KOTA BHARU, 15 Mei:  Biar pun tinggal beberapa jam lagi lebih 54,000 pengundi di Sibu akan  membuang undi, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan  mereka jangan lupa mengundi calon DAP.
“Saya minta semua pengundi undi calon  DAP. Ini kerana DAP sekarang berada bersama PAS dan KeADILan dalam  Pakatan Rakyat.
“Orang PAS dari seluruh negara datang  membantu kempen di Sibu biar pun habis duit dan tenaga tak apa asalkan  dapat berkhidmat kepada Islam.
“Jadi saya minta rakyat Sarawak di Sibu  tolong undi calon Pakatan iaitu DAP. Di mana sahaja ada calon PAS, undi  PAS. Kalau tidak ada calon PAS undi calon PKR, dan kalau tidak ada calon  PKR undi DAP,” katanya di sini.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga  Mursyidul Am PAS berkata, perubahan yang ketara berlaku kepada  kepemimpinan DAP sekarang di mana mereka lebih terbuka dan bersikap  intelektual. Menurutnya dahulu DAP tidak mahu mendampingi PAS kerana  perjuangan Islam yang dibawa, namun sekarang mereka sudah faham.
“Sekarang pemimpin PAS dan DAP boleh  berceramah bersama. Ketika ceramah saya sebut tentang Islam dari aspek  ekonomi, sosial dan semua sudut kehidupan berpaksikan Islam.
“Dan alhamdulillah mereka terima. Apa  sahaja perkara yang tidak faham mereka tanya kami. Pemimpin DAP sekarang  kebanyakan intelektual, berpelajaran dan berfikiran terbuka. Sekarang  ramai pemimpin DAP sebut Assamualaikum,” katanya.
Menurut beliau lagi, situasi itu berlaku  sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w pernah meminta orang Yahudi  berkerjasama dengan orang Islam di Madinah. Ketika itu apabia ada musuh  yang menentang Yahudi Nabi Muhammad s.a.w akan membantu Yahudi. Dan jika  ada musuh menentang Islam di Madinah Nabi Muhammad meminta Yahudi  datang membantu.
“DAP menentang kerjasama dengan PAS  kerana mereka tidak faham Islam. Usahkan DAP, Melayu UMNO pun marah  kepada PAS kerana memperjuangkan Islam. UMNO mendakwa PAS menimbulkan  pecah belah dan tiada kemajuan, sedangkan dakwah yang dibawa PAS ialah  Islam.
Menurutnya Tuan Guru Nik Aziz, pemimpin  DAP sekarang mendengar sendiri mengenai Islam daripada pemimpin PAS dan  tidak lagi terpengaruh tindakan pemimpin Umno memburukkan Islam.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan  berkata, Islam memberi kebebasan kepada penganut agama lain mengamalkan  ajaran mereka.
“Kita hanya terang tentang agama Islam  dan jika mereka tidak mahu terima itu hak mereka. Saya juga banyak  menerima kunjungan paderi dan sami datang ke pejabat.
“Saya sebut Tuhan hanya satu ialah  Allah. Semua agama melarang perbuatan mungkar seperti judi, zina dan  rogol.
“Ini sudah menggambarkan ada titik  pertemuan di antara kami dengan agama lain,” ujarnya.
Beliau menyifatkan kejayaan besar hasil  dakwah di Kelantan apabila orang bukan Islam tidak lagi marah kepada  PAS. – sumber HarakahDaily, diedit semula oleh SUARA.
 



 
 
 
 





 
0 ulasan:
Catat Ulasan