Kejayaan cemerlang PAS dalam pilihan raya umum ke-12  pada 2008 telah  meletakkan PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama  yang dilihat oleh  rakyat berupaya mengambil alih pemerintahan negara.  Semenjak 1990, PAS  telah melangkah maju daripada sebuah parti  pembangkang yang dianggap  ‘ekstrem’ menjadi sebuah parti pemerintah  yang moderat dalam  melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan  semenjak 1990,  kemudian ke Terengganu pada 1999 hingga 2004, dan kini  PAS mendapat  kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor. Di  Parlimen juga, PAS  telah bangkit dan menguasai 10 peratus daripada  kerusi Parlimen atau 25  peratus daripada keseluruhan kerusi  pembangkang. Perkembangan ini  meletakkan PAS dalam perhatian peminat  politik, pengkaji dan juga  penyelidik.  
  Sebenarnya, kemunculan PAS dalam sejarah politik tanah air telah bermula   semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulamak yang bersidang di Kuala   Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan   Ulamak Se-Malaya. Nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi   Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 24 November 1951, dalam satu
persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.
persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai. Itulah sekelumit permulaan sejarah PAS yang diasaskan oleh para ulamak yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah yang penting di negara ini. Penglibatan dan sumbangan PAS dala politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji mengatakan PAS hanya menyertai politik menjelang pilihan raya 1955.
 Kemunculan PAS ini dikatakan hasil daripada silang  pengaruh yang berlaku  antara beberapa gerakan Islam yang lebih awal  seperti Ikhwanul Muslimun  di Mesir, Masyumi di Indonesia dan Jamaat  Islami di Pakistan.  Ketiga-tiga pengaruh ini telah menyerap masuk ke  Tanah Melayu melalui  para ulamak yang belajar di Mesir, Mekah, India  dan Indonesia. Ksedaran  yang awal ialah para ulamak atau umat Islam  memerlukan sebuah pertubuhan  atau badan yang boleh mewakili mereka  dalam semua aspek kehidupan  terutama dalam keadaan Tanah Melayu sedang  dijajah oleh British ketika  itu. Longgokan ksedaran ini kemudiannya  menghasilkan Majlis Tertinggi  Agama Malaya (MATA) pada 1947 diikuti  oleh Hizbul Muslimin pada 1948  kesan daripada usaha gigih Dr  Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar  al-Baqir. Walau bagaimanapun,  gerakan Islam yang berpusat di Gunung  Semanggol ini terkubur ekoran  penguatkuasaan Ordinan Darurat pada Jun  1948.  
 Para ulamak mengambil beberapa sikap selepas tragedi  darurat ini. Ada  yang ’tawakuf’ daripada politik kepartian tetapi  menggerakkan kesedaran  rakyat melalui institusi pendidikan atau media  massa. Dalam fraksi yang  lain, para ulamak telah mengambil sikap untuk  menyertai parti nasionalis  Umno bagi membolehkan isu-isu umat Islam  diperkatakan. Beberapa tokoh  Hizbul Muslimin seperti Tuan Haji Ahmad  Fuad Hassan, seorang lepasan  Maahad Il Ihya Assyariff, Gunung Semanggol  telah menyertai Umno pada  1950 dan dilantik mengetuai Bahagian Agama  dan Pelajaran Umno. Bahagian  ini kemudiannya mengaturkan beberapa  persidangan untuk membolehkan  ulamak menubuhkankan persatuan. Dalam  tulisannya, ”Ulamak Malaya Belum  Bersatu dan Belum Punya Persatuan”,  Haji Ahmad Fuad menyifatkan  kedudukan ulamak ketika itu umpama sampah  yang tidak dihargai kerana  tiada kekuatan. Lebih-lebih lagi ketika itu  ulamak telah muak dengan  sikap Umno yang mengabaikan isu pemurtadan  Natrah, pengajuran judi  loteri, fun fair, kaberat dan lain-lain. Dalam  satu persidangan ulamak  yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti  Pulau Pinang di Seberang  Perai pada 1951, mereka telah mengeluarkan  fatwa mengharamkan judi  loteri anjuran Umno.  
 Dalam konflik pelbagai yang dihadapi oleh para ulamak  dan situasi  politik semasa yang masih tidak menuju kepada jalan Allah  itu, maka para  ulamak membuat pendirian untuk menubuhkan PAS. Haji  Ahmad Badawi,  seorang ulamak di Seberang Perai telah mengeluarkan satu  manifesto yang  dinamakan ’Manifesto al-Badawi’ dengan tema ”Ulamak ke  Jalan Allah” bagi  menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24  November 1951.  Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan  politik Islam  yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan  demokrasi ke arah  membentuk sebuah negara yang diredhai Alah. Para  ulamak menolak  bentukbentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan  ideologi ciptaan  manusia yang dibawa masuk oleh penjajah.  
