Jumaat, 14 Mei 2010

Sibu: Muslimat PAS dekati pengundi Melayu

·

 

SIBU, 14 Mei - Jentera pilihan raya Dewan Muslimat PAS (Halwa) terpaksa menggandakan usaha mendekati pengundi Melayu bagi menangkis kempen Umno Barisan Nasional (BN) yang bersifat perkauman.


Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah al-Jundi berkata, Umno BN sewaktu kempen kepada masyarakat Melayu di sini mendakwa DAP sebagai parti cauvinis dan hanya untuk kepentingan kaum Cina.

"Di Sibu ini, kempen Umno BN amat bersifat perkauman. Mereka menggambarkan DAP ini sebagai parti cauvinis, komunis dan berkepentingan kepada masyarakat Cina semata-mata. Kita sedang all out untuk bersihkan dakwaan itu kepada pengundi Melayu," katanya yang sudah berada di sini bermula 7 Mei lepas bersama Ahli Parlimen Muslimat yang lain bagi membantu calon DAP, Richard Wong Ho Leng yang mewakili Pakatan Rakyat.


Selian itu menurutnya, undi Melayu merupakan undi penentu bagi kemenangan PR di Sibu kerana undi Cina diyakini berpihak kepada PR.


"Kita menjangkakan kita hanya perlu dalam sekitar 1,500 undi Melayu, insya Allah dengan apa yang DAP dapat sebelum ini, PR akan menang," katanya.


Turut berkempen ialah Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud yang juga Timbalan Pengarah Pilihan raya PAS dan Senator Mumtaz Md Nawi selain pimpinan Wanita PKR dan DAP sendiri.


PAS dipertanggungjawab untuk menjaga dua unit peti undi (UPU) iaitu Datu Nyabor dan Llir Nangka dalam Dun Nangka.


Jumlah pengundi di UPU tersebut seramai 5,721 orang di 23 lokaliti yang merupakan kawasan penduduk Melayu.


Ujar Aiman juga, untuk fasa yang terakhir sebelum hari mengundi Ahad ini, jentera Halwa dengan bilangan yang terhad meningkatkan kempen dari rumah ke rumah dengan memperkenalkan calon DAP.


"Walaupun Halwa dengan  jumlah yang tidak begitu ramai tapi mereka masih begitu bersemangat untuk jalankan kempen dari rumah ke rumah dengan kerjasama wanita dari PKR dan DAP," ujarnya.


Sehingga kini katanya, sambutan dari pengundi Melayu amat menggalakkan apabila mereka turut mendaftar sebagai ahli PAS sewaktu menyemak daftar pemilih di kaunter yang dibuka oleh PAS.

Ditulis oleh Harakahdaily 

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails