DERAMAN YAAKUB, seorang kakitangan swasta terkejut ketika datang menuntut road tax, tempoh cukai jalan keretanya hanya dibenarkan untuk enam bulan sahaja. Terkejut sakan lelaki separuh usia itu apabila diberitahu kakitangan di bank tempatnya membuat bayaran. Dia membayar road tax melalui bank kerana keretanya masih ada ansuran bulanan.Sedangkan sebelum itu Deraman tidak pernah menerima apa-apa saman daripada polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Namun, baru-baru ini isu yang digeger orang lain turut menimpa dirinya. Saman dari Bahagian Trafik Bukit Aman diketahuinya selepas tempoh hayat road tax dipendek JPJ. Lima bulan selepas disaman barulah Deraman menerima surat daripada polis. Cekapkah polis kita seperti disebut dalam slogan PDRM? Seorang pegawai di sebuah syarikat milik kerajaan pula terkejut motosikalnya di saman di Pulau Pinang beberapa kali. Sedangkan dia tidak pernah sampai ke Pulau Pinang dengan motosikal. Lagi pun jarak Kota Bharu dengan Pulau Pinang lebih 300 km. Lebih malang lagi 10 saman diterima pegawai terbabit. Apabila dia mengadu kepada polis dan JPJ, kata mereka masih lagi dalam siasatan. Kereta roller disaman ekor Pernahkah anda ingat beberapa tahun lalu kereta ’roller’ disaman kerana dipandu laju. Sedangkan kereta itu lajunya lebih sama dengan orang berjalan kaki. Banyak aduan tidak puas hati rakyat didedahkan melalui media massa. Namun, kerajaan pada awalnya buat seperti lembu kenyang. Namun setelah Jawatankuasa Bertindak Kempen Saman Ekor (KASE) dilancarkan, kerajaan mulai gelabah. KASE dipengerusikan anggota parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar. Hujah Naib Presiden PAS itu, tindakan JPJ menyenarai hitam kenderaan dengan menghalang mereka membaharui cukai jalan, bersalahan di sisi undang-undang. Peguam Hanipa Maidin menyebut prinsip asas dalam undang-undang jenayah iaitu seseorang itu dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah. Kata Hanipa tafsiran polis dan JPJ dengan menyenarai hitam kenderaan yang belum menjelaskan saman dengan menghalang mereka membayar cukai jalan disifat bertentangan dengan prinsip asas undang-undang. Seksyen 17 dan Seksyen 29 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 membawa maksud kesalahan dan perlanggaran yang telah dibuktikan mengikut prinsip dan prosedur undang-undang. Sejak September 2009, polis telah mengeluarkan 2.5 juta saman ekor. Dan sejak dikuatkuasakan pada 15 April lalu, sebanyak 1.07 juta pemilik kenderaan telah disenarai hitam. Setiap saman dikenakan denda maksimum RM300. Ini bermakna kerajaan dapat mengaut duit rakyat sehingga RM750 juta dari saman ekor. Isu saman ekor timbul ketika masalah pemilik kenderaan yang berusia lebih 20 tahun membaharui cukai jalan dan insurans belum lagi selesai. Ahmad, seorang peniaga kecil memberitahu tahun lepas dia terpaksa membayar sehingga hampir RM400 bagi membolehkan insurans body kereta lamanya hidup. Sedangkan kebiasaannya hanya sekitar RM150 bagi insurans kelas tiga. Masalah sudah hampir dua tahun berlarutan, namun tidak nampak ada jalan penyelesaian. Ekoran itu seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub melancarkan Gerakan Bela Rakyat (Bela) untuk membela nasib pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun. Itu belum lagi diambil kira dengan kos lain yang sentiasa meningkat. Harga besi satu tan pada awal bulan Ogos sekitar RM2,800. Sedangkan ketika peraturan harga siling hanya sekitar RM1,000 satu tan. Begitu juga dengan harga simen sekarang melonjat kepada RM18 satu beg. Ada juga kedai menjual RM18.50 atau RM19 satu beg. Sedangkan ketika harga siling sekitar RM13 sebeg. Alasan diberi kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan simen di pasaran. Namun kenaikan sehingga hampir 40 peratus cukup membebankan orang ramai. Maka tidak hairanlah harga rumah kos rendah tidak mampu lagi dijual dengan harga sekitar RM35,000 seunit. Hairannya dalam masa yang sama kerajaan mendakwa berlaku pemulihan ekonomi dalam separuh pertama tahun ini. Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz memberitahu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar tertinggi iaitu 9.5 peratus dalam tempoh tersebut. Kerajaan pungut wang rakyat Berdasar kepada pertumbuhan berkenaan sepatutnya kerajaan tidak perlu lagi mencari wang segera daripada rakyat melalui saman ekor. Biar pun polis atau menteri bercakap mahu mendidik rakyat supaya lebih berhemah di jalan raya, namun dalam kes saman ekor lebih banyak buruk daripada baik. Cuba bayangkan bagaimana sebuah motosikal yang terperap di Kota Bharu boleh disaman di Pulau Pinang. Nampaknya Nilai Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak ke mana-mana. Apabila NKRA polis dan JPJ menjadi runggutan ramai, ia membawa mesej NKRA impian Najib gagal mencapai matlamat. Sistem penyampaian kerajaan hanya nampak indah di atas kertas dan bukan di dunia realiti. NKRA kerajaan Barisan Nasional juga menjadi cacat apabila dibiarkan media massa memainkan isu perkauman berulang-ulang. Kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harusani Zakaria mengenai ada kumpulan cuba mewujudkan perlembagaan baru boleh mengaibkan banyak pihak. Ini kerana kenyataan itu dibuat sekadar persepsi tohor dan tidak ada sandaran yang kuat. Sepatutnya kenyataan seperti itu dibuat Ketua Penerangan Umno dan bukan seorang mufti. Namun dalam situasi sekarang, Mufti Perak nampaknya banyak menghulur bola lambung kepada Umno bagi memperlekehkan Pakatan Rakyat. Begitu juga dalam isu khatib menyebut nama Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di Pulau Pinang, awal-awal lagi dipintas Harusani dengan menghukum sebagai salah. Sedangkan khatib terbabit, Ustaz Zakaria Ahmad menjelaskan nama Guan Eng disebut sekadar memohon Allah Taala memberi hidayah Islam terhadapnya. Semua pemimpin Umno naik angin dengan isu terbabit, sedangkan mereka lupa Umno pernah menganjurkan majlis bacaan Yaasin dan solat hajat untuk calon MIC, Kamalanathan di Kuala Selangor April lepas. Apakah membaca Yaasin untuk memohon kemenangan calon bukan Islam lebih baik berbanding mendoakan Guan Eng diberi hidayah. Nampak isu tersebut hampir sama, namun nawaitunya berbeza. Biar apa pun akhbar harian telah meletak kesalahan di bahu Pakatan Rakyat. Mereka juga seperti menobatkan Umno dan Harusani sebagai pejuang Melayu sejati.
|
0 ulasan:
Catat Ulasan