
Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan  (DPPWP) mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kelab Penyokong PAS (KPP)  yang bakal dinaiktarafkan kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)  hujung minggu ini.
DPPWP melihat bahawa ini adalah satu  langkah bijak pimpinan untuk menarik lebih ramai mereka yang bukan Islam  untuk bersama-sama bernaung dibawah kepimpinan PAS.
Kejayaan PAS memecahkan kepercayaan lama  masyarakat bukan Islam terhadap dasar perjuangan Islam yang dibawa PAS  melalui slogan PAS For All membuktikan bahawa PAS mampu menjadi parti  politik yang dinamik dan dominan dimasa depan.
Hari ini  sahaja kita mendapat begitu banyak permintaan dari mereka yang bukan  Islam untuk bersama dengan PAS. Mereka menyertai Kelab Penyokong PAS dan  berkerja bersama-sama ahli PAS yang lain.
Dalam keghairahan ini, DPPWP melontarkan  satu lagi pandangan yang harus diambil serius oleh peringkat kepimpinan  khususnya dalam Lajnah Perpaduan Nasional dan DHPP. DPPWP berharap agar  satu modul latihan diperkenalkan bagi membimbing ahli-ahli DHPP supaya  lebih memahami dan menjiwai perjuangan PAS.
Perkara ini pernah disentuh dalam ucapan  Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Muktamar tahun  lepas. Dalam ucapan itu beliau menyebut;
“….Sebagai satu proses memperkasakan  Kelab Penyokong PAS, maka program orientasi khusus dan umum kepada ahli  kelab mestilah dilaksanakan untuk memberi kefahaman yang jelas mengenai  perjuangan PAS. “
Kita tidak memaksa mereka yang bukan  Islam untuk memeluk Islam, tetapi kita mahu mereka belajar cara kerja  Islam dalam PAS disamping saling berkongsi cara kerja terbaik dalam  masyarakat mereka khususnya bagi kaum Cina dan India supaya boleh  memberikan manfaat kepada PAS.
Jika ahli PAS sedia ada kita galakan  menyertai Usrah, Tamrin serta pelbagai program kepimpinan dan latihan  lainnya, maka ahli DHPP juga berhak untuk menerima sesuatu dari PAS  untuk diri mereka. Kita tidak mahu mereka hanya didaftarkan sebagai ahli  tetapi tidak memahami hasrat keseluruhan perjuangan PAS.
Kita tidak mahu mereka hanya terlibat  membantu untuk kempen PAS semasa Pilihanraya atau semasa hari-hari  perayaan dan program tertentu sahaja. Kita mahu mereka bersama-sama kita  disemua tempat termasuk seminar dan kuliah supaya kita dapat saling  memperkukuhkan kerjasama.
DPPWP yakin mereka akan lebih seronok  bersama PAS jika kita ada satu modul yang serius untuk mereka memahami  kenapa mereka perlu bersama PAS dan apa yang PAS boleh berikan kepada  mereka.
DPPWP mengucapkan jutaan terima kasih  kepada rakan-rakan dalam DHPP diatas sokongan mereka kepada PAS.
“PAS For All”
Herman Samsudeen
Pemangku Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
Pemangku Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
 


 
 
 
 





 
0 ulasan:
Catat Ulasan