Mantan perdana  menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan bantahan pembangkang  terhadap usaha meluluskan lesen judi sukan di negara ini bukanlah  disebabkan ajaran agama, tetapi demi  kepentingan politik semata-mata.
"Bantahan itu kerana  politik, bukan kerana Islam. Takkanlah DAP pun hendak dokong ajaran  Islam. (Bila) DAP pun dapat sertai (bantahan), ini (menggambarkan)  politik parti pembangkang hendak cari isu. 
"Sedangkan dalam muktamar PAS ada cadangan suaya  semua jenis judi diharamkan, tetapi PAS tak hendak," katanya ketika  ditanya tentang bantahan pembangkang melalui pelbagai cara seperti  ceramah dan demonstrasi. 
Beliau mempersoalkan kenapa PAS lantang menentang  judi sukan di negara ini kerana terdapat pelbagai lagi jenis judi lagi.
"Yang dia (PAS) kata tak boleh, (judi) sukan, bola  sepak (sahaja). (Bantahan) ini politik, kita kena asingkan soal politik  dengan soal agama. 
"Bagi PAS, agama  adalah alat politik mereka," katanya.
Bercakap dalam sidang media selepas berucap dalam  perhimpunan 'Melayu Bangkit' di Kuala Terengganu hari ini, Dr Mahathir  juga berkata masyakarat hendaklah mengakui, sama ada suka atau tidak,  aktiviti perjudian memang berlaku di negara ini.
'Kalau Melayu berjudi, tangkaplah'
"Saya berpendapat bahawa ada lesen ataupun tidak,  judi memang ada di negara kita ini kerana orang Cina memang suka  berjudi. 
"Tetapi kalau dia berjudi tanpa lesen, tidak ada  cara untuk kita menentukan perjudian itu tidak berleluasa," katanya  menyokong cadangan kerajaan itu.
Tambahnya, orang Cina yang ingin berjudi tidak  boleh dihalang bagi melakukannya kerana ia "hanya haram bagi orang  Islam"
"Orang Islam jangan berjudilah. Kalau dia  pergi berjudi, tangkaplah. Sama juga (bila) orang Islam tidak makan  babi. 
"Kalau orang  bukan Islam hendak makan juga, itu hak dialah," katanya.
Ditanya tentang khabar angin kerajaan mahu  melindungi hartawan Vincent Tan yang didakwa membantu Umno dalam pilihan  raya, sambil ketawa kecil, Dr Mahathir menafikan perkara itu.
"Tidak, Vincent Tan selama ini dia meniaga di luar  negeri, di negeri Cina, di Vietnam, di Korea. Dia tak payah cari duit di  sini," katanya.
NGO tak yakin pada Umno semata-mata
Tambahnya, lagi pun, Vincent telah mendermakan wang  sebanyak 500 juta hasil penjualan Ascort Sport Sdn Bhd kepada kumpulan  BERJAYA.
"Dan dana itu untuk semua orang, bukan untuk  Umno.... Orang lain pun dapat. Saya fikir Vincent ini, bukan saja dia  bagi duit pada Umno. Saya ingat dia bagi pada parti lawan pun sama. 
"Saya ingat, (itu) hendak tentukan dia tak ada  masalah (dengan dua-dua pihak). Orang perniagaan macam itulah,  hati-hati, sebelah itu dia sokong, belah ini pun dia sokong," katanya.
Sementara itu, mengulas tindakan 45 NGO Melayu  mengadakan perhimpunan di negeri itu hari ini, Dr Mahathir berkata ia  menunjukkan mereka tidak lagi yakin kepada perjuangan Umno semata-mata.
"Mereka perlu menjadi kumpulan pendesak. Ini  bermakna ada sesuatu yang tidak disenangi oleh orang Melayu," katanya.
"Saya khuatir. Orang Cina nampaknya tidak hendak  sokong BN lagi. Dan jika tidak juga dapat sokongan daripada orang  Melayu, kemungkinan BN akan kalah."
 


 
 
 
 





 
0 ulasan:
Catat Ulasan