Khamis, 6 Mei 2010

Armenia uji hubungan AS-Azerbaijan

·


Azerbaijan mula menilai semula dengan serius hubungannya dengan Amerika Syarikat, sekutu yang telah membina hubungan baik dengan negara Kaukasus itu sejak keruntuhan Kesatuan Soviet.

Kedudukan Azerbaijan di Kaukasus dekat Laut Kaspia, bersempadan Iran di selatan dan Rusia dan Georgia di Utara menjadikan negara berpopulasi 8.8 juta itu negara yang penting bagi AS disebabkan kedudukan geografinya.

Azerbaijan juga menjadi elemen penting dalam percaturan strategik AS berhubung tenaga di Kaukasus, dalam perkiraan untuk mengatasi Rusia yang menjadi pembekal dan laluan utama sumber tenaga ke Eropah.

Satu kejayaan berprofil tinggi ialah projek saluran minyak Baku-Tbilisi-Ceyhan, legasi pentadbiran Bill Clinton yang tercatat sebagai usaha jelas dalam menjejaskan dominasi Rusia dalam pengangkutan bahan bakar dari timur ke Eropah.

Kebelakangan ini, Azerbaijan dilihat dipinggirkan daripada agenda besar AS. Di Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington, Azerbaijan tidak dijemput, sedangkan negara seterunya Armenia dan Georgia termasuk dalam senarai jemputan.

Usaha Washington memulihkan hubungan Turki, sekutunya dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), dengan Armenia telah menjadikan Azerbaijan dipinggirkan.

Dalam rundingan Ankara-Yerevan, isu Nagorno-Karabakh, wilayah Azerbaijan yang diduduki Armenia akibat perang 1992-1994 tidak disertakan sekali dalam rundingan, menimbulkan kemarahan baku terhadap kedua-dua Ankara dan Washington, walaupun Turki di bawah AKP masih berhati-hati dalam menangani Azerbaijan dan turut melihat Nagorno-Karabakh sebagai isu penting.

Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu dalam kenyataan di Washington selepas bertemu Presiden Armenia Serzh Sarkisian menyatakan ketiadaan wakil Azerbaijan sebagai menjadikan pertemuan tersebut tidak langkap.

Turki melihat Azerbaijan, negara majoriti Muslim Syiah itu sebagai sekutu penting, disebabkan faktor berhubung geografi dan juga faktor rumpun bangsa Turki. Hal ini penting bagi Turki kerana Azerbaijan juga dipengaruhi oleh Iran, yang boleh berperanan sebagai pesaing dalam hal ini.

Walaupun jalan perdamaian Turki-Armenia masih berliku, usaha ini menjadi agenda penting bagi pentadbiran Presiden Barack Obama untuk dicapai. Kesukaran bagi AS ialah mengimbangi kedua-dua Turki dan Armenia, dengan berhati-hati dalam isu genosid dan menjanjikan pengiktirafan itu dalam usaha menarik Armenia daripada pengaruh Rusia.

Lobi Armenia yang kuat di AS dan dalam Parti Demokratik berjaya menjadikan isu pembunuhan etnik Armenia oleh Uthmaniyah Turki sebagai satu isu penting dalam kempen Obama. Obama menjanjikan pengiktirafan itu sejak kempennya pada 2008.

Selepas mendapat sokongan Kongres AS pada 2007, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan pada Mac lalu meluluskan resolusi menggesa AS mengiktiraf pembunuhan era Perang Dunia Pertama isu sebagai genosid, walaupun resolusi ini ditentang secara terbuka oleh Setiausaha Negara Hillary Clinton.

Lobi Armenia - yang aktif di negeri penting politik AS seperti California - dijangka meningkatkan lagi usaha mendapatkan pengiktirafan itu menjelang pilihan raya pertengahan penggal Kongres AS hujung tahun ini.

Walau bagaimanapun, Ankara dan Yerevan masih berdepan cabaran dalam memulihkan hubungan, termasuk akibat perbezaan pendapat berhubung isu yang ditangani dan tekanan politik dalaman.

Dalam konteks ini, Washington kelihatan mengabaikan Azerbaijan hingga mendorong pemerintah negara itu secara terbuka menyatakan kecenderungan mengekalkan hubungan baik dengan Rusia, yang disifatkan sebagai faktor penting serantau.

Untuk menunjukkan tanda perubahan sikapnya, Baku juga membatalkan satu latihan ketenteraan yang dirancang dengan AS pada 20 April lalu.

Ali Hasanov, ketua jabatan politik Presiden Ilham Aliyev tidak lama dulu mengkritik sikap AS yang disifatkan sebagai semakin pro-Armenia, sehingga menjejaskan kedudukan Washington dalam proses damai melalui Kumpulan Minsk, yang ditubuhkan oleh Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) untuk mencari penyelesaian politik untuk Nagorno-Karabakh.

Ekoran kenyataan itu, pemerintah Azerbaijan turut menunjukkan kesediaan menerima Iran sebagai pendamai dalam pertikaian ini, tindakan yang menyampaikan mesej kepada Washington.

Baku mengkritik usaha AS menggesa Turki membuka sempadan kepada Armenia, yang dilihat sebagai menamatkan hukuman kepada Armenia yang masih lagi menduduki wilayah Azerbaijan, sebelum sebarang persetujuan dicapai.

AS dan Barat dinilai berpihak kepada Armenia sehingga mengabaikan terus tuntutan-tuntutan Azerbaijan. Baku berpendapat ia dikhianati walaupun telah menunjukkan setia kawan kepada Barat.

Tindakan seterusnya pentadbran Obama akan memperlihatkan sejauh mana Washington bersedia meminggirkan satu sekutu penting di Kaukasus, yang kini semakin menghampiri orbit Rusia.

Akibat pelbagai kepentingan, agak sukar dibayangkan AS meninggalkan terus hubungannya dengan Washington, tetapi berdasarkan perkembangan hari ini, Baku mungkin akan lebih menghargai kepentingan hubungannya dengan Ankara dan Moskow. – 28 April, 2010

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails