Rabu, 19 Mei 2010

DAILOG PAS - PADERI BERJAYA

·





Buat julung kalinya PAS Perak berjaya menganjurkan program Ramah Mesra & Dialog bersama paderi-paderi dari sembilan buah gereja di bandaraya Ipoh. Seramai 23 orang paderi-paderi gereja dari berbagai mazhab hadir di Hotel Hilcity petang semalam. Sebahagian yang lain tidak dapat hadir kerana menghadiri program gereja di Pulau Pinang.

Program yang penuh mesra dan ceria berjaya merapatkan hubungan antara PAS dan pihak gereja yang sebelum ini terpisah kerana prejudisnya pihak gereja terhadap PAS. Salah seorang wakil mereka Dr. Teoh yang menyampaikan ucapan aluan menyatakan dengan telus sekiranya 3 tahun sebelum ini PAS menjemput mereka hadir, sudah pasti tidak ada pihak gereja yang mahu hadir. Ini kerana gambaran yang mereka terima bahawa PAS adalah parti agama yang ekstrim dan ganas.


Setelah PAS berpengalaman menerajui negeri Perak bersama DAP dan PKR serta pengalaman memerintah di negeri-negeri lain dan pendirian PAS dalam isu kalimah Allah dan keganasan,
sikap dan pemikiran mereka mulai terbuka terhadap PAS, prejudis golongan gereja terhadap PAS mula terhakis dan kini mereka lebih percaya dengan PAS berbanding dengan UMNO.


Pimpinan PAS yang diketuai oleh YB Dato' Seri Hj Nizar telah berjaya menjawab semua persoalan yang dibangkitkan oleh paderi dalam sesi dialog. Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Setiausaha Perhubungan PAS Perak selaku pihak penganjur. Dalam ucapan aluan beliau menyatakan bahawa program hari ini adalah titik permulaan mencari persefahaman dan persamaan antara PAS dan gereja dalam menangani apa sahaja isu masyarakat dan negara. Sebagaimana PAS yang boleh bergabung dengan DAP walaupun berlainan ideologi, sudah tentu PAS juga boleh berkerjasama dengan pihak gereja dalam menangani persoalan yang sama dengan melihat dari persepktif agama yang bersifat universal.

Antara pimpinan PAS yang hadir ialah Dr. Khairuddin, YB Khalil Idham Lim, YB Zainuddin Yusuf, Pemangku Ketua Dewan Ulama, Setiausaha Dewan Ulama, Ketua Pemuda, Ketua Muslimat dan beberapa Jawatankuasa hariannya. Turut hadir sebagai tetamu ialah YB Dr. Mujahid Yusuf, AJK PAS Pusat.

Penghujung program, para paderi yang hadir menyatakan rasa gembira dengan pertemuan ini dah mengharapkan ia lebih kerap lagi dianjurkan.

sumber

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails