Khamis, 3 Februari 2011

Himpunan Solidariti Ummah Jumaat Ini.

· 0 ulasan

1. Dewan Pemuda PAS Malaysiabersama Lajnah Antarabangsa PAS Pusat dan seluruh Ngo antaranya ILMAM, Ikram, JIM, GMI, SAMM dan lain - lain [ 71 Ngo ] termasuk kompenan parti politik Pakatan Rakyat seperti AMK dan lainnya akan menganjurkan satu himpunan besar - besaran iaitu :

Himpunan Solidariti Ummah pada hari Jumaat jam 2 petang [ 4 Feb 2011 ] di hadapan Kedutaan Amerika sebagai sekutu rapat kepada rejim Husni Mubarak .

2. Hari ini satu memorundum telah diserahkan kepada kedutaan Mesir tetapi malang pihak kedutaan enggan menerima memorundum kami dan akhirnya memorundum tersebut terpaksa dimasukkan kedalam peti surat kedutaan itu.

3. Saya mewakili seluruh pihak penganjur mengharapkan semua ummat prihatin tanpa mengira bangsa dan agama untuk hadhir menyatakan semangat solidariti rakyat Malaysia bersama rakyat Mesir yang kini sedang bangkit menuntut perubahan di negara mereka .

4. Dewan Pemuda PAS Negeri - negeri juga diminta untuk mengerahkan semua anak - anak muda bangkit menyatakan semangat kebersamaan kita disamping kita turut akan menyatakan bantahan kenaikan harga minyak dan harga barang yang semakin menjadi - jadi dalam negara kita.

5. Tempat berhimpun ialah di 2 lokasi iaitu Masjid KLCC dan Masjid Tabung Haji dan sejurus solat Jumaat, semua akan berhimpun di Masjid Tabung Haji untuk menyatakandua bantahan yang  akan disuarakan oleh pimpinan - pimpinan kita seperti Timbalan Presiden PAS, Tuan Hj Mohd Sabu AJK PAS Pusat dan pimpinan - pimpinan pemuda sebelum berarak ke kedutaan Amerika.

Pertama : Isu penangkapan, kekerasan dan pembantaian regim Mesir ke atas rakyat mesir yang menuntut perubahan di negara mereka.

Kedua : Isu kenaikan harga minyak dan barang keperluan utama rakyat dalam negara kita .

6.  Berikut lampiran Memorundum Dewan Pemuda PAS Malaysia yang telah dihantar ke kedutaan Mesir:

MEMORANDUM DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
KEPADA KEDUTAAN MESIR DI MALAYSIA
BERHUBUNG PERGOLAKAN POLITIK DAN AGENDA REVOLUSI MESIR

31 JANUARI 2011
PERGOLAKAN POLITIK MESIR

Ekoran daripada kejatuhan rejim pemerintah Zein Al-Abidin di Tunisia, kebangkitan rakyat di Timur Tengah telah menjalar ke beberapa buah negara jiran yang lain antaranya Yaman, Oman, Algeria, Jordan dan termasuklah Mesir. Kami menjangkakan teori domino ini akan terus berantai sehingga memberikan kesan revolusi keadilan sedunia.

Melihat perkembangan pergolakan politik hari demi hari di Mesir, Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat situasi semakin kritikal apabila pihak pemerintah tidak mengambil langkah drastik untuk menyelesaikan perkara pokok dan sebenarnya. Sebaliknya, melakukan pembantaian terhadap peserta demonstrasi seperti menembak dengan menggunakan gas, air dan pukulan terhadap mereka. Malah, lebih parah lagi apabila hubungan komunikasi melalui media baru dan telefon disekat untuk memadamkan kemaraan rakyat.

Jelas, sikap yang ditunjukkan ini telah mencabul hak asasi manusia dan memburukkan wajah demokrasi di Mesir. Berdasarkan pendedahan-pendedahan media antarabangsa, pihak berkuasa Mesir telah mengambil pendekatan kekerasan untuk mengawal dan meredakan keredaan. Walaubagaimanapun, desakan terhadap agenda reformasi, kestabilan, demokrasi dan kebebasan tetap menjadi agenda utama dan kami menyokong usaha tersebut.

PENDIRIAN DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

1.    Dewan Pemuda PAS Malaysia melahirkan rasa sokongan dan komitmen solidariti kebangkitan rakyat Mesir menentang regim autokratik Hosni Mubarak. Penentangan rakyat Mesir adalah manifestasi penolakan prinsip ketidakadilan, kezaliman dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pemerintah sejak beberapa dekad yang lalu.

2.    Kami juga mengucapkan tahniah khususnya kepada golongan muda yang berani dan aktif menyertai agenda revolusi bagi menuntut keadilan dan pembaharuan di Mesir. Malah, kami mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan takziah kepada keluarga-keluarga mangsa yang terkorban mahupun tercedera dalam saingan revolusi ini.

3.    Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru kepada sebarang usaha ke arah pembubaran Parlimen Mesir dan penganjuran Pilihanraya Umum yang telus dan bersih. Pihak penganjur pilihanraya mestilah bebas daripada sebarang campur tangan parti politik disamping menjamin kebebasan media untuk melaporkan perkembangan dan hasrat rakyat kepada pengundi dan masyarakat luar.

4.    Kami mengutuk sebarang bentuk keganasan dan kekasaran yang dilakukan terhadap peserta demonstrasi serta menuntut agar desakan mereka dilayan secara profesional dan adil. Ini termasuklah membebaskan kesemua tahanan peserta demonstrasi dan pengamal media kerana ia bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia.

5.    Dewan Pemuda PAS Malaysia berdiri teguh bersama pihak-pihak di Mesir yang memperjuangkan Islam, mempertahankan kedaulatan negara, memperbaiki kestabilan politik dan ekonomi serta mengembalikan kesejahteraan rakyat.

6.    Kami juga menolak sebarang bentuk pengaruh daripada Amerika Syarikat dan Israel dalam pembentukan polisi Mesir. Kami amat berharap agar pemerintahan baru Mesir dapat membantu negara umat Islam di Palestin secara konsisten dan menjadi asas kepada kesatuan negara-negara Arab di Timur Tengah.

Hasrat Dewan Pemuda PAS Malaysia yang disuarakan melalui memorandum ini diharap dapat disampaikan kepada pihak-pihak simpatisan dan pejuang revolusi kebangkitan rakyat di Mesir.

Disediakan oleh,
Nasrudin Hasan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia   

Related Posts with Thumbnails