 Semenjak itulah, PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan  politik Islam yang  memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian  menyertai pilihan raya demi  pilihan raya. PAS juga menggunakan pelbagai  saluran untuk menyampaikan  mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa  kerjasama politik dengan  orang bukan Islam semenjak 1953. Di bawah  kepemimpin Tuan Guru Haji  Ahmad Fuad Hassan dan Dr Haji Abbas Alias,  PAS bercakap soal kemerdekaan  yang boleh ditegakkan hukum Islam. PAS  menolak kerakyatan jus soli yang  merugikan peribumi dan PAS mendesak  supaya Islam dijadikan dasar negara  yang merdeka. Apabila Dr  Burhanuddin al-Helmy mengambil alih  kepemimpinan PAS pada akhir 1956,  PAS mula memperincikan sikapnya  terhadap kemerdekaan yang hendak  dicapai yang dianggap ’masih kosong’  dari
matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,
matlamat sebenar kerana mengabaikan kebangsaan Melayu dan ketuanan Islam1. Hal ini tergambar daripada hasrat Dr Burhanuddin,
  ”Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan   terusmenerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara   Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha   suci”2.  
 Penyertaan PAS dalam  pilihan raya 1959 telah memberikan kejayaan besar  apabila Terengganu  dan Kelantan berjaya dikuasai. PAS membentuk kerajaan  yang dipimpin  oleh Mohd Daud Abdul Samad di Terengganu dan Ustaz Ishak  Lotfi Omar di  Kelantan sebagai Menteri Besar. PAS memulakan langkah  sebagai kerajaan  di dua negeri Pantai Timur untuk menterjemahkan  ideologi perjuangannya  yang berasaskan al-Quran dan Sunnah. Namun  begitu, kerajaan PAS di  Terengganu telah dijatuhkan pada Oktober 1961  hasil permainan politik  kotor Perikatan. Di Kelantan, PAS berjaya  bertahan sehingga BN  mendaruratkan Kelantan pada akhir 1977. Dalam  konteks ini, PAS-lah  satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan  oleh rakyat untuk  memerintah kerajaan negeri di negara ini.  
  Selepas kejatuhan Terengganu pada hujung 1961, PAS mulai menerima   tekanan-tekanan politik seperti penyalahgunaan ISA, penahanan Dr   Burhanuddin al-Helmy diikuti oleh sekatan politik, keganasan Pemuda   Tahan Lasak Umno dan beberapa siri pembunuhan politik. Perjuangan PAS   untuk memartabatkan kebangsaan Melayu Raya berasaskan Islam telah   dijadikan kambing hitam dalam Konfrantasi Indonesia pada 1963. PAS   menolak pembentukan Malaysia kerana mahukan sebuah negara Melayu yang   lebih besar meliputi seluruh alam Melayu dibentuk. Dalam masa yang sama   Umno mencanangkan isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada   beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura   antara 1964 hingga 1969, dan kemuncaknnya tercetus Tragedi 13 Mei 1969   yang mengubah landskap politik negara. Selepas tragedi ini, Datuk Mohd   Asri Muda yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung PAS semenjak 1965   telah dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 1971.  
 PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS  mula meneroka  kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik  negara,  mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam  pemerintahan.  PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk  Kerajaan Campuran  PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama  mengasaskan Barisan Nasional  (BN) pada 1974. BN mencapai kejayaan besar  dalam pilihan raya 1974 dan  PAS sendiri telah berjaya menembusi  ruang-ruang yang baru sehingga  membolehkan Islam di sampaikan ke corong  telinga rakyat dengan lebih  berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan  PAS dalam membentuk kestabilan  politik negara telah disalahgunakan oleh  musuh-musuh politiknya dengan  melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga  terjadi krisis politik Kelantan  pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak  Akta Darurat (Kelantan) 1977  yang menyebabkan PAS bukan sahaja  disingkirkan dari BN, tetapi turut  kehilangan Kelantan.  
 Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga  1982 di mana PAS  terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan  kuasa pemerintahan,  tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS  telah mengasaskan  kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982. Tuan Haji  Yusof Rawa telah  diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk  Mohd Asri yang  meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak  memperlihatkan PAS  kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan  Islam dan  memberikan penekanan terhadap kwajipan tersebut. Gerakan  dakwah PAS  berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki  dan dalam  masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan  non-Muslim  sehingga terbentuk Majlis Perundingan Cina (CCC). Di sudut  yang lain,  pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan  melaksanakan juzuk  tertentu daripada Islam seperti Dasar Penerapan  Nilai-nilai Islam, Dasar  Bersih, Cekap dan Amanah serta penubuhan Bank  Islam, Universiti Islam  Antarabangsa dan lain-lain.  
