" Peristiwa sedih, lucu, pelik tersirat pengajaran  buat aktivis kemanusiaan ke Gaza(Catatan peristiwa sebelum dan selepas diserang  komando Israel)..KAPAL Mavi Marmara umpama madrasah bagi  kami kerana di situlah semua sukarelawan yang terbabit dalam misi  bantuan kemanusiaan ke Gaza menerima pendidikan yang sangat berguna,  sekali gus melatih jiwa dan hati kami untuk lebih dekat kepada Allah.
Peristiwa sedih, lucu, pelik tersirat pengajaran  buat aktivis kemanusiaan ke Gaza(Catatan peristiwa sebelum dan selepas diserang  komando Israel)..KAPAL Mavi Marmara umpama madrasah bagi  kami kerana di situlah semua sukarelawan yang terbabit dalam misi  bantuan kemanusiaan ke Gaza menerima pendidikan yang sangat berguna,  sekali gus melatih jiwa dan hati kami untuk lebih dekat kepada Allah.
Perjalanan itu, meskipun tidak  sempat menghabiskan misi kerana diserang  komando Israel, cukup bermakna dalam membuka pelbagai  pintu rahsia. Semua petugas umpama baru tamat dalam satu proses  pendidikan mengenali erti kemanusiaan dan kehidupan sebenar sebagai  hamba Allah. 
Empat bulan lalu, hampir setiap hari saya membaca  petikan Surah Al‘Imran yang bermaksud: “Para syuhada dianggap hidup di  sisi Allah dan sentiasa meminta izin daripada-Nya untuk balik ke dunia  dan bertemu dengan pejuang yang masih hidup bagi mengirimkan pesanan  supaya jangan takut serta sedih.”
Ketika ayat itu dibacakan setiap  hari, sebenarnya saya masih menaruh harapan supaya dibenarkan menyertai  misi itu dan Alhamdulillah, berkat izin-Nya, saya akhirnya mendapat  kesempatan itu sebagai rombongan terakhir bersama beberapa rakan lain  selepas lapan petugas sudah pun bertolak lebih awal ke Istanbul.
Pada 22 Mei, kami bersama dua  wakil media Astro Awani, tiba di lapangan terbang di Istanbul dan  terpaksa bergegas, berlari ke kaunter tiket untuk mendapatkan pesawat ke  Antalya, sebuah pelabuhan di Selatan Turki.
Keadaan kelam-kabut itu  semata-mata untuk mendapatkan pesawat domestik dan ketika itu mulut ini  tidak berhenti berzikir dan berdoa supaya kami berpeluang dan dapat tiba  ke destinasi tepat pada masanya kerana tidak mahu terlepas kumpulan  rombongan dan akhirnya, melegakan apabila kami dapat masuk ke pesawat  lima minit sebelum ia berlepas.
Dalam pesawat itu, saya duduk di  sebelah jurukamera Astro Awani, Samsul Kamal Abdul Latip yang jelas  kelihatan masih terpinga-pinga dan seakan belum tahu apa kemungkinan  bakal dihadapi dalam misi ini sedangkan dalam pemikiran saya sudah  terbayang beberapa perkara yang boleh berlaku termasuk diserang oleh  tentera Israel.
Hanya doa yang mampu dipanjatkan semoga kami semua tabah  menghadapi sebarang kemungkinan terutama apabila membayangkan kapal  kami mungkin dibom, ditawan atau diheret sekiranya memasuki perairan  Israel.
Di  Antalya, kami ditempatkan di sebuah kompleks sukan selama empat hari  iaitu sejak 23 hingga 27 Mei kerana terpaksa menunggu rombongan dari  Eropah dan sepanjang tempoh itu, semua sukarelawan terpaksa tidur  bertilamkan lantai di ruang terbuka.
Subuh pertama kami di kompleks  itu, azan dilaungkan oleh sukarelawan dari Malaysia untuk mengajak  semuanya bersembahyang jemaah kerana sebelumnya dilihat kebanyakan orang  hanya solat sendirian dan ia juga menjadi detik pemula di mana semuanya  bersatu, malah saya sendiri berkesempatan menyampaikan kuliah Subuh  dalam bahasa Arab di depan semua orang.
Masih saya ingat, ketika kuliah  itu, saya membacakan sepotong ayat – “Hasbunallah Wanikmal Wakil” yang  bermaksud memadailah Allah sebagai wakil kami. Ayat itu juga yang  dilihat sentiasa disebut di mulut, menjadi zikir ramai orang termasuk  mereka dari negara lain sepanjang memijakkan kami di kapal Mavi Marmara.
Masih jelas terbayang di mata  saya, begitu ramai masyarakat dari serata dunia termasuk Eropah yang  datang sendiri ke kompleks sukan itu dan merayu mahu turut serta dalam  rombongan itu tetapi khabarnya hanya sebahagian dibenarkan.
Sebenarnya, banyak kisah menarik  untuk dikongsi bersama sepanjang kami di kompleks sukan itu termasuk  jeritan seorang warga tua dari Turki ketika dikatakan rombongan itu  bakal ditangguh lagi – “Tiga tahun pun akan kami tunggu!”
Di kompleks sukan itu, sempat  juga saya berbual dengan anak, Syaima Amatullah, menerusi laman facebook  dan dia ada bertanya – “Abah takut tak?” dan jawab saya ketika itu –  “Bukankah abah selalu baca ayat dari Surah Al-Imran.” Kenyataan saya itu  dipanjangkan anak saya kepada hampir semua rakannya dalam laman web  itu.
Tanggal  27 Mei, bermulalah perjalanan jihad kami apabila dibawa menaiki bas  yang diiring polis serta disambut meriah oleh ribuan penduduk bandar  Antalya dengan memenuhi tepi jalan, melambai serta mengibarkan bendera  Turki dan Palestin, selain sebahagiannya membunyikan hon, riuh rendah  sama seperti suasana ketika majlis perkahwinan di negara itu.
Terpegun seketika apabila tiba di  kapal Mavi Marmara kerana berbeza sekali dengan gambar yang saya lihat.  Tak sangka rupa-rupanya kapal setinggi empat setengah tingkat itu  begitu besar. Pemeriksaan kastam untuk masuk ke kapal begitu ketat  sehinggakan kabel pengecas telefon bimbit tiga pin turut dirampas kerana  dilihat berbeza dengan kabel dari negara lain yang hanya ada dua pin.
Masuk saja dalam kapal, saya  bersama beberapa rakan lain membuat sujud syukur. Sebahagian yang lain  kelihatan masih terpaku kerana seakan tidak percaya akhirnya dapat  memijakkan kaki di kapal itu. Ketika itu, ada seorang ahli tarikat  berusia 84 tahun berkata – “Aku ke sini untuk turut serta dalam  perjuangan Palestin. Apa guna sekadar berzikir jika tidak berjuang  bersama.”
Kami diberi makan ala kadar. Sebenarnya jika tak diberi  makan pun tak apa sebab tak langsung rasa lapar. Kami makan sekadar  untuk mengelakkan lemah dan tidur pun sekadar untuk memastikan badan  bertenaga.
Perjalanan kami terhenti di Cyprus pada 28 hingga 30 Mei  kerana menunggu kapal lain untuk menyertai konvoi. Sepanjang tiga hari  itu, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk ceramah oleh ulama di dalam  kapal. Apabila kapal bergerak kembali, satu amaran sudah diberi pada  malam 30 Mei kerana mereka nampak ada lampu berkelip di udara yang  disyaki helikopter.
Kami juga nampak seakan ada lampu kapal lain bagaikan  cuba menghampiri. Ketika itu kami diminta berkumpul dalam kumpulan 15  orang dan dibekalkan jaket keselamatan serta satu topeng gas untuk  dikongsi sesama ahli kumpulan.
Jam 1 pagi, keadaan kembali tenang kerana tiada lagi  tanda kapal berhampiran, namun kami diminta tidur di luar untuk bersedia  terhadap sebarang kemungkinan. Jam 3 pagi, kami dikejutkan dengan  sorakan takbir lantaran kumpulan di belakang kapal melihat ada  sekumpulan ikan lumba-lumba mengiringi kapal.
Episod serangan bermula sejurus  selepas solat Subuh yang ketika itu dirasakan Subuh terakhir kami.  Kelihatan beberapa bot menghampiri kami dan helikopter yang berlegar  melemparkan bom asap pemedih mata, namun peliknya ia langsung tidak  menjejaskan kami kerana tiap kali bom dilempar, ketika itu juga angin  akan bertiup kencang menolak asap.
