Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan, apa salahnya  menggunakan wang RM4 juta untuk mengalahkan Umno dalam pilihan raya umum  ke 12 lalu asalkan ia bukan dari sumber yang tidak betul.
Bahkan,  beliau sendiri sanggup untuk melakukan kerja menjatuhkan Umno dan BN  yang sememangnya tidak baik itu jika diberikan wang sebanyak itu.
Bagi  Mahfuz, isu itu sebenarnya, tidak wajar dipolemikkan kerana sebagai  sebuah parti, memang menjadi kerja dan tugas PAS melawan kerajaan yang  ada untuk menubuhkan kerajaan yang lebih baik.
Katanya, ahli PAS  sanggup menggadaikan apa sahaja yang mereka ada untuk memperjuangkan  Islam yang dibawa oleh PAS.
Beliau mengulas dakwaan blogger  Sheikh Kickdefella atau Syed Azidi Abdul Aziz yang mendakwa beliau  diberikan wang RM4 juta untuk menjalankan operasi gerak saraf  menjatuhkan Umno dan BN pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi  menjelang pilihan raya umum ke 12 lalu.
Jika sekiranya tidak  benar pun dakwaan Kickdefella itu, beliau berkata, PAS sebagai sebuah  parti politik akan tetap berkempen supaya rakyat menolak politik  perkauman dan kezaliman yang dilaksanakan oleh para pemimpin Umno dan BN  yang menggunakan prasarana kerajaan untuk melawan rakyat.
“Benar  tidak benar dakwaan RM4 juta itu, memang saya tidak tahu, tetapi kalau  tak benar pun, PAS tetap buat kerjanya berkempen supaya Umno BN kalah  dalam pilihan raya depan,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
“Kalau  betul pun, apa salahnya, memang keberadaan PAS dan parti-parti  pembangkang yang lain sejak PRU 12 lalu adalah untuk pertahan kerajaan  negeri (Kelantan), kuasai negeri-negeri (hatta) kerajaan Persekutuan  sendiri,” tegas beliau.
Menurut Mahfuz, imej Abdullah sememangnya  buruk bukan sahaja di kalangan pembangkang, malah di kalangan ahli-ahli  Umno.
Maka, media-media pro Umno tidak seharusnya menyalahkan  PAS dan pembangkang, sekiranya kelemahan Abdullah itu dijadikan modal  berkempen pada PRU 12 lepas.
“Dia (Abdullah) sendiri memang lemah  (dan) kelemahannya itu melengkapkan kelemahan yang sedia ada pada Umno  itu sendiri (iaitu) mengamalkan rasuah, perkauman melampau dan  sebagainya.
“Dia adalah simbol kepimpinan Umno, kalau kita  berkempen menyerang Umno, tetapi tidak menyerang Abdullah, itu ajaib  namanya,” ujarnya.
Seperti sekarang, fokus PAS sendiri, menurut  beliau sudah tentu berkempen kepada rakyat supaya menolak Perdana  Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Sama juga sekarang, Najib  adalah simbol kejahatan, simbol korupsi, simbol jenayah berprofil tinggi  yang bukan saya saja pertikai, malah dunia sendiri sedang  persoalkannya, kalau kita tak berkempen, itu kurang bijak namanya.”
Lanjutan  itu, beliau turut meminta pihak berwajib  yang dilihat cuba  melaga-lagakan PAS dengan penulis Kickdefella,  http://kickdefella.wordpress.com supaya menjelaskan motif di sebalik  kenyataan masing-masing tentang senario politik tanah air belakangan  ini.
“Berapa juta ringgit agaknya yang pemimpin Umno guna wang  rakyat untuk rampas kerajaan negeri Perak?
“Benarkah RM100 juta  duit rakyat dihabiskan oleh Umno BN untuk rampas semula Hulu Selangor  baru-baru ini?
“Yang mereka (Umno) tahu memburukkan Datuk Zaid  Ibrahim yang sudah pun bertaubat dengan pelbagai fitnah di media masa.
“Kenapa  tindakan Umno menggadai dua telaga minyak kita (Blok L dan M) bernilai  USD320 bilion pada Brunei tidak dilaporkan dengan baik?" soal beliau.
Menurut  beliau, sepatutnya semua pihak lebih prihatin terhadap inisiatif  kerajaan pusat membayar lebih RM77 juta pada firma perunding  antarabangsa APCO Worldwide (IAC), firma yang dikaitkan dengan  Zionis-Israel demi memperbaiki imej seorang Perdana Menteri, Datuk Seri  Najib Tun Razak.
“RM77 juta dibayar pada sebuah syarikat yang  dikaitkan dengan Zionis-Israel, sepatutnya (isu APCO) ini yang lebih  dipedulikan,” jelasnya.
Katanya lagi, sekiranya ada mana-mana  jutawan sudi memberi sejumlah wang yang sama, RM77 juta kepada beliau  untuk berkempen supaya Umno BN kalah dalam PRU13 kelak, beliau bersedia  untuk mengambil duit tersebut.
“Iya...kalau ada jutawan mana-mana  yang nak beri saya RM77 juta, bukan beri kepada syarikat pro  Zionis-Israel, agar PAS boleh berkempen untuk mengalahkan Umno BN dalam  pilihan raya (umum) ke-13 untuk dedah siapa Najib sebenarnya, saya akan  terima,” ujarnya dalam nada berseloroh.
“Saya ingat, semua parti  pembangkang pun sudi terima sumbangan ikhlas oleh mana-mana pihak kerana  mereka pun mahu selamatkan Malaysia dari terus dimusnahkan oleh politik  perkauman Umno ini,” katanya.
Beliau berkata, tanpa RM4 juta  pun, ahli-ahli PAS tetap akan turun berkempen dalam pilihan raya demi  menghadapi Umno BN.
“PAS bukan setakat RM4 juta, nyawa pun mereka  akan wakafkan untuk perjuangan Islam, demi menjatuhkan kerajaan yang  nyata menerima petunjuk APCO Zionis-Israel.”
Sejak beberapa bulan  lalu, Kickdefella dilihat mengkritik Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik  Abdul Aziz Nik Mat serta beberapa pemimpin PAS Kelantan secara terbuka  menggunakan blog peribadinya.
Ekoran kritikan tersebut, beberapa  pihak seperti Datuk Nik Mohd Amar Abdullah (Exco Kerajaan Kelantan),  Fadli Shaari (Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri) serta blogger Tulang  Besi atau Abdul Rahman Talib (pemilik blog MalaysiaWaves) bertindak  mencabar beliau mendedahkan dalang di sebalik aktiviti korporatnya  melalui Global Media Channel.
Demi membuktikan diri terlibat  mempertahan kerajaan negeri Kelantan dari jatuh ke tangan Umno,  Kickdefella mendedahkan bahawa beliau menerima RM4 juta dari pihak  tertentu untuk menjalankan kerja-kerja mempertahankan kerajaan negeri.
Kini  beliau disiasat oleh SPRM dan telah mendedahkan bagaimana dan daripada  siapa wang itu diterimanya.
Dalam sidang medianya tengah hari  tadi, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menafikan PAS terlibat  memberikan wang itu kepada Syed Azidi namun beliau tidak tahu  kalau-kalau ada pemimpin PAS terlibat.
Khamis, 6 Mei 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
 



 
 
 
 





 
0 ulasan:
Catat Ulasan