 Paling mencabar pada era kepemimpinan ulamak ialah  beberapa siri  penyalahgunaan ISA yang berlaku pada 1984, 1987 dan 1989,  ketimbang  dengan desakan PAS untuk diadakan Debat Terbuka PAS-Umno  pada 1984.  Dalam kemelut ini, tercetus pula tragedi Memali pada  November 1985 yang  mengorbankan 14 orang ahli PAS. Tetapi, pada 1987,  Umno pula menghadapi  krisis kepemimpinan sehingga parti tersebut  diharamkan. Yang Dipertua  Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor  memanfaatkan kesempatan ini dengan  mewujudkan kerjasama politik dengan  serpihan Umno, Semangat 46 yang  membolehkan PAS berkuasa semula di  Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS  (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru  Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat  diberikan kepercayaan untuk memimpin  kerajaan Kelantan semenjak 1990.  Dengan dasar ’Membangun Bersama  Islam’, PAS berjaya melaksanakan  tanggungjawabnya untuk menegakkan  hukum Allah yang berada dalam bidang  kuasana.  
 Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu  Semangat 46 (PMS46)  yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU)  yang dibentuk pada 1989  berpecah. Dua tahun kemudian, Umno sekali lagi  menghadapi perpecahan  ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang  menyebabkan wujudnya  gerakan Reformasi. PAS telah memimpin Majlis  Gerakan Keadilan Rakyat  Malaysia (GERAK) bagi menuntut keadilan kepada  rakyat, kemudian  menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui  BA, PAS berjaya  merampas semula Terengganu. Timbalan Presiden PAS,  Datuk Seri Tuan Guru  Haji Abdul Hadi Awang diamanahkan untuk mengetuai  kerajaan Terengganu  sehingga 2004. Selepas pencapaian lemah PAS pada  2004 kerana momentum  Perdana Menteri baru, PAS bangkit semula pada 2008  dengan mengetuai tiga  kerajaan negeri dan turut serta dalam kerajaan  di Selangor. Kini, PAS  dilihat sebagai pencabar utama Umno dalam  menguasai politik orang Melayu  Islam.  
  Sepanjang tempoh 1951-2008 ini, PAS telah dipimpin oleh tujuh orang Yang   Dipertua Agung/Presiden iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan   (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr Burhanuddin   al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd Asri Muda (1969-1982), Tuan Haji Yusof   Rawa (1982-1988), Dato’ Fadzil Mohd Noor (1988-2002) dan Datuk Seri  Tuan  Guru Haji Abdul Hadi Awang (2002 hingga sekarang). Para pengkaji  yang  menganalisis perkembangan PAS ini mengatakan PAS telah mengalami  empat  jenis kepemimpinan iaitu kepemimpinan ulamak tradisi (1951-1956),   kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis  kanan  (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang)3.   Dalam pada itu juga, mereka mengatakan PAS telah melalui empat tahap   perkembangan iaitu tahap kemunculan (1951-1959), tahap kebangkitan   (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan   tahap kebangkitan semula (1990-sekarang)4. Dari sudut   pembinaan ideologi perjuangan PAS, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu   fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan   ideologi (1958-1982) dan fasa pengukuhan idelogi (1982-1995)5.    
 1 Burhanuddin al-Helmy  (1957), Panduan Jiwa Pergerakan, dlm.  Suara Islam, Thn. 2, Bil. 1,  Disember.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Malaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.
2 Burhanuddin al-Helmy (1960), Sambutan Kemerdekaan Kali Ketiga, Utusan Melayu, 31 Ogos.
3 Mohd Fadli Ghani (2003), Dewan Pemuda PAS: Suatu Kajian Terhadap Tahap-tahap Perkembangan Organisasi
Dalam Era Bertindak, 1975-2003, Tesis Sarjana Sastera, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, h. 27.
4 Wan Abdul Rahman Latif (1992), Parti-parti Politik di Malaysia: Asas Perjuangan dan Penerimaan Masyarakat,
dlm. Dunia Islam, Feb., h. 35.
5 Zambry Abd Kadir (1995), Religion and Politics: The Search for Political Legitimacy of The Pan-Islamic Party of
Malaysia, Tesis PhD, Temple University, h. 25-28.
 



 
 
 
 





 
0 ulasan:
Catat Ulasan