 Parti Islam Se-Malaysia  (PAS) kesal dengan tindakan pemimpin Umno melalui Timbalan Menteri  Kewangan,
Parti Islam Se-Malaysia  (PAS) kesal dengan tindakan pemimpin Umno melalui Timbalan Menteri  Kewangan, Datuk  Dr Awang Adek Hussein yang mahu menimbangkan sekali lagi cadangan  meluluskan lesen judi Bolapsepak Piala Dunia 2010.
Hal ini  sudah jelas mendapat tentangan rakyat sejak cadangan pertamanya tahun  lepas. Namun kali ini ia berbangkit lagi dengan alasan bahawa kerajaan  gagal membanteras aktiviti sindiket perjudian haram. Alasan ini dengan  sendirinya membuktikan kelemahan sistem pentadbiran dan penguatkuasaan  kerajaan. Bila sudah gagal mereka keluarkan lesen untuk menghalalkan  pula.
Kempen memerangi dadah masih diteruskan  walaupun belum berjaya menghapuskan aktiviti pengedaran dan penagihan  dadah. Dadah diistihar sebagai musuh negara. Kenapa selepas  bertahun-tahun gagal membasmi dadah hingga ke akar umbi Kerajaan tidak  mengeluarkan lesen pengedaran dadah pula.
Kerajaan kata dadah  itu merosakan rakyat dan menjadi ancaman kepada negara kerana  menyebabkan ketagihan serta dorongan melakukan jenayah. Apakah judi  tidak memainkan peranan yang sama. Berapa ramai rakyat Malaysia yang  jadi kaki judi mengabaikan keluarga mereka, malah ada yang sanggup jadi  penjenayah untuk mendapatkan modal berjudi. Sepatutnya judi diistihar  sebagai musuh utama negara juga.
Rakyat Kelatan  khususnya pasti bersyukur dengan kekalahan Umno dan Awang Adek dalam  pilihanraya lalu dinegeri itu. Jika beliau menang dan Umno rampas  kerajaan Kelantan, pastilah beliau yang kononnya mahu diangkat menjadi  Menteri Besar akan menjadikan Kelantan sebagai Negeri Serambi Las Vegas  bukan lagi Serambi Mekah.
Disebabkan gagal di  Kelantan beliau yang mendapat peluang jadi Menteri melalui ehsan Najib  mahu jadikan Malaysia pula sebagai serambi Las Vegas. Tak dapat  Kelantan, satu negara diperjudikannya.
Mungkin tindakan ini  terdorong dek peluang yang dinikmati Singapura yang baru-baru ini  mendapat suntikan pelaburan sebanyak USD 5.7 Bilion dari Las Vegas Sand  Corp yang mahu membina sebuah Resort Perjudian mewah dinegara itu bagi  menyaingi Genting Highland. Projek Marina Bay Sand itu dijangkakan  mendatangkan pulangan USD 2 Bilion setahun dan menjadi antara sumber  kewangan baru bagi Kerajaan Singapura.
Oleh itu, Awang Adek  cuba menunjukan Malaysia lebih terbuka dari Singapura dengan harapan  syarikat Perjudian antarabangsa berminat membuka resortnya di Malaysia  pada masa akan datang. Krisis kewangan global menjadikan pemimpin Umno  buta mata, dan sanggup mengambil apa sahaja peluang untuk mengaut  keuntungan bagi membiayai projek-projek politik yang mereka janjikan  kepada rakyat sejak PRU-12.
Tahun ini usia Umno 64  tahun, bermakna sudah lebih 64 tahun mereka bergelumang dengan  perjudian. Di awal penubuhannya berbondong-bondong Ulama' dan  Ustaz-Ustazah keluar dari Umno menubuhkan PAS kerana kedegilan pemimpin  Umno yang tekad menjadikan loteri kebajikan dan pelbagai jenis judi  sebagai aktiviti ekonomi mereka hingga ke hari ini. 
Hari ini Umno masih  bersandarkan hasil judi untuk terus berdiri megah di PWTC. Lihat sahaja  senarai pemegang saham dan ahli Lembaga Pengarah beberapa syarikat judi  dalam negara. Malah, bila sebut pasal tokoh pelaburan judi dalam Umno  rakyat akan terbayang wajah Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku  Mansor.
PAS berharap agar  rakyat membuka mata dan bangkit menolak dasar-dasar perjudian yang cuba  dihalalkan Umno. PAS yakin, tanpa duit hasil judi, ekonomi negara ini  mampu melangkah jauh ke hadapan.
Ustaz Idris b.  Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
 


 
 
 
 





 
0 ulasan:
Catat Ulasan