Isnin, 10 Mei 2010

Rusia, Syria dan Turki

·

Selepas menerima kehadiran tentera Amerika Syarikat dalam perarakan di Moskow, Presiden Rusia Dmitri Medvedev mengadakan lawatan ke Syria - dan kemudian Turki - buat pertama kali dalam tempoh yang panjang.

Syria ialah sekutu rapat Kesatuan Soviet semasa Perang Dingin, dan menjadi sumber senjata Rusia untuk Iran semasa perang Iran-Iraq.

Syria terus menjadi sekutu rapat Rusia selepas keruntuhan Soviet, dengan perkembangan terbaharu menunjukkan Medvedev datang dengan agenda mengukuhkan kedudukan sebagai pemain penting, kuasa besar di Asia Barat melalui hubungan dengan Syria yang berpengaruh di Lubnan, Iraq dan bekerjasama dengan Iran, satu lagi pemain penting politik Asia Barat.

Dalam keadaan Syria ditekan AS, yang memperbaharui sekatan ke atas Syria baru-baru ini, Moskow menunjukkan kepada dunia isyarat bahawa ia kuasa penting dalam sebarang perkiraan. Perbincangan Medvedev dengan Bashar al-Assad mungkin merangkumi agenda ini, meningkatkan kuasa tawar-menawar kedua-dua Damsyik dan Moskow. 

Moskow mengiktiraf Hamas yang dilabel teroris oleh Washington, dan lawatan ini memberikan petanda prospek kerjasama yang lebih rapat Rusia dengan Syria ekoran ketegangan hubungan Syria dengan AS.  Syria turut menyalurkan senjata Rusia kepada Hizbullah, sebuah lagi kumpulan yang dilabel teroris oleh AS.

Lawatan ke Turki penting bagi Rusia ketika Ankara sedang menggerakkan dasar luar yang lebih bebas dan kekal menjadi laluan penting pengangkutan bahan bakar ke Eropah, pada masa sama juga antara pengimport terbesar bahan itu dari Rusia.

Isu besar politik serantau, senjata dan kerjasama ekonomi bakal meningkatkan hubungan Rusia dengan kedua-dua Syria dengan Turki, kuasa yang semakin penting dalam mencorakkan politik Asia Barat ketika ini, termasuk melalui sokongan mereka kepada Palestin dan Iran.

Peningkatan hubungan ini menjadikan Rusia semakin penting dalam politik Asia Barat.
 
http://politikpop.blogspot.com 

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails