Pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib selaku  Presiden Umno menyifatkan saya melakukan pengingkaran yang serius dan  penghinaan kepada Sultan Selangor semasa kempen pilihan raya kecil Hulu  Selangor adalah satu pandangan bertujuan melaga-lagakan saya dengan  pihak Istana Selangor.
Pandangan Datuk Seri Mohd Najib itu telah  disiarkan oleh Utusan Malaysia secara online (24 April 2010) atas tajuk  “Nik Aziz hina Sultan Selangor – PM” yang kemudiannya disiarkan dalam  Utusan Malaysia cetak (24 April) edisi nasional di muka depan atas tajuk  “Pembangkang ingkari Sultan” yang turut mencetak kononnya kenyataan  saya selaku Mursyidul Am iaitu “Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz  Nik Mat malam tadi mempertikaikan titah Sultan Selangor supaya tidak  menggunakan masjid untuk kempen politik. Beliau menyifatkan larangan itu  sebagai karut dan saki baki ajaran penjajah.” 
Pada saya, kesemuanya adalah tidak benar dan berniat  melaga-lagakan saya dengan Sultan, kerana sesungguhnya saya tidak pun  memberi respon dengan merujuk kepada titah KDYMM Sultan Selangor. Ia  adalah petikan yang direka-reka oleh akhbar berkenaan.
Kemudian,  pandangan Datuk Seri Mohd Najib dirasai paling tidak bermoral lagi  apabila akhbar yang sama pada hari mengundi (25 April), menyiarkan  semula di muka dua atas tajuk “Tindakan Nik Aziz pertikai titah Sultan  Selangor: Pengingkaran yang serius – PM.” 
Ia suatu pengulangan  yang dibuat untuk menjatuhkan moral saya dan suatu bentuk fitnah media  yang disengajakan bagi mempengaruhi umat Islam agar menolak kefahaman  agama yang telah saya jelaskan secara sopan semasa sidang media pada  malam 23 April di Kuala Kubu Bharu.
Bagi saya, pandangan Datuk  Seri Mohd Najib yang melabelkan saya sebagai ‘melakukan pengingkaran  yang serius dan penghinaan kepada Sultan Selangor’ adalah suatu  pandangan yang tidak adil dan fitnah. Ia menggambarkan kenyataan  bermotif politik dan penyelewengan fakta sebenar yang dipanjangkan oleh  Utusan Malaysia, kerana ia sengaja disiarkan sebagai tajuk besar di muka  depan (front page).
Sesungguhnya pandangan tersebut adalah suatu  tuduhan yang kononnya dikaitkan dengan perlanggaran titah Sultan  mengenai larangan penggunaan masjid atau surau untuk tujuan politik.  Dalam hal tersebut, Datuk Seri Mohd Najib sebenarnya telah menceroboh  sempadan moral saya dan membelasah imej saya yang dilakukan sehari  sebelum berlaku pengundian di Hulu Selangor.
Pada saya, apabila  saya hadir di mana-mana masjid atau surau di Kelantan, prinsip yang saya  amalkan ialah saya tidak akan bercakap atau berkhutbah atau menjadi  imam selagi tidak diminta oleh pihak masjid atau surau berkenaan. Maka,  prinsip yang sama saya pegang apabila hadir di masjid atau surau di  mana-mana negeri termasuk di Selangor.
Oleh sebab itu, sekali  lagi saya nyatakan bahawa tuduhan Datuk Seri Mohd Najib sehingga  menyifatkan saya melakukan pengingkaran yang serius dan penghinaan  kepada Sultan Selangor adalah tidak boleh diterima sama sekali. Ia  adalah tindakan mala fide bukan sahaja untuk melaga-lagakan saya dengan  Sultan Selangor, malah menimbul fitnah besar kepada umat Islam untuk  menggambarkan kononnya ‘orang beragama’ dan pemimpin seperti saya suka  mengingkari dan menghina Sultan.
Atas dasar itu, sesungguhnya  saya tidak bersikap seperti difitnahkan oleh Datuk Seri Mohd Najib, maka  saya tidak akan halal di dunia dan di akhirat. Kecuali beliau menarik  balik secara terbuka memandangkan fitnah itu telah dibuat secara  terbuka. Saya sedia menghalalkan apabila beliau menarik balik tuduhan  itu secara terbuka.
Saya yakin di atas kebenaran, maka kebenaran  itu akan menjadi saksi di dunia dan di akhirat.
Sekian, wassalam.
Tuan  Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Musyidul Am PAS merangkap Menteri  Besar Kelantan.
 
Selasa, 4 Mei 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
 



 
 
 
 





 
0 ulasan:
Catat Ulasan