Kesemua  12 rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang  tentera rejim Yahudi Israel dua hari lepas mengibarkan Jalur Gemilang  setelah dibebaskan rejim tersebut hari ini. Mereka yang ditahan ketika  menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza kini dalam perjalanan ke  kedutaan Malaysia di Jordan. - Foto BERNAMA
PETALING JAYA: "Kami diserang bertubi-tubi  oleh komando yang naik ke atas kapal. Saya dan Shamsul (jurukamera,  Shamsul Kamal Abdul Latip) terselamat tetapi dua sukarelawan yang berada  di tepi kami terkena tembakan di tangan dan bahu."
Demikian  cerita wartawan penyiaran Astro Awani, Ashwad Ismail, 25, yang  merupakan salah seorang daripada 12 rakyat Malaysia yang berada di atas  kapal Mavi Marmara yang diserang tentera rejim Zionis pagi kelmarin.
Dalam satu lintas langsung dengan stesen itu pagi ini, beliau  memberitahu, tentera Israel mengepung konvoi Flotila Pembebasan itu di  setiap sudut dengan menggunakan 19 bot, lapan kapal laut dan tiga  helikopter perang, Apache.
Katanya, kejadian itu bermula apabila  tentera Israel mengepung kapal mereka ketika ia berada kira-kira 68 batu  Nautika di luar perairan Israel pada pukul 4.30 pagi.
"Tentera  Israel menggunakan peluru hidup ketika menyerang kapal itu dan berdepan  dengan sukarelawan yang hanya menggunakan peralatan bukan senjata.
"Jadi saya tidak nampak apa senjata tajam yang digunakan.  Melainkan mereka sudah mula melepaskan tembakan, itulah senjata yang  terpaksa mereka gunakan iaitu besi-besi yang terdapat di atas kapal  bukan senjata berbentuk pisau, parang, pedang samurai dan sebagainya  tetapi menggunakan pisau sahaja," ujarnya.
Beliau menambah,  para sukarelawan hanya menggunakan air pili bomba bukan meriam air bagi  mengelak komando-komando Israel menaiki kapal melalui bot-bot kecil yang  telah pun mengepung Mavi Marmara.
Tambahnya, mereka  diserang bertubi-tubi oleh komando yang naik ke atas kapal, bagaimanapun  beliau dan Shamsul berjaya menyelamatkan diri.
"Hanya  dua orang Turki di sebelah kiri dan kanan saya ditembak di bahagian  tangan dan juga bahu.
"Kami kemudian lari ke kawasan lebih  selamat... kami lihat ada sukarelawan yang berlumuran darah... ini  pengalaman memeritkan yang berjaya membuka mata dunia apa yang berlaku.  Tak sangka Israel bertindak demikian sedangkan koncoi ini membawa orang  awam. Ini satu isytihar perang atas kemanusiaan," tambah beliau.
Ditanya keadaan Shamsul, Ashwad berkata, beliau selamat tetapi  kedua-dua mereka terpisah selepas mereka ditahan dan digari oleh  tentera Israel dan hanya ditemukan selepas dibebaskan di sempadan  Israel-Jordan.
"Shamsul diarahkan duduk di tepi dan saya  diarahkan turun ke bawah dan kami terpisah sejak itu dan kami  dipenjarakan di Beersheba. Kami dibawa ke Ashdod. Dari Ashdod kami  dibawa ke penjara di Beersheba dan dari itu kami tidak bertemu,"  tambahnya.
Dalam pada itu, Ashwad berkata, mereka kini  berada dalam keadaan selamat tetapi keletihan.
Mereka  dihantar dengan bas bersama sukarelawan dari beberapa negara lain ke  sempadan Israel-Jordan dan kini dalam perjalanan ke Amman.
"Kami  berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia, pihak kedutaan (di Jordan)  dan masyarakat antarabangsa yang banyak berusaha untuk keluarkan kami,"  katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih  kepada rakyat Malaysia yang mendoakan agar mereka selamat dan mengadakan  sembahyang hajat.
Mavi Marmara, sebuah kapal Turki ialah  salah satu kapal konvoi Flotila Pembebasan yang membawa bantuan  kemanusiaan untuk penduduk Gaza.
Ketika ditanya pengalaman sepanjang  insiden itu, Ashwad berkata, layanan yang diterima dalam tempoh 28 jam  itu mengambarkan konflik enam dekad yang dialami oleh rakyat Palestin  yang tertindas.
Beliau berkata, kesemua 12 rakyat Malaysia  itu akan bertemu dengan Duta Malaysia di Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul  Aziz sebelum mengatur rancangan pulang ke tanah air. Mstar/-
 



 
 
 
 





 
0 ulasan:
Catat Ulasan