Meskipun keadaan huru-hara dan  seakan tidak terkawal, kebanyakan kami tidak terasa gentar. Saya sendiri  ditembak di bahu kanan dengan peluru getah tetapi sakitnya hanya  sekejap. Malah, ketika ditawan, beberapa kali saya dipijak dan ditendang  oleh komando Israel dengan kuat, namun tak pula terasa sakit atau ada  kesan lebam.
Selepas ditawan dan diikat dengan tali kabel selama  lebih 15 jam, ada di kalangan kami yang berpuasa, namun tidak pula  terasa lapar atau lemah. Ketika itu kami hanya ingat Allah. Kekejaman  komando Israel bukan sekadar tak beri makan minum, malah tak juga  benarkan ke tandas sehingga ada yang terkencing dalam seluar.
Air pun hanya diberi sebotol  untuk dikongsi beramai-ramai. Itupun dalam keadaan tangan diikat.  Bayangkan betapa kuatnya talian persaudaraan di kalangan kami, meskipun  ada yang berlainan agama apabila sesama kami menuang air ke mulut rakan  yang lain bersilih ganti.
Di Ashdod, pelabuhan di Israel, kami tidak lagi  menerima layanan seburuk di kapal kerana ketika itu kami diuruskan oleh  pegawai dari Kementerian Dalam Negeri Israel yang nyata terpaksa melayan  dengan baik lantaran sudah menerima tekanan dari kedutaan lain.
Dibawa ke penjara yang masih  baru, kami ditempatkan dalam sel besar dengan empat orang sebilik.  Ketika itu, sesuatu yang sangat melegakan apabila kami dapat mandi dan  membersihkan diri. Tidak berapa lama ditahan kerana akhirnya kami  dibebaskan selepas dikunjungi wakil kedutaan Jordan yang memang  ditugaskan untuk membebaskan sukarelawan Malaysia dan Indonesia.
Teringat lagi bagaimana berani  sekali seorang Ahli Parlimen Kuwait ketika menaiki bas untuk ke Jordan.  Sempat dia turun semula ke tangga dan menjerit minta dia dibawa kembali  ke sel dengan alasan tidak mahu dibebaskan. Jelas sekali dia seakan  mencabar pegawai Israel.
Lucu pula melihat akhirnya pegawai Israel itu pula yang  merayu meminta dia naik semula ke dalam bas. Itu semua akibat tekanan  kuat yang diberikan kedutaan negara lain yang begitu ramai berkumpul di  situ.
Masih  sebak di hati ini apabila mengenangkan rakan dari Turki yang tak  dibebaskan ketika kami sudah menaiki bas kerana kedutaan mereka belum  tiba. Salah seorang warga Turki ada memanggil saya, memeluk dan menangis  sambil menawarkan duit poket kerana beranggapan semua barang termasuk  dompet saya sudah dirampas.
Sejak dibebaskan pada jam 4.30 petang, Subuh keesokan  harinya baru kami sampai di sempadan Israel – Jordan, dan sesuatu yang  sangat mengujakan apabila terpandang bendera Malaysia dikibarkan. Ketika  itu terasa betapa pemimpin negara kita begitu mengambil berat, malah  ketika kami menghubungi Perdana Menteri yang berada di Laos pada jam 2  pagi, beliau masih berdaya menjawab telefon dan menitip pesan kepada  kami.
Orang  pertama yang saya hubungi sejurus tiba di Jordan dan diberi hadiah  sebuah telefon bimbit jenama Nokia dengan kredit panggilan sebanyak  sembilan dinar ialah isteri yang kedengaran masih tenang meskipun dalam  beberapa laman web sudah beranggapan saya sudah tiada.
Banyak sebenarnya pengajaran yang  diperoleh daripada semua kejadian ini di mana ia pasti menguatkan iman  kami selain sedar kita hanya insan kerdil yang sudah diaturkan Allah  nasibnya serta bersatu seluruh bangsa dunia untuk menentang kekejaman  Israel.
(Penulis,  bekas Pensyarah UTM yang juga Pengerusi Aqsa Syarif adalah antara 10  sukarelawan Malaysia dalam misi keamanan bantuan  kemanusiaan ke Gaza melalui kapal yang diserang Israel baru-baru ini).
 


 
 
 
 





 
0 ulasan:
Catat Ulasan