Selepas menerima kehadiran tentera Amerika  Syarikat dalam perarakan di Moskow, Presiden Rusia Dmitri Medvedev  mengadakan lawatan ke Syria - dan kemudian Turki - buat pertama kali  dalam tempoh yang panjang.
Syria ialah  sekutu rapat Kesatuan Soviet semasa Perang Dingin, dan menjadi sumber  senjata Rusia untuk Iran semasa perang Iran-Iraq.
Syria terus  menjadi sekutu rapat Rusia selepas keruntuhan Soviet, dengan  perkembangan terbaharu menunjukkan Medvedev datang dengan agenda  mengukuhkan kedudukan sebagai pemain penting, kuasa besar di Asia Barat  melalui hubungan dengan Syria yang berpengaruh di Lubnan, Iraq dan  bekerjasama dengan Iran, satu lagi pemain penting politik Asia Barat.
Dalam  keadaan Syria ditekan AS, yang memperbaharui sekatan ke atas Syria  baru-baru ini, Moskow menunjukkan kepada dunia isyarat bahawa ia kuasa  penting dalam sebarang perkiraan. Perbincangan Medvedev dengan Bashar  al-Assad mungkin merangkumi agenda ini, meningkatkan kuasa tawar-menawar  kedua-dua Damsyik dan Moskow.  
Moskow  mengiktiraf Hamas yang dilabel teroris oleh Washington, dan lawatan ini  memberikan petanda prospek kerjasama yang lebih rapat Rusia dengan Syria  ekoran ketegangan hubungan Syria dengan AS.  Syria turut menyalurkan  senjata Rusia kepada Hizbullah, sebuah lagi kumpulan yang dilabel  teroris oleh AS.
Lawatan ke Turki penting bagi Rusia ketika Ankara sedang menggerakkan dasar luar yang lebih bebas dan kekal menjadi laluan penting pengangkutan bahan bakar ke Eropah, pada masa sama juga antara pengimport terbesar bahan itu dari Rusia.
Peningkatan hubungan ini menjadikan Rusia semakin penting dalam politik Asia Barat.
 



 
 
 
 





 
0 ulasan:
Catat Ulasan