KENYATAAN  MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
BERIKAN HAK MAHASISWA 21 TAHUN UNTUK  BERPOLITIK
(21 MEI 2010)
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong  kenyataan Pengerusi Pusat Perkembangan Budaya LLG, Datuk Dr. Toh Kin  Woon yang menyatakan bahawa mahasiswa yang berusia lebih 21 tahun ke  atas berhak untuk terjun ke dunia politik.
 Datuk Dr. Toh Kin Woon memberikan  respons terhadap tindakan undang-undang yang dikenakan oleh Universiti  Kebangsaan Malaysia (UKM) ke atas empat mahasiswa Sains Politik UKM yang  terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor.
Datuk Dr. Toh Kin Woon memberikan  respons terhadap tindakan undang-undang yang dikenakan oleh Universiti  Kebangsaan Malaysia (UKM) ke atas empat mahasiswa Sains Politik UKM yang  terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor.Sebenarnya  tindakan empat mahasiswa UKM tersebut  selari dengan Seksyen 119(1a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas  menyatakan semua warganegara yang mencapai umur 21 tahun berhak  menyertai politik dan layak mengundi dalam pilihanraya. DPPWP  mempersoalkan, kalau sekiranya usia 21 tahun adalah usia kelayakan  mengundi, mengapa mereka tidak dibenarkan untuk berpolitik dan  menyatakan sikap mereka terhadap mana-mana parti politik. Bukankah  Malaysia sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, justeru mengapa mesti  ada sekatan terhadap empat mahasiswa tersebut untuk mengamalkan hak  demokrasi mereka?
DPPWP berpandangan  undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti  (AUKU) 1971 sangat tidak sesuai sekarang  kerana ia menyekat mahasiswa  untuk menyatakan hak mereka. AUKU adalah alat untuk menyekat kebebasan  mahasiswa untuk berpersatuan dan berpolitik, sedangkan dengan cara  inilah mampu mematangkan mahasiswa dan melatih kepemimpinan mereka.  Sepatutnya mahasiswa diberikan kebebasan mengenali lanskap politik  negara, agar mereka tahu dan mampu menangani isu-isu semasa dengan baik.  Apa yang berlaku hari ini, ramai mahasiswa yang tidak tahu menahu hal  ehwal negara menyebabkan mereka menjadi lesu dan tidak bersikap proaktif  dalam kepemimpinan mereka.
Lagipun, empat mahasiswa tersebut terlibat berkempen  di luar dari universiti mereka, justeru apakah perlu universiti  mengambil tindakan terhadap hak dan privasi mereka. DPPWP bersetuju  sekiranya tindakan diambil apabila mereka mengabaikan pelajaran atau  meninggalkan kelas pengajian serta menjatuhkan nama baik universiti.  Apakah salah satu kesalahan telah dilakukan oleh mahasiswa terbabit?
Tindakan diambil terhadap mereka hanya kerana mereka  berkempen untuk Pakatan Rakyat di Hulu Selangor, tetapi bagaimana  sekiranya mereka adalah ahli UMNO dan terlibat secara langsung dengan  kempen di mana-mana pilihanraya kecil.
DPPWP berharap pihak UKM bersikap lebih  profesional dan lebih rasional dalam menangani isu ini. Sememangnya UKM  akan lebih gemilang seandainya mereka mampu memberikan ruang demokrasi  bernafas di dalam kampus dan memberikan hak kepada mahasiswa yang telah  berusia 21 tahun untuk memberikan sokongan kepada mana-mana parti  politik atas nama demokrasi!
Disediakan  oleh,FADHIL OSMAN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
 


 
 
 
 





 
0 ulasan:
Catat Ulasan