Azerbaijan  mula menilai semula dengan serius hubungannya dengan Amerika Syarikat,  sekutu yang telah membina hubungan baik dengan negara Kaukasus itu sejak  keruntuhan Kesatuan Soviet.
Kedudukan  Azerbaijan di Kaukasus dekat Laut Kaspia, bersempadan Iran di selatan  dan Rusia dan Georgia di Utara menjadikan negara berpopulasi 8.8 juta  itu negara yang penting bagi AS disebabkan kedudukan geografinya.
Azerbaijan  juga menjadi elemen penting dalam percaturan strategik AS berhubung  tenaga di Kaukasus, dalam perkiraan untuk mengatasi Rusia yang menjadi  pembekal dan laluan utama sumber tenaga ke Eropah.
Satu  kejayaan berprofil tinggi ialah projek saluran minyak  Baku-Tbilisi-Ceyhan, legasi pentadbiran Bill Clinton yang tercatat  sebagai usaha jelas dalam menjejaskan dominasi Rusia dalam pengangkutan  bahan bakar dari timur ke Eropah.
Kebelakangan  ini, Azerbaijan dilihat dipinggirkan daripada agenda besar AS. Di  Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington, Azerbaijan tidak  dijemput, sedangkan negara seterunya Armenia dan Georgia termasuk dalam  senarai jemputan.
Usaha  Washington memulihkan hubungan Turki, sekutunya dalam Pertubuhan  Perjanjian Atlantik Utara (Nato), dengan Armenia telah menjadikan  Azerbaijan dipinggirkan.
Dalam  rundingan Ankara-Yerevan, isu Nagorno-Karabakh, wilayah Azerbaijan yang  diduduki Armenia akibat perang 1992-1994 tidak disertakan sekali dalam  rundingan, menimbulkan kemarahan baku terhadap kedua-dua Ankara dan  Washington, walaupun Turki di bawah AKP masih berhati-hati dalam  menangani Azerbaijan dan turut melihat Nagorno-Karabakh sebagai isu  penting.
Menteri Luar  Turki, Ahmet Davutoglu dalam kenyataan di Washington selepas bertemu  Presiden Armenia Serzh Sarkisian menyatakan ketiadaan wakil Azerbaijan  sebagai menjadikan pertemuan tersebut tidak langkap. 
Turki  melihat Azerbaijan, negara majoriti Muslim Syiah itu sebagai sekutu  penting, disebabkan faktor berhubung geografi dan juga faktor rumpun  bangsa Turki. Hal ini penting bagi Turki kerana Azerbaijan juga  dipengaruhi oleh Iran, yang boleh berperanan sebagai pesaing dalam hal  ini.
Walaupun  jalan perdamaian Turki-Armenia masih berliku, usaha ini menjadi agenda  penting bagi pentadbiran Presiden Barack Obama untuk dicapai. Kesukaran  bagi AS ialah mengimbangi kedua-dua Turki dan Armenia, dengan  berhati-hati dalam isu genosid dan menjanjikan pengiktirafan itu dalam  usaha menarik Armenia daripada pengaruh Rusia.
Lobi Armenia  yang kuat di AS dan dalam Parti Demokratik berjaya menjadikan isu  pembunuhan etnik Armenia oleh Uthmaniyah Turki sebagai satu isu penting  dalam kempen Obama. Obama menjanjikan pengiktirafan itu sejak kempennya  pada 2008.
Selepas  mendapat sokongan Kongres AS pada 2007, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar  Dewan Perwakilan pada Mac lalu meluluskan resolusi menggesa AS  mengiktiraf pembunuhan era Perang Dunia Pertama isu sebagai genosid,  walaupun resolusi ini ditentang secara terbuka oleh Setiausaha Negara  Hillary Clinton.
Lobi Armenia  - yang aktif di negeri penting politik AS seperti California - dijangka  meningkatkan lagi usaha mendapatkan pengiktirafan itu menjelang pilihan  raya pertengahan penggal Kongres AS hujung tahun ini.
Walau  bagaimanapun, Ankara dan Yerevan masih berdepan cabaran dalam memulihkan  hubungan, termasuk akibat perbezaan pendapat berhubung isu yang  ditangani dan tekanan politik dalaman.
Dalam  konteks ini, Washington kelihatan mengabaikan Azerbaijan hingga  mendorong pemerintah negara itu secara terbuka menyatakan kecenderungan  mengekalkan hubungan baik dengan Rusia, yang disifatkan sebagai faktor  penting serantau.
Untuk  menunjukkan tanda perubahan sikapnya, Baku juga membatalkan satu latihan  ketenteraan yang dirancang dengan AS pada 20 April lalu.
Ali Hasanov,  ketua jabatan politik Presiden Ilham Aliyev tidak lama dulu mengkritik  sikap AS yang disifatkan sebagai semakin pro-Armenia, sehingga  menjejaskan kedudukan Washington dalam proses damai melalui Kumpulan  Minsk, yang ditubuhkan oleh Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di  Eropah (OSCE) untuk mencari penyelesaian politik untuk  Nagorno-Karabakh.
Ekoran  kenyataan itu, pemerintah Azerbaijan turut menunjukkan kesediaan  menerima Iran sebagai pendamai dalam pertikaian ini, tindakan yang  menyampaikan mesej kepada Washington.
Baku  mengkritik usaha AS menggesa Turki membuka sempadan kepada Armenia, yang  dilihat sebagai menamatkan hukuman kepada Armenia yang masih lagi  menduduki wilayah Azerbaijan, sebelum sebarang persetujuan dicapai.
AS dan Barat  dinilai berpihak kepada Armenia sehingga mengabaikan terus  tuntutan-tuntutan Azerbaijan. Baku berpendapat ia dikhianati walaupun  telah menunjukkan setia kawan kepada Barat.
Tindakan  seterusnya pentadbran Obama akan memperlihatkan sejauh mana Washington  bersedia meminggirkan satu sekutu penting di Kaukasus, yang kini semakin  menghampiri orbit Rusia.
Akibat  pelbagai kepentingan, agak sukar dibayangkan AS meninggalkan terus  hubungannya dengan Washington, tetapi berdasarkan perkembangan hari ini,  Baku mungkin akan lebih menghargai kepentingan hubungannya dengan  Ankara dan Moskow. – 28 April, 2010
 



 
 
 
 





 
0 ulasan:
Catat Ulasan