 
 Dewan PEMUDA PAS Pusat (DPPP) hari ini telah melakukan  kunjungan hormat ke PTF yang terletak di Jalan Ipoh Kecil, Off Jalan  Raja Laut Kuala Lumpur. DPPP diwakili oleh Ust.Nasruddin Hassan At  Tantawi selaku Ketua PEMUDA (KP) DPPP. Turut bersama beliau ialah Timb.  Ketua DPPP, Ust.Azman Shapawi, Ust.Abd.Hadi selaku Pegawai Khas KP DPPP  dan Fadhil Osman sebagai Pegawai Media. Kunjungan kami disambut oleh  En.Raymond Tai, Pemangku Pengarah Esekutif. Bertujuan untuk mendekatkan  DPPP dengan masyarakat, langkah melakukan lawatan ke PTF dilihat amat  bertepatan.
PTF  yang ditubuhkan sejak  22 tahun dahulu berfungsi sebagai satu yayasan yang memberikan  pengetahuan tentang AIDS dan HIV serta tempat perlindungan bagi pesakit  HIV, Mak Nyah, Penagih Dadah. Malah PTF menyediakan beberapa program  yang berbentuk motivasi kepada pesakitnya. “Yayasan ini juga mengkaji  langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah HIV dan AIDS.  Yayasan ini bermatlamatkan supaya pesakit-pesakit HIV dan AIDS ini  tidak disisihkan dan dibuang daripada komoniti masyarakat” kata En.  Raymond. PTF telah  menyediakan beberapa program untuk  komuniti-komuniti yang mempunyai peratusan yang besar untuk menghidap  penyakit ini. Yayasan ini juga memberikan ‘ guide and support ‘ kepada  pesakit-pesakit HIV ini supaya mereka lebih berkeyakinan untuk hidup. 
PTF merupakan satu yayasan khidmat masyarakat yang cuba  membimbing dan memberi dorongan kepada pesakit-pesakit H.I.V dan  individu-individu yang terdiri daripada Pekerja Seks, Mak Nyah, Gay yang  dianggap seperti  ‘sampah masyarakat’ untuk terus hidup  dalam keadaan yang lebih baik dan berkualiti. PTF juga membimbing agar  dapat  mengawal virus H.I.V dari terus merebak dan tersebar  dengan tanpa kawalan. Kebajikan juga dititikberatkan kepada  individu-individu  ini yang mana mereka ini telah dipinggirkan oleh masyarakat lain hatta  keluarga sendiri dan memberi keyakinan kepada individu-individu  ini  untuk mereka terus hidup seperti orang lain. Kepada yang beragama  Islam, setiap hari sabtu diadakan kelas Fardhu Ain hasil kerjasama  dengan  JAKIM. Ini sedikit sebanyak dapat menyedarkan  golongan-golongan ini.
Menurut Pengarah Program Transeksual, Sulastree Ariffin, antara masalah yang dihadapi oleh PTF selain ialah kekurangan penempatan yang disediakan untuk menampung komuniti-komuniti ini terutamanya mereka yang terjebak dengan pengambilan dadah amat membimbangkan sedangkan peningkatan pesakit HIV semakin bertambah.
Berdasarkan statistik terkini daripada Majlis Aids Malaysia, suri rumah adalah antara penghidap tertinggi HIV dengan jumlah 2,865 dan 568 pesakit Aids sehingga Jun 2009. Malah amat mengejutkan apabila jumlah suri rumah yang dijangkiti kedua-dua virus itu jauh lebih tinggi berbanding pekerja seks yang hanya mencecah 551 kes penghidap HIV dan 79 kes Aids
Masyarakat sebegini  juga tidak  diberikan’ruang dan peluang’ untuk mereka memperbaiki taraf hidup  mereka. Minda masyarakat yang sememangnya prejudis dan negatif kepada  individu-individu yang sebegini. Ditambah tekanan daripada  pihak  keluarga yang tidak boleh menerima mereka terutama daripada kalangan  mak nyah menyebabkan semakin bertambahnya ahli di dalam komuniti ini.  Begitu juga peranan akhbar di Malaysia ini yang sentiasa mensensasikan  berita tentang golongan Mak Nyah dan Pekerja Seks sehingga mereka  terlupa untuk mengambil tahu sebab mereka menjadi begitu
Hasil  perbincangan, KP DPPP merasakan wujudnya satu ‘dinding pemisah’ diantara  golongan ini dan masyarakat. Umumnya para ilmuan hanya pandai  memberikan hukum kepada sesuatu perkara akan tetapi tidak memberikan  jalan penyelesaian terhadap perkara itu. Sedangkan setiap permasalahan  pasti ada jalan penyelesaian. “Allah swt tidak menurunkan sesuatu  masalah kecuali mesti disertakan dengan jalan penyelesaian” ujar KP  DPPP.  Pemahaman agama amat penting bagi mereka yang belum  terjebak dengan gejala seperti ini akan tetapi bagi mereka yang tidak  bernasib baik, mereka harus dipimpin ke jalan yang benar.Bimbing mereka  kembali mengenali tuhan bukan menyisihkan mereka lalu membuatkan mereka  terus hanyut dibawa arus gelora yang amat ganas di kota metropolitan  ini.
KP DPPP berjanji akan berusaha membawa permasalahan mereka  ini ke peringkat yang lebih tinggi dan akan dibincangkan secepat  mungkin baik di peringkat Parlimen amnya dan PAS serta Pakatan Rakyat  khususnya. KP DPPP juga berjanji ini bukanlah lawatan yang terakhir  pertama dan terakhir, tetapi merupakan titik tolak permulaan kepada  perubahan terhadap yayasan ini. DPPP juga menawarkan sekiranya  memerlukan khidmat sukarelawan yang terdiri daripada pemuda, DPPP  sanggup menghulurkan bantuan. Wallahualam
 


 
 
 
 





 
0 ulasan:
Catat Ulasan