyak di dua blok itu diberikan oleh pemilik barunya. Bukan apa, tetapi takut-takut si Luncai terjun ke sungai sambil itu mimum air. Manalah tahu, di depan kita si Luncai buat bodoh, tetapi di belakang dia sapu.
Label: ISU RAKYAT
Serah wilayah: Perlu penjelasan kerajaan, bukan MP Kepala Batas
KUALA LUMPUR, 2 Mei: Kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mesti memberi penjelasan mengenai penyerahan dua blok pengeluaran minyak luar pantai kepada Brunei, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.
"Setakat ini, yang memberikan ulasan agak panjang hanyalah (bekas Perdana Menteri, Tun) Abullah (Ahmad Badawi). Kita mahu penjelasan telus dan berterus-terang dari kerajaan, bukan sekadar ulasan Ahli Parlimen Kepala Batas," katanya.
Beliau menuntut kerajaan Najib menghentikan sikap tidak bertanggungjawab dan terus membisu mengenai hal itu walaupun sudah beberapa hari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan perkara itu.
"Dr Mahathir mendedahkan jumlah kerugian dalam bentuk perolehan berjumlah AS$100 bilion (RM320 bilion) malah didedahkan juga bahawa kawasan yang kaya simpanan minyak di Laut Cina Selatan - Block L dan Block M - tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.
"Ini bukan setakat kehilangan khazanah negara malah kehilangan wilayah dalam negara ini," katanya.
Sebab itulah, kata Mohamad yang juga Pengerusi Mobilisasi Demokrasi PAS, kerajaan mesti memberikan penjelasan mengenai perkara itu.
"Rakyat juga mesti diberitahu apa yang dilakukan oleh anggota kabinet ketika perkara itu berlaku.
"Adakah mereka menjadi pak turut sahaja kepada tindakan Abdullah yang ketika itu menjadi Perdana Menteri?
"Apa Najib buat untuk mempertahankan khazanah dan wilayah negara sedangkan ketika itu beliau adalah Timbalan Perdana Menteri?
"Sebahagian besar anggota kabinet ketika Abdullah menjadi Perdana Menteri masih lagi berada dalam pentadbiran Najib kini. Apa mereka buat untuk mempertahankan khazanah dan wilayah negara ini dari terlepas ke tangan Brunei?" beliau mempersoalkan.
Rakyat, katanya, mesti menuntut Najib bertanggungjawab ke atas perkara itu, begitu juga semua anggota kabinet ketika Abdullah menjadi Perdana Menteri.
"Jika mereka enggan bertanggungjawab atas kehilangan khazanah dan wilayah negara, rakyat mesti bangkit bersama mengajar mereka tentang erti tanggungjawab," tegas beliau.
Dr Mahathir mendakwa Abdullah telah menyerahkan kepada Brunei dua blok pengeluaran minyak luar pantai, sebelum bersara awal tahun lalu.
Menurutnya, perkara itu dilaporkan oleh The Edge Financial Daily (22 April) dan Brunei Times di mana kawasan yang kaya simpanan minyak di Laut Cina Selatan - Block L dan Block M - tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.
Menulis dalam blognya, Dr Mahathir mendakwa jumlah kerugian dalam bentuk perolehan berjumlah AS$100 bilion (RM320 bilion).
Menurutnya, Abdullah telah menyerahkan 'Blok L' dan Blok M' di Laut Cina Selatan, dikatakan sebagai pertukaran dengan Brunei supaya menggugurkan tuntutannya terhadap Limbang, Sarawak.
"Blok L dan Blok M dituntut oleh Malaysia berdasarkan kepada fakta sejarah. Menurutnya, Petronas menandatangani kotrak perkongsian pengeluaran dengan Murphy Oil (Corp) untuk memulakan pengeluaran minyak.Simpanan minyak di kawasan itu adalah hampir 1 bilion tong.
"Abdullah berunding dengan sultan (Brunei) untuk mengambil Limbang di Sarawak. Sebagai balasannya, beliau bersetuju untuk menyerahkan dua blok tersebut kepada Brunei.
"Tidak ada wakil Petronas yang hadir, hanya kakitangan pejabat luar dan pnasihat halehwal luar kepada PM," dakwa Mahathir.
