| KOTA BHARU, 7 Mei: Datuk Husam  Musa berkata,  memandangkan Umno mendakwa beliau menggunakan peruntukan  RM4 juta  sehingga menyebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah  Badawi  tersingkir dan Umno Kelantan semakin tenat, beliau akan  meneruskan  hasrat tersebut hingga ke Putrajaya. “Memang dakwaan RM4 juta memfitnah Pak Lah dan sebagainya adalah   fitnah, tetapi dengan fitnah itu ianya menjadi satu modal buat saya   untuk membuka satu tabung untuk menawan Putrajaya dengan kos RM20 juta,”   katanya dalam nada menyindir ketika menyampaikan ceramah di Taman Guru   di sini, malam tadi.
 Katanya, semoga dengan fitnah yang dibuat oleh mereka yang tidak   bertanggungjawab itu sehingga memberikannya sebagai satu ilham, diharap   tabung RM20 juta berjaya disemarakkan ke Putrajaya.
 Katanya lagi, beliau berbuat demikian kerana tidak mahu terperangkap   dalam perangkap yang dipasang oleh pihak lawan kepada PAS.
 Sambungnya, ia sebagai taktik pihak kerajaan untuk tidak memberi  ruang  pada PAS melawan mereka.
 “Kalau lawan saja mereka mulalah keluar PAS guna RM4 juta untuk   musnahkan Pak Lah dan sebagainya, itu tidak betul, lainlah kalau kita   guna duit kerajaan, belum apa-apa lagi SPRM akan hambat kita,” ujar Ahli   Jawatankuasa PAS Pusat itu lagi.
 Katanya lagi, pemimpin PAS sejak awal lagi sering diberi sumbangan  oleh  para dermawan yang ingin melihat syariat Islam tersebar di negara  ini.
 Menurutnya, sebagai contoh beliau sendiri yang hanya mendapat bayaran   gaji RM400 sewaktu bekerja di Pejabat PAS, namun boleh keluar   berceramah ke mana-mana, kerana ada yang memberi sumbangan.
 “Ianya berlarutan sewaktu saya menjadi anggota Parlimen, bantuan yang   pelbagai turut saya terima dari penyokong di bawah, semuanya kerana   perjuangan Islam, begitu juga untuk bantuan zakat saya turut menerima   sumbangan untuk diagihkan pada rakyat,” ujarnya lagi.
 Tambahnya lagi, semangat rakyat untuk melihat pentadbiran kerajaan   diterjaui oleh mereka yang beramanah semakin hebat.
 
 Katanya, PAS tidak pernah memburukkan Pak Lah sewaktu berkempen,   sebaliknya hanya menceritakan kebaikan PAS, agar rakyat sedar.
 “Yang kata PAS berkempen burukkan Pak Lah biar sampai dia jatuh itu   hanya mainan media,” ujarnya lagi.
 Beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan turut menjelaskan, PAS sama  ada  kerajaan tidak pernah membayar sesiapapun sebanyak RM4juta untuk   menjatuhkan kerajaan termasuk bekas Perdana Menteri sebagaimana yang   didakwa.
 Menurutnya, Global Media Channel (GMC) hanyalah ditubuhkan sebagai PR   media.
 Katanya lagi,  sebagai sebuah syarikat yang tidak terikat dengan   mana-mana pihak, ianya lebih menjuruskan pada konsep perniagaan sama ada   dengan kerajaan negeri mahupun parti.
 “GMC yang diurus oleh seorang yang professional dalam bidang-bidang   tertentu telah menggerakkan beberapa projek melalui syarikat terbabit.
 “Antara perkara yang dia buat ialah buku yang bertajuk ‘Sketsa Tuan   Guru Sebagai Seorang Pemimpin Rakyat’ di mana dalam buku terbabit banyak   mempamerkan gambar-gambar Tuan Guru,” ujarnya.
 Tambahnya, pelbagai aksi Tuan Guru terkandung dalam  buku tersebut  dan  ianya diedarkan dalam pilihan raya umum 2008 lalu.
 Katanya lagi, seperkara lagi yang di buat oleh syarikat GMC ialah   poster Tuan Guru sedang berdoa di mana gambar-gambar itu juga disebarkan   kepada rakyat di negeri ini.
 “Ada maklumat yang menyatakan saya membayar pada GMC RM40,000,   sebenarnya saya membayar lebih daripada jumlah itu,” ujarnya lagi.
 Katanya lagi, rakyat tidak perlu mempersoalkan di mana peruntukan itu   diambil dan jangan berfikir sebagaimana pemimpin Umno berfikir.
 Husam menambah, sekiranya rakyat memikir sebagaimana Umno berfikir,   sampai bila-bilapun peruntukan lebih RM40,000 itu tidak akan terjumpa.
 “Kalau berfikir dengan otak PAS, begini jawapannya, Allah akan   menggandakan segala perbelanjaan untuk perjuangan fisabillillah dengan   berlipat kali ganda dengan tidak menzalimimu.
 “PAS sering dibantu oleh jutawan serta golongan  korporat yang ingin   mendapat keredhaan Allah di atas apa yang mereka belanjakan,” ujarnya.
 Kerana itu, tamabhnya mereka sering membantu PAS dalam sumber  kewangan  untuk membantu perjuangan parti itu dalam menegakkan syiar  Islam di  negara ini.
 Katanya, peruntukan yang dikatakan RM4 juta memang besar sebab dikira   dengan perbelanjaan sewa bangunan berkenaan.
 “Nasib baik sewa bangunan di Kelantan, kalau sewa di Putrajaya lagi   besar perbelanjaannya, kita ni kena kira biar betul dan jelas,” ujar   Husam lagi.
 | 
0 ulasan:
Catat Ulasan