Khamis, 3 Februari 2011

Himpunan Solidariti Ummah Jumaat Ini.

· 0 ulasan

1. Dewan Pemuda PAS Malaysiabersama Lajnah Antarabangsa PAS Pusat dan seluruh Ngo antaranya ILMAM, Ikram, JIM, GMI, SAMM dan lain - lain [ 71 Ngo ] termasuk kompenan parti politik Pakatan Rakyat seperti AMK dan lainnya akan menganjurkan satu himpunan besar - besaran iaitu :

Himpunan Solidariti Ummah pada hari Jumaat jam 2 petang [ 4 Feb 2011 ] di hadapan Kedutaan Amerika sebagai sekutu rapat kepada rejim Husni Mubarak .

2. Hari ini satu memorundum telah diserahkan kepada kedutaan Mesir tetapi malang pihak kedutaan enggan menerima memorundum kami dan akhirnya memorundum tersebut terpaksa dimasukkan kedalam peti surat kedutaan itu.

3. Saya mewakili seluruh pihak penganjur mengharapkan semua ummat prihatin tanpa mengira bangsa dan agama untuk hadhir menyatakan semangat solidariti rakyat Malaysia bersama rakyat Mesir yang kini sedang bangkit menuntut perubahan di negara mereka .

4. Dewan Pemuda PAS Negeri - negeri juga diminta untuk mengerahkan semua anak - anak muda bangkit menyatakan semangat kebersamaan kita disamping kita turut akan menyatakan bantahan kenaikan harga minyak dan harga barang yang semakin menjadi - jadi dalam negara kita.

5. Tempat berhimpun ialah di 2 lokasi iaitu Masjid KLCC dan Masjid Tabung Haji dan sejurus solat Jumaat, semua akan berhimpun di Masjid Tabung Haji untuk menyatakandua bantahan yang  akan disuarakan oleh pimpinan - pimpinan kita seperti Timbalan Presiden PAS, Tuan Hj Mohd Sabu AJK PAS Pusat dan pimpinan - pimpinan pemuda sebelum berarak ke kedutaan Amerika.

Pertama : Isu penangkapan, kekerasan dan pembantaian regim Mesir ke atas rakyat mesir yang menuntut perubahan di negara mereka.

Kedua : Isu kenaikan harga minyak dan barang keperluan utama rakyat dalam negara kita .

6.  Berikut lampiran Memorundum Dewan Pemuda PAS Malaysia yang telah dihantar ke kedutaan Mesir:

MEMORANDUM DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
KEPADA KEDUTAAN MESIR DI MALAYSIA
BERHUBUNG PERGOLAKAN POLITIK DAN AGENDA REVOLUSI MESIR

31 JANUARI 2011
PERGOLAKAN POLITIK MESIR

Ekoran daripada kejatuhan rejim pemerintah Zein Al-Abidin di Tunisia, kebangkitan rakyat di Timur Tengah telah menjalar ke beberapa buah negara jiran yang lain antaranya Yaman, Oman, Algeria, Jordan dan termasuklah Mesir. Kami menjangkakan teori domino ini akan terus berantai sehingga memberikan kesan revolusi keadilan sedunia.

Melihat perkembangan pergolakan politik hari demi hari di Mesir, Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat situasi semakin kritikal apabila pihak pemerintah tidak mengambil langkah drastik untuk menyelesaikan perkara pokok dan sebenarnya. Sebaliknya, melakukan pembantaian terhadap peserta demonstrasi seperti menembak dengan menggunakan gas, air dan pukulan terhadap mereka. Malah, lebih parah lagi apabila hubungan komunikasi melalui media baru dan telefon disekat untuk memadamkan kemaraan rakyat.

Jelas, sikap yang ditunjukkan ini telah mencabul hak asasi manusia dan memburukkan wajah demokrasi di Mesir. Berdasarkan pendedahan-pendedahan media antarabangsa, pihak berkuasa Mesir telah mengambil pendekatan kekerasan untuk mengawal dan meredakan keredaan. Walaubagaimanapun, desakan terhadap agenda reformasi, kestabilan, demokrasi dan kebebasan tetap menjadi agenda utama dan kami menyokong usaha tersebut.

PENDIRIAN DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

1.    Dewan Pemuda PAS Malaysia melahirkan rasa sokongan dan komitmen solidariti kebangkitan rakyat Mesir menentang regim autokratik Hosni Mubarak. Penentangan rakyat Mesir adalah manifestasi penolakan prinsip ketidakadilan, kezaliman dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pemerintah sejak beberapa dekad yang lalu.