Abdullah menolak dakwaan Dr Mahathir itu.
Dalam kenyataannya selepas pendedahan Dr Mahathir itu, Abdullah berkata sumber di 'blok L dan M' di Laut China Selatan yang dirujuk oleh Dr Mahathir, kini dikongsi bersama oleh Malaysia dan Brunei di bawah perjanjian wilayah dan komersil yang ditandatangani pada 16 Mac tahun lalu.
Walaupun blok L dan M kini berada di bawah kedaulatan Brunei, tetapi katanya, Malaysia akan dibenarkan mengambil bahagian dalam usaha bersama untuk memajukan pengeluaran minyak dan gas di situ untuk tempoh 40 tahun.
Menurut Abdullah, ia bertujuan untuk menyelesaikan isu sempadan antara kedua negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pula memberitahu media bahawa Malaysia tetap memastikan kawasan Limbang di Sarawak kekal sebagai hak milik negara ini walaupun konsesi Blok L dan Blok M menjadi milik Brunei dalam perjanjian persempadanan dengan Brunei pada Mac 2009.
Ditanya mengenai laporan bahawa Brunei telah membuat penafian bersetuju menyerahkan Limbang, Mohamed Nazri berkata, Brunei boleh membuat penafian itu, tetapi hakikatnya, Limbang tetap hak milik Malaysia.
"Kita akan pertahankan Limbang dan negara lain boleh kata apa pun, Limbang adalah hak Malaysia walaupun ada pihak yang akan mempertikaikan keputusan melepaskan Blok L dan Blok M itu," tegasnya.
Label: ISU RAKYAT
Medan minyak tergadai: Ya dalam nafi
http://cetusan-hati.blogspot.com/
Tahniah dan terima kasih kepada Pak Lah yang kali ini bersikap responsive.
Pak Lah memberikan penjelasan terhadap isu tergadainya dua medan minyak milik Sarawak kepada Brunei lewat petang ini, Juma'at, 30 April 2010.
Dari penjelasan ini kita dapat simpulkan;
a. Bukan medan minyak sahaja terlepas, tetapi sempadan negara kini mengecil kerana perairan di mana terletaknya dua medan minyak L dan M kini diiktiraf sebagai milik Brunei. "In a statement today, the former prime minister confirmed that Block L and Block M concessions now belonged to Brunei but...." (Bernama)
“This agreement serves to settle certain overlapping claims that existed in the past which included the area of the concession blocks known before as Block L and Block M.
“Sovereign rights to the resources in this area now belongs to Brunei." Laporan The Star berdasarkan kenyataan akhbar Pak Lah.
b. Cuma Malaysia diizinkan untuk menyertai perkongsian operasi pengeluaran minyak bagi kedua-dua blok itu untuk 40 tahun.
c. Terma ini dipersetujui Kabinet pada 11 Februari 2009. Bermakna PM sekarang juga terlibat dalam keputusan tersebut.
Penjelasan Pak Lah ini tidak mengubah inti berita sebelum ini bahawa kita telah terlepas dua medan minyak sekali gus kepada Brunei dan kini, kita sebenanya terlepas bukan sahaja medan minyak bahkan kedaulatan sempadan laut berkenaan juga untuk selama-lamanya.
Balasan yang diperolehi oleh Malaysia ialah kita boleh menyertai perkongsian operasi berasaskan perniagaan di medan berkenaan untuk selama 40 tahun. Selepas itu, kawasan berkenaan kekal dalam wilayah Brunei.
Bagi Pak Lah dan Kerajaan Malaysia, terlepas kedaulatan wilayah adalah kecil asal dapat merasa seteguk dua minyak dari kawasan yang kita lepaskan. Aduhai!
Dalam kes kawasan pertindihan sumber minyak Malaysia Thailand, negara mengambil ketetapan berbeza iaitu kawasan berkenaan kekal sebagai sebahagian wilayah Malaysia dan hasil minyak dibahagi mengikut peratusan tertentu antara dua negara. Kita tidak melepaskan kedaulatan wilayah kita tetapi kita menggunakan kaedah 'joint development'.
