KUALA LUMPUR, 25 Mei: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penyelesaian isu tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar harus didasarkan kepada prinsip ketelusan terutamanya apabila ianya membabitkan kepentingan nasional dan khazanah negara. Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia itu berkata, kerjasama dan hubungan diplomatik yang baik di antara Malaysia dengan Singapura merupakan satu keutamaan. “Kita hargai kepentingan hubungan antara kedua negara ini terutamanya menyangkuti bidang ekonomi dan pelaburan serta usaha berterusan bagi menyelesaikan isu berbangkit. “Kita difahamkan bahawa isu tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad yang selama ini menjadi pertikaian di antara Malaysia dan Singapura telah diselesaikan semalam,” ujarnya. Katanya, penyelesaian yang kononnya dikenali sebagai “penyelesaian muktamad” agak mengejutkan kerana setahu beliau beberapa persoalan berkaitan kepentingan negara di negara jiran itu adalah lebih rumit dan harus ditangani dengan bijak serta teliti. Menurutnya, kenyataan bersama Datuk Seri Najib Razak kelihatannya mengakibatkan beberapa kepentingan negara; Stesen Keretapi Tanjung Pagar, beberapa keping tanah di Kranji, Woodlands, Tanjung Pagar serta Lot 76-2 mk 16, Lot 249 Mk 4 dan Lot 32-10 Mk 16 dipercayai merugikan. “Kita gusar kerana persefahaman yang dipersetujui YAB Perdana Menteri itu dibuat serta diumumkan dengan tergesa-gesa tanpa memberi maklumat terperinci sedangkan persoalan ini membabitkan isu kedaulatan dan kepentingan negara. Ini bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri dan kerajaan sebelum ini,” ujarnya. Menurutnya lagi, sungguhpun dinyatakan tanah-tanah tersebut akan diamanahkan kepada sebuah syarikat yang bernama M-S Pte Ltd di mana Khazanah memiliki 60% dari kepentingannya, namun dari kenyataan tersebut terdapat kemungkinan besar kepentingan-kepentingan terbabit akan ditukarkan dengan tanah di kawasan yang lain. “Kita curiga nilai tanah yang ditukarkan itu; sama ada di Marina South dan/atau Ophor Rochir, tidak menandingi nilai tanah milik KTMB itu. Apa yang lebih membimbangkan pembabitan Khazanah hanyalah sebagai alasan untuk meletakkan kepentingan syarikat kroni. “Kita tuntas mempersoalkan kebijaksanaan keputusan Kerajaan Malaysia kerana sebarang pembangunan yang bakal dilaksanakan nanti pastinya tidak berupaya menjana kegiatan ekonomi domestik,” katanya yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat. Beliau mempersoalkan berapa ramaikan para pengusaha, kontraktor mahupun pembekal Malaysia yang bakal terlibat dengan pembangunan usahasama Syarikat M-S Pte Ltd itu. Anwar juga menggesa pentadbiran Najib untuk segera menjelaskan secara terperinci maksud sebenar bahawa points of agreement (POA) di antara Kerajaan Singapura dan Malaysia boleh ditambahkan dengan terma serta syarat baru kononnya untuk memaksimumkan potensi tanah-tanah tersebut di negara jiran itu. Beliau juga mahukan penjelasan sama ada Najib menggunakan POA 1990 yang digariskan Tun Daim Zainuddin, menteri kewangan ketika itu sedangkan ianya tidak mendapat persetujuan Kabinet. Selain itu, katanya kerajaan sewajarnya menjelaskan apakah kedudukan sebenar isu air serta wujudnya penyemakan semula harga air mentah yang kita bekalkan kepada Singapura. “Kita menggesa Datuk Seri Najib untuk membentangkan kertas laporan di sidang parlimen pada bulan Jun ini,” katanya lagi. |
Selasa, 25 Mei 2010
Penyelesaian isu tanah KTMB mesti telus
di
5:58 PTG
·
Label: ISU RAKYAT
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan