
Memahami Gerak Kerja  hisbah
TAKRIF HISBAH
HISBAH  ialah `Menegakkan yang ma'ruf apabila ianya ditinggalkan secara  terang-terangan dan mencegah kemungkaran apabila ianya dilakukan secara  terang-terangan pula'.
Ini membawa maksud bahawa sekiranya  ianya ditinggalkan atau dilakukan secara sembunyi maka ianya bukan lagi  merupakan tanggungjawab hisbah, tetapi menjadi tanggungjawab para hakim  apabila wujud pendakwaan yang mana ianya melibatkan penyaksian dan  keterangan.
WAJIBNYA HISBAH
Ramai orang menyangka bahawa walaupun melaksana tugas-tugas amar  ma'ruf dan nahi mungkar diberikan ganjaran yang amat besar, tetapi  mereka menyangka tidak menjadi kesalahan jika meninggalkan kerja-kerja  tersebut. Mereka menyangka kejayaan hanya terhenti kepada usaha-usaha  dan amal-amal berkaitan dengan ibadat-ibadat seperti solat, puasa,  sedekah, haji dan sebagainya sahaja dan kesalahan serta keburukan orang  lain tidak menjadi tanggungjawab mereka untuk membetulkannya.
Mereka seolah-olah telah lupa ataupun sengaja cuba melupakan bahawa  tugas ini merupakan arahan Allah dan melaksanakannya merupakan prasyarat  kepada kejayaan di dunia dan juga di akhirat. Maka bersandarkan kepada  nas-nas di atas, para ulama' berpendapat bahawa kerja-kerja hisbah  adalah sesuatu yang fardhu.  Antara mereka ialah ada yang menyatakan  bahawa amar ma'ruf dan nahi mungkar merupakan dua fardhu dari  fardhu-fardhu Allah manakala Abu Bakar al Jassas berpendapat Allah  memperkuatkan kefarduannya dalam beberapa ayat manakala Rasul-Nya pula  menjelas melalui hadith-hadith yang mutawatir darinya.  Oleh itu dalil  wajibnya melaksanakan hisbah bersandarkan kepada :
•    Arahan  Allah dan Rasul-Nya
•    Iman dan Hisbah merupakan dua perkara yang  tidak boleh dipisahkan
•    Antara yang menjadi syarat kepada bai'ah  ialah memberi nasihat sesama muslim
•    Antara syarat mendapat  kejayaan ialah melaksanakan kerja-kerja hisbah
•    Meninggalkan  tanggungjawab hisbah dianggap bersekutu dalam melakukan kemungkaran dan  dosa bersama-sama pelakunya
•    Amaran keras dengan azab Allah  disebabkan meninggalkan kerja-kerja hisbah
•    Turunnya azab Allah  diakibatkan kerana meninggalkan hisbah.
STATUS KEFARDHUAN HISBAH 
Para Ulama'  berselilih pendapat dalam menentukan status kefarduannya sama ada fardhu  `ain ataupun fardhu kifayah, namun dalam suasana-suasana tertentu para  Ulama' bersepakat mengatakan bahawa ianya boleh berubah menjadi fardhu  `Ain.  Antara suasana-suasana tersebut ialah :
•    Apabila  petugas atau pegawai dilantik oleh pihak berkuasa
•    Apabila tidak  kedapatan orang lain yang mengetahui dan memahami kewajipan hisbah  kecuali dirinya sahaja
•    Apabila kemampuan untuk melaksanakan  tugas ini hanya terbatas kepada beberapa orang sahaja maka hisbah itu  menjadi fardhu `ain ke atas mereka
•    Apabila berlaku perubahan  situasi di mana bilangan para da'ie berkurangan ditambah pula dengan  bertambahnya kemungkaran serta kejahilan menguasai keadaan, maka ketika  itu hisbah menjadi fardhu `ain.
AMAR  MA'RUF
•    Hak-hak Allah
Wajib ke atas  al-Muhtasib melaksanakan tugas amar ma'ruf dan nahi mungkar apabila  berkenaan perkara-perkara yang berkait dengan hak Allah seperti  sembahyang Juma'at sembahyang jamaah di masjid dan lain-lain yang secara  terbuka ditinggalkan.
•    Hak-hak Anak Adam
Ianya terbahagi  kepada dua:
1.    Hak Am
Merangkumi semua perkara yang berkaitan  dengan keperluan manusia seperti bekalan air minuman di dalam sesebuah  negeri atau kemudahan-kemudahan awam yang asasi.  Perkara ini bergantung  kepada kedudukan kewangan negeri atau baitulmal dan pihak kerajaan  bertanggungjawab supaya memperbaiki keadaan tersebut.  kalau tidak ada  harta baitulmal, hendaklah diarahkan orang-orang Islam yang kaya untuk  menyelesaikan masalah tersebut.
2.    Hak Khas
Ianya mencakupi  hak-hak yang berkaitan dengan individu-individu seperti hutang piutang  dan lain-lain hak.  Dalam keadaan ini, muhtasib hendaklah mengarahkan  kepada orang-orang yang berhutang supaya membayar hutang-hutang mereka  dengan syarat ada pengaduan dan jika mempunyai keupayaan.
3.     Hak bersama
Ianya mencakupi antara lainnya perkara-perkara berikut:-
•     Mengarahkan para bapa mengahwinkan anak-anak perempuan mereka  apabila menepati syarat-syarat agar mereka tidak terhalang daripada  berkahwin
•    Mewajibkan para wanita mematuhi idah mereka sama ada  idah wafat atau idah talaq
•    Mengarahkan pemilik-pemilik  pengangkutan supaya tidak memuat secara berlebihan ke atas kenderaan  mereka
•    Mengambil kecaknaan terhadap luqatah seperti kehilangan  barangan dan sebagainya
NAHI  MUNGKAR
•    Hak-hak Allah
Antaranya:
1.     Berkaitan dengan `ibadah yang mengandungi perkara-perkara berikut:
•     Orang melakukan `ibadah tidak mengikut syari`at Islam
•    Orang  yang tidak mengambil berat terhadap kesihatan tubuh badan pakaian dan  tempat sembahyang
•    Orang yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan  tanpa ada keuzuran syar'ie
•    Orang yang tidak membayar zakat  harta-harta batin
•    Orang yang mengajar dan memberi fatwa tanpa  ada ilmu.
2.    Berkaitan dengan larangan-larangan syara'
•     Hendaklah mencegah orang ramai dari berada ditempat-tempat yang  meragukan dan yang boleh mendatangkan tohmahan serta tuduhan orang  seperti wujudnya percampuran kaum lelaki dan perempuan yang bukan mahram  di tempat-tempat yang diragui.
3.    Berkaitan dengan mu'amalah
•     Hal ini mengandungi mu'amalah-mu'a malah yang mungkar dari sudut  syara' seperti jual beli yang tidak sah dan apa-apa urusan jual beli  yang dilarang oleh syara' walaupun di kalangan mereka saling redha  menredhai seperti penipuan harga, timbangan dan sukatan.
•    Hak-hak  Anak Adam
1.    Hak jiran
Hal ini mengandungi pencerobohan  seseorang terhadap sempadan jirannya.  Walaupun begitu, muhtasib tidak  boleh mengambil tindakan selagi tidak ada aduan dari jirannya.
2.     Di pusat-pusat perniagaan dan di kilang-kilang; ada tiga keadaan  yang perlu diambil perhatian:
•    Kesempurnaan dan kekurangan,  contoh kerja-kerja perubatan yang dilakukan oleh para doktor
•     Amanah dan khianat; contohnya amalan tukang-tukang jahit yang tidak  menepati janji
•    Elok dan tidak elok dalam apa-apa kerja yang  dilakukan
•    Hak-hak bersama
Antarannya ialah pencegahan  perbuatan mengintai rumah orang lain, mencegah imam-imam masjid besar  daripada memanjangkan sembahyang dan mencegah para hakim daripada tidak  melayani orang-orang yang berbalah, mencegah pemilik alat-alat  pengangkutan dari mengangkut lebih dari had muatan dan lain-lain lagi.   Muhtasib hendaklah melaksanakan apa-apa tugas lain yang  dipertanggungjawabkan ke atas mereka oleh pihak berkuasa selain dari  perkara-perkara yang disebutkan di atas.
PENUTUP
Semoga dengan penerangan  ringkas ini memberi kefahaman kepada semua untuk menggerakkan hisbah.  Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kitab Al Ahkam As Sultaniah oleh Imam  Mawardi.
Disediakan Oleh :
Unit Penerangan Hisbah PMRAM  2010
Isnin, 10 Mei 2010
HISBAH MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
di
7:18 PTG
·
      
Label: ILMU ITU CAHAYA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
 


 
 
 
 





 
0 ulasan:
Catat Ulasan