Mengapa susunan yang sama tidak digunakan dalam kes Brunei dan dengan itu kita tidak terlepas wilayah kita?
Atas murah hati kita melepaskan perairan di mana terletaknya dua medan minyak itu, kita mendapat kedaulatan ke atas Limbang.
Soalnya, kini pun Limbang adalah milik kita dan ia sebahagian dari Sarawak. Sungguh pun Brunei ada menuntut haknya ke atas Limbang, dari inti pati perjanjian-perjanjian sebelum ini termasuk apa yang disebut oleh Pak Lah dalam kenyataannya, isu Limbang sudah pun memihak kepada Malaysia.
Bermakna, kita mendapat apa yang sudah menjadi hak kita dan kita terlepas apa yang sepatutnya juga menjadi hak kita.
Nampaknya, kita mengambil jalan mudah dalam perkiraan ini. Apa lagi, Brunei masih secara terbuka menyatakan bahawa tuntutan ke atas Limbang belum digugurkan. Bererti, harapan kita untuk menyelesaikan isu tuntutan Limbang secara tersirat melalui 'pengukuran semula sempadan' berasaskan perjanjian-perjanjian 1920, 1931, 1933 (dua perjanjian berasingan) dan 1939 masih dalam proses sedangkan kedaulatan kita ke atas perairan yang terkandung di dalamnya dua medan minyak yang kaya itu sudah pun terlepas.
Bermakna, Brunei telah mndapat apa yang mereka mau serta merta dan kita menunggu satu tempoh dan proses yang akan memakan masa. Apa akan terjadi jika pendirian kerajaan Brunei atas apa sebab nanti, akan berubah?
Mengikut laporan, Brunei telah pun menganugerahkan konsesi dua medan itu kepada Total dari Perancis dan kedudukan Petronas dalam susun atur perkongsian yang disebut belum dijelaskan.
Akhirnya, bagaimana dengan Sarawak? Adakah kerajaan negeri dirundingi ketika wilayah laut kita ingin dilepaskan bersekali dengan sumber minyaknya?
Jika Pak Lah telah tampil 'menafikan tetapi sebenarnya mengiyakan', adakah PM kini hanya akan berdiam diri?
Datuk Paduka Husam Musa,
Exco Kanan Kerajaan Kelantan.
Label: ISU RAKYAT
Sabtu, 1 Mei 2010
Pengawal keselamatan Istana Kelantan cedera parah ditembak di dada
KOTA BHARU: Seorang pengawal keselamatan Istana Kelantan cedera parah ditembak di bahagian dada oleh seorang individu tidak dikenali dalam kejadian di Kampung Sungai Nyior, Palekbang, di sini, awal pagi tadi.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata ia berlaku kira-kira jam 12.25 awal pagi tadi ketika mangsa Ramli Mohd, 50, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kok Keli Tumpat.
Beliau berkata, mangsa ketika ini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).
Katanya, mangsa berada dalam keadaan serius berikutan ditembak di bahagian dada dan peluru masih belum dapat dikeluarkan.
Label: ISU RAKYAT
Jumaat, 30 April 2010
MP seru lebih ramai saksi kes Aminulrasyid tampil
Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, menyeru lebih ramai saksi kes pelajar - Aminulrasyid Amzah - yang kena tembakan polis, tampil memberikan maklumat berhubung kejadian pada awal pagi Isnin itu.
Katanya, langkah itu dapat membantu polis mendapat gambaran menyeluruh berhubung kejadian tersebut, sekaligus dapat menyelesaikan siasatan mereka dengan segera.
Khalid berkata, mungkin ramai lagi saksi dalam kes tersebut, seperti pelanggan di restoran berdekatan tempat kejadian, tidak tampil ke hadapan kerana merasakan maklumat mereka tidak relevan.
"Saya menyeru dan berharap lebih ramai saksi (pada malam kejadian) dapat tampil menceritakan apa yang berlaku.
"Jangan anggap maklumat yang ada pada mereka, walaupun sedikit, tidak relevan kepada kes tersebut," katanya ketika mengulas laporan polis berhubung kejadian tersebut, yang dibuat oleh seorang jiran arwah malam tadi.
Jiran arwah tersebut - Zafrullah Ahmad Zainal Abidin - yang mendakwa berada di tempat kejadian selepas insiden berlaku, membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam di Seksyen 11 pada jam 10 malam tadi.
Beliau ditemani peguamnya Fadiah Nadwa Fikri dan empat lagi peguam daripada kumpulan peguam Lawyers for Liberty. Khalid turut hadir mengiringinya Zafrullah bagi tujuan itu malam tadi.
Dalam aduannya itu, Zafrullah Ahmad mendakwa melihat keadaan mangsa dan kereta arwah sejurus selepas kereta yang dipandunya terbabas dalam parit di Jalan Makyong, berdekatan dengan rumahnya di Jalan Silat Gayong.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Khalid turut menolak gesaan sesetengah pihak supaya ahli politik tidak membabit diri dalam kontroversiti tersebut.
"Saya rasa apa yang dimakudkannya itu ialah (supaya ia) tidak dipolitikkan. Sebagai ahli parlimen, kejadian menimpa penduduk dalam kawasan saya, mestilah saya turut terlibat," katanya.
Khalid akan akan mengadakan sidang media petang sebagai respons kepada langkah Zafrullah membuat laporan tersebut.
Sementara itu, Fadiah Nadwa memberitahu, anak guamnya tampil membuat laporan tersebut bertujuan membantu siasatan pihak pilis dalam kes tersebut.
"Sebelum ini beliau agak sibuk sedikit, masih belajar. Lagi pun beliau menunggu peguam untuk hadir bersama-sama (membuat laporan polis)," katanya kepada Malaysiakini.
Dalam perkembangan berkaitan, polis hari ini dilaporkan telah menghantar kertas siasatan berhubung kes tersebut kepada timbalan pendakwa raya (DPP) bagi tindakan selanjutnya.
http://www.malaysiakini.com
Label: ISU RAKYAT
Bela Aminulrasyid, elak kejadian berulang
KUALA LUMPUR, 30 April: Pembelaan ke atas Aminulrasyid Amzah yang ditembak polis awal pagi Isnin lalu adalah sangat penting untuk mengelak kejadian sama terus berulang, tegas Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.
"Ingin saya tegaskan pembelaan atas kematian Allahyarham juga sangat penting untuk memperbetul kembali keadaan agar polis tidak bertindak sewenang-wenangnya. Polis perlu bertindak dengan penuh kebijaksanaan dan pertimbangan akal yang waras," katanya.
Serentak dengan itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu menggesa seluruh rakyat mengemukakan enam tuntutan keadilan untuk Aminulrasyid.
"Pertama, polis dan media mestilah menarik balik tuduhan dan tanggapan bahawa mangsa pembunuhan itu adalah penjenayah," katanya.
Polis dan media juga hendaklah memohon maaf secara pada keluarga mangsa kerana menuduh mangsa adalah penjenayah, kata Mahfuz.
"Ketiga, gantung tugas anggota polis yang terbabit dalam kejadian tembak mati ke atas mangsa.
"Keempat, reman anggota yang terbabit untuk elak dari kemungkinan kejadian menggugut saksi khususnya kawan-kawan mangsa," katanya.
Suhakam pula, katanya, hendaklah menjalankan siasatan sesuai dengan kedudukannya sebagai badan hak asasi manusia untuk menegakkan keadilan.
"Di samping kesemua itu, satu suruhanjaya bebas hendaklah ditubuhkan segera untuk menyiasat kes ini yang telah mencemar nama baik institusi diraja yang memayungi Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.
Mahfuz juga menasihatkan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar agar tidak mengeluarkan kenyataan celupar yang meminta ahli-ahli politik mengelak dari mengulas insiden tersebut.
"Adalah menjadi tanggungjawab warga PDRM untuk menuntut Ketua Polis Selangor menutup mulut dari mengeluarkan kenyataan celupar dan tidak membantu usaha memperbaiki imej PDRM," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz juga berkata, kenyataan ketua polis negeri itu juga dilihat sebagai satu percubaan yang terdesak untuk mengalihkan pandangan rakyat dari mempersoalkan integriti polis.
Kejadian yang menimpa Aminulrasyid, kata beliau, memburukkan lagi persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan dan polis.
"Sedangkan tindakan yang diambil oleh ahli politik hanya bersifat untuk memberi pembelaan dan keadilan untuk mangsa dan keluarganya.
"Kepada anggota PDRM ingin saya nyatakan kenyataan ketua Polis Selangor telah menambah persepsi negatif rakyat terhadap polis," katanya.
Kelmarin, Khalid meminta semua pihak termasuk ahli politik supaya tidak campur tangan dalam siasatan polis berhubung insiden tersebut.
Beliau berkata campur tangan sedemikian akan hanya mengganggu siasatan.
Dalam kejadian berkenaan kira-kira pukul 2 pagi, Aminulrasyid terbunuh selepas ditembak anggota polis peronda apabila remaja itu dikatakan cuba melarikan diri dari sekatan polis.
http://harakahdaily.net
Label: ISU RAKYAT
Khamis, 29 April 2010
KPN MERAJUK?-"Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya,"
salam juang dan salam reformasi,
'JANGAN KELUAR WAKTU MALAM LAGI,KERANA PELURU SESAT ADA DI MERATA TEMPAT'!
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan membidas kritikan pelbagai pihak berhubung kematian remaja berusia 14 tahun - Aminulrasyid Amzah dan berkata beliau sedia mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi mengawal jika itu kehendak rakyat.
"Biarlah apa yang nak dikatakan oleh ahli politik, tapi saya ingin tahu sama ada anda mahu kami menguatkuasakan undang-udnang atau tidak.
"Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya," katanya dalam laporan The Star online.
Musa mengulas kenyataaan pelbagai pihak berhubung kematian Aminulrasyid, apabila polis melepaskan empat tembakan ke arah kereta yang dipandu remaja itu kerana didakwa cuba berundur dan merempuh ke arah polis.
Kejadian itu berlaku di Seksyen 11, Shah Alam apabila Aminulrasyid dikatakan memecut dan melanggar beberapa lampu isyarat merah tanpa berhenti meskipun diarahkan berbuat demikian.
Menurut Musa, beliau tidak mahu membuat seberang spekulasi mengenai perkara itu dan meminta orang ramai agar tidak terburu-buru membuat kesimpulan tentang kejadian.
Beliau juga mengulangi jaminannya bahawa tiada apa yang akan disembunyikan berhubung kes itu.
"Saya tak berat sebelah, jangan buat spekualsi. Seperti yang saya kata sebelum ini, kami tak akan menyembunyikan apa-apa dan kami akan berlaku adil dalam siasatan kami. Oleh itu, tunggulah hasilnya nanti," katanya dalam laporan Bernama.
Ditanya tentang keadaan yang membolehkan polis menggunakan senjata api, beliau berkata: "Orang saya tahu bahawa mereka hanya boleh menggunakan senjata api untuk mempertahankan diri, itu sudah menjadi peraturan dalam tugas kami".
Musa berkata sesebuah kenderaan itu sama bahayanya dengan pistol, pisau atau tukul.
"Kenderaan boleh digunakan sebagai senjata...senjata bukan bermakna pistol, pisau atau parang saja. Kalau seseorang itu enggan berhenti dan cuba merempuh pegawai yang cuba menahannya, ia (kenderaan) boleh dianggap sebagai senjata kerana ia boleh membahayakan nyawa pegawai penguatkuasa," kata beliau.
Sebelum ditembak, mengikut polis Aminulrasyid mengundur kereta dan cuba merempuh pegawai polis untuk cuba melepaskan diri daripada sekatan jalan raya berhampiran rumahnya.
Musa juga menasihati orang ramai supaya berhenti apabila diminta berbuat demikian oleh polis atau pegawai penguatkuasa dan jangan cuba melarikan diri kerana perbuatan demikian boleh menimbulkan rasa curiga.
"Dalam keadaan gelap itu, siapapun tak akan dapt pastikan sama ada pemandunya adalah seorang remaja atau orang dewasa.
"Setakat itu saja yang boleh saya komen tentang isu ini kerana ia sedang disiasat. Oleh itu, jangan buat sebarang spekulasi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara menderma darah oleh anggota polis di Pusat Darah Negara bersempena sambutan Hari Polis di Kuala Lumpur hari ini.
Label: ISU RAKYAT
“minta banyak-banyak bersabarlah, mereka itu adalah anggota baru yang baharu pegang pistol”
salam juang dan salam reformasi,
KLANG, 29 April: Bapa kepada mangsa tembakan rambang polis pada 16 April 2009, Ahmad Kamil Abu Hassan menyanjung tinggi hasrat murni Kerajaan Negeri Selangor yang bersedia menghulurkan khidmat guaman kepada keluarga pelajar Aminul Rashid Hamzah yang menjadi mangsa kejadian serupa pada 26 April 2010 sehingga membawa maut.
Ahmad Kamil, 55, berkata, dengan bantuan itu sudah pasti dapat meringankan bebanan pihak yang terlibat memandangkan mereka sudah ditimpa dengan musibah kejadian yang terjadi dengan tiba-tiba sahaja tanpa pernah disangka.
Beliau tertarik dengan sikap kerajaan negeri yang sudi menghulurkan khidmat bantuan guaman kepada keluarga terbabit seperti dilaporkan di muka hadapan akhbar Sinar Harian hari ini (gambar), juga berharap agar nasib anaknya mendapat perhatian pihak tersebut.
“Seperti saya sebut semalam, pihak kami sedang menunggu masa sesuai untuk memfailkan saman terhadap pihak tidak bertanggungjawab dan lebih ringan jika isu anak saya ini juga mendapat perhatian dari Kerajaan Negeri Selangor.
“Saya mengalu-alukan dan ucapkan terima kasih jika ada pihak bersedia menghulurkan bantuan guaman yang memerlukan sumber kewangan yang besar ini,” jelasnya.
Dalam kejadian setahun lalu, anaknya, Shahril Azlan, 25, ditembak dari sipi kiri menyebabkan bahunya ditembusi peluru terus membocorkan paru-paru dan terhenti di tulang belakang T8 dalam kejadian tengah malam di satu simpang yang dikatakan dilakukan oleh anggota polis berpakaian biasa.
Menurut Azlan, sehingga kini kesan dari kejadian itu menyebabkan sukar tidur malam, kebas kaki kiri dan tidak boleh memandu jauh serta telah setahun terpaksa mengambil ubat saraf dan tahan sakit menerusi rawatan susulan di hospital setiap bulan.
Menurutnya, sehingga kini sudah setahun beliau menderita menanggung segala sengsara zahir dan batin tanpa sebarang pembelaan paling wajar dari mereka yang bertanggungjawab melakukan tindakan sangat tidak adil itu.
Untuk rekod, kejadian berlaku di simpang Seksyen 7, Shah Alam menghala ke I-City sekitar jam 12 tengah malam selepas bersama empat rakan lain termasuk seorang anggota polis, mereka pun pulang dengan menaiki tiga kereta berasingan, cuma beliau ketika itu pulang dengan seorang rakannya menaiki kereta Wiranya.
Sebaik sampai di tempat kejadian sekitar 100 meter sebelum persimpangan itu, beliau berhentikan kereta selepas ternampak papan tanda sekatan jalan raya memandangkan cukai keretanya telah tamat tempoh.
Katanya, kejadian itu berlaku tiba-tiba, kerana dalam tidak sedar dan tanpa sebarang soal jawab, terus berlaku tembakan yang terkena bahu melintasi paru-parunya dan peluru menerobos masuk ke tulang belakangnya.
Setelah itu, muncul tiga lelaki berpakaian biasa yang memegang sejenis kayu mengaku sebagai anggota polis dalam keadaan panik namun masih tidak percaya beliau terkena tembakan rambang mereka.
“Saya kesal kerana sikap tidak bertanggungjawab mereka membiarkan saya menanggung kesakitan di situ selama dua jam manakala rakan saya terus dibawa dari situ,” tegasnya serius.
Beliau masih ingat kata-kata seorang polis senior berpakaian seragam yang berkata kepadanya, “minta banyak-banyak bersabarlah, mereka itu adalah anggota baru yang baharu pegang pistol”.
