 
 Parti  Islam Se-Malaysia (PAS) mahu Forum Ekonomi Islam Dunia (World Islamic  Economic Forum -WIEF) kali ke-6 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur  Convention Centre pada 18-20 Mei 2010 membincangkan beberapa isu  berkaitan hubungan ekonomi negara-negara Islam dengan Israel secara  serius.
Forum yang dihadiri oleh ketua-ketua  negara yang majoriti rakyatnya Islam harus melihat perkara ini sebagai  isu bersama. Jika di Malaysia kita dikejutkan dengan hubungan kayu tiga  Malaysia-Israel melalui promosi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan  Industri, syarikat perunding APCO worldwide, Satchi & Satchi serta  pelbagai pertemuan sulit pemimpin Umno dan Menteri Israel. Di negara  lain pula ada yang secara terbuka menjalikan hubungan ekonomi dan  diplomatik dengan Israel seperti Indonesia, Turki, Jordan, Mauritania  dan beberapa lagi negara.
Perkara ini harus diperhalusi oleh  setiap ketua-ketua negara yang kononnya menjadi kumpulan simpatisan  kepada Palestin yang dizalimi Israel sedangkan mereka semua termasuk  Kerajaan BN Malaysia bersekongkol untuk menyokong Zionis Israel. Mereka  kena boikot Israel dan semua syarikat yang ada hubungkait dengan pelobi  Israel termasuk APCO.
PAS yakin  umat Islam seluruh dunia menuntut keikhlasan ketua-ketua negara Islam  untuk melihat apa yang dilakukan oleh regim Zionis Israel kepada  Palestin dan segera memulaukan negara haram yang tidak berdaulat itu.
PAS mahu pemimpin-pemin Islam secara  terbuka menyatakan komitmen mereka dalam Forum ini untuk menekan Israel  sebagaimana Israel kini melobi dengan kuatnya di Majlis Keselamatan PBB  untuk menkan negara Iran yang menjadi ancaman mereka.
PAS juga mahu, negara-negara Islam  menyatakan pendirian mereka terhadap isu di Iraq, Afghanistan dan  terkini di Iran. PAS mahu, ketua-ketua negara Islam menunjukan bahawa  mereka boleh bersatu mempertahankan Iran dari dikenakan sekatan ekonomi.  Inilah masanya untuk mereka menunjukan kepada dunia bahawa mereka bukan  budak suruhan Amerika.
PAS menanti reaksi Kerajaan Malaysia dan  persiapan Forum ini. Diharapkan forum yang akan memfokuskan 8 perkara  melibatkan soal pelancongan, Logistik, SMEs, pengurusan air,  penjenamaan, teknologi pendidikan, keusahawanan dan etika perniagaan,  inovasi dan perbankan Islam ini tidak menutup mata dan pemikiran mereka  dari memikirkan soal kezaliman Israel kepada Palestin.
Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ketua Penerangan PAS Pusat
 

 
 

 
 
 
 





 
0 ulasan:
Catat Ulasan