Setelah menunggu ambulan selama dua jam, beliau dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), dekat sini untuk rawatan segera, suntikan hilangkan bisa peluru dan x-ray dan esoknya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL)
(Gambar: Azlan menunjukkan parut pada badannya. Sehingga kini, peluru masih melekat pada tulang belakangnya. Ia sukar untuk dibuang kerana bimbang implikasinya)
Azlan berkata, beliau diberitahu polis menggunakan pistol jenis revolver untuk menembaknya dari sisi kiri badan, dari bahu terus ke rusuk itu dan doktor yang memeriksanya menyatakan, sebutir peluru telah berhenti di tulang belakang T8.
Sejak itu, beliau dirawat selama dua minggu di HKL, mendapat MC selama dua bulan dengan mendapat gaji bulanan seperti biasa.
“Berdasarkan nasihat doktor dengan persetujuan anggota keluarga, tiada pembedahan dibuat untuk mengeluarkan peluru itu kerana dibimbangi menyebabkan lumpuh pula,” ujarnya.
Satu perkara lagi yang sangat dikesalkan adalah, pihak terbabit memaksa beliau membuat pengakuan tentang kononnya terdapat senjata di dalam keretanya sedangkan beliau tidak pernah memiliki atau membawanya.
Bercakap tentang sikap anggota polis itu, ibunya, Normadiah Sidek, 47, berkata siap dengan sanggup bersumpah bahawa beliau disogokkan untuk membuat pengakuan itu dengan wang sebanyak RM200.
“Meskipun saya kesuntukan wang ketika itu yang berkejar datang dari Sabak Bernam sejak subuh hari namun saya tidak memandang jumlah itu kerana paling utama adalah maruah kami sekeluarga," tegas Normadiah.
sumber-http://www.harakahdaily.net
inilah antara tindakan yang sangat tidak profesional pihak berwajib,tembakan secara melulu dan mengakibatkan kematian..
akhirnya keluarga yang dipersalahkan.adakah ini tindakan yang profesional?
kita lihat dalam kes sharlinie sebelum ini pun berlaku hal yang sama,dimana keluarga dipersalahkan kerana cuai tidak pndai menjaga anak sendiri dan boleh dikenakan denda.
kita akan lihat betapa 'ceroinya' pihak kerajaan menangani masalah ini.
kita saksikan entry selepas ini ketua polis negara merajuk??
Label: ISU RAKYAT
KENYATAAN MEDIA KTMB: PAS UCAP TAHNIAH DENGAN WUJUDNYA GERABAK KHAS WANITA
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah kepada pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana memperkenalkan gerabak khas untuk penumpang wanita KTM Komuter. Ini adalah satu penghormatan kepada kaum wanita dan keunikan buat sistem pengangkutan awam dinegara ini.
PAS amat menyokong langkah ini kerana ia mampu memberikan keselesaan kepada penumpang wanita yang selama ini terpaksa berhimpit-himpit dengan penumpang lelaki khususnya ketika waktu puncak. Malah langkah ini dapat mengurangkan masalah ganguan seksual kepada penumpang wanita.
Langkah ini menepati syariat Islam yang meletakan wanita ditempat paling istimewa yang perlu dilindungi dan dilayani dengan sebaiknya. Kemudahan KTM ini walaupun baru namun diyakini akan mendapat sambutan meluas berikutan jumlah penumpang komuter setiap hari yang ramai.
Perkara ini sudah lama diadakan diluar negara seperti di Jepun dan beberapa negara Eropah. PAS mencadangkan agar selepas ini diwujudkan juga gerabak khas untuk mereka yang bekeluarga dan juga warga emas termasuk golongan OKU bagi memudahkan mereka mendapat perkhidmatan yang lebih baik.
PAS berharap inisiatif ini juga diambil oleh pengusaha pengangkutan awam yang lain agar masalah-masalah penindasan atau pencabulan wanita ditempat awam dapat dikurangkan disamping meningkatkan imej perkhidmatan awam dimata masyarakat.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
ulasan-dalam isu ini semua pihak harus mengambil peranan,bukan KTM sahaja yang perlu bertindak berubah,tetapi semua syarikat pengangkutan...walau apa pun,syabas dan tahniah kepada KTM..
Label: ISU RAKYAT