2.    Kami juga mengucapkan tahniah khususnya kepada golongan muda yang berani dan aktif menyertai agenda revolusi bagi menuntut keadilan dan pembaharuan di Mesir. Malah, kami mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan takziah kepada keluarga-keluarga mangsa yang terkorban mahupun tercedera dalam saingan revolusi ini.

3.    Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru kepada sebarang usaha ke arah pembubaran Parlimen Mesir dan penganjuran Pilihanraya Umum yang telus dan bersih. Pihak penganjur pilihanraya mestilah bebas daripada sebarang campur tangan parti politik disamping menjamin kebebasan media untuk melaporkan perkembangan dan hasrat rakyat kepada pengundi dan masyarakat luar.

4.    Kami mengutuk sebarang bentuk keganasan dan kekasaran yang dilakukan terhadap peserta demonstrasi serta menuntut agar desakan mereka dilayan secara profesional dan adil. Ini termasuklah membebaskan kesemua tahanan peserta demonstrasi dan pengamal media kerana ia bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia.

5.    Dewan Pemuda PAS Malaysia berdiri teguh bersama pihak-pihak di Mesir yang memperjuangkan Islam, mempertahankan kedaulatan negara, memperbaiki kestabilan politik dan ekonomi serta mengembalikan kesejahteraan rakyat.

6.    Kami juga menolak sebarang bentuk pengaruh daripada Amerika Syarikat dan Israel dalam pembentukan polisi Mesir. Kami amat berharap agar pemerintahan baru Mesir dapat membantu negara umat Islam di Palestin secara konsisten dan menjadi asas kepada kesatuan negara-negara Arab di Timur Tengah.

Hasrat Dewan Pemuda PAS Malaysia yang disuarakan melalui memorandum ini diharap dapat disampaikan kepada pihak-pihak simpatisan dan pejuang revolusi kebangkitan rakyat di Mesir.

Disediakan oleh,
Nasrudin Hasan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia   

Isnin, 10 Januari 2011

Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia

· 0 ulasan



Tema yang cukup menarik didengar oleh rakyat Malaysia dan tepat pada masanya ketika negara di landa dengan berbagai krisis, lantaran dipegang oleh orang yang tidak amanah dengan rakyat dan negara. Walaupun ia merupakan tawaran yang menarik untuk rakyat, tetapi meresahkan pemimpin yang berada di puncak kuasa. Sekarang pemimpin BN dilanda dengan mimpi ngeri takut kehilangan kuasa, kerana ini merupakan satu azab di dunia. Media BN diarahkan untuk memburukkan apa yang tercatat dalam buku jingga.

Kenapa perlu ubah sekarang?

1.Pengurusan ekonomi tempang

Keadaan ekonomi negara berada ditakuk lama sejak krisis kewangan Asia Timur 1997/1998 telah ditinggal jauh oleh negara-negara Asia dan juga negara jiran, seperti Singapura malahan negara Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam. Cuma kelebihan Malaysia kaya dengan slogan yang menjadi candu supaya rakyat syok sendiri dan lupa hakikat sebenar. Antaranya slogan Model Ekonomi Baru (MEB), Program Transformasi Ekonomi (PTE). Walaupun kaya dengan slogan ekonomi negara 12 tahun berturut-turut defisit. Wang Petronas dihisap sampai hendak kering , sejak tahun 2007-2010 sebanyak RM325 bilion. Hutang negara makin meningkat berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tahun 2009 sebanyak 53.3%, melonjak naik berbanding kadar 35.1% dalam tahun 1998. Pertumbuhan ekonomi 2006-2010 hanya 4.2% sedangkan sasaran adalah 6%. Contoh pengurusan ekonomi negeri BN seperti yang dilapor oleh Ketua Audit Negara berhubung perbelanjaan melampau dan amat meragukan dalam projek pengubahsuaian Rumah Rehat Bentong sehingga disyaki berlaku penyelewengan dana kerajaan.

Dalam laporan Ketua Audit Negara menyebutkan tentang pemasangan papan tanda tandas di Rumah Rehat Bentong dituntut dengan jumlah RM871 sedangkan audit menjelaskan pada harga pasaran barang tersebut hanya berharga RM65.

Begitu juga dengan tuntutan set sofa yang pada nilaian pasaran cuma berharga RM990 telah dituntut sebanyak RM3,530. Lebih mengejutkan dalam laporan itu ialah tuntutan set lampu yang pada harga pasarannya cuma RM9,200 tetapi telah dituntut terlalu tinggi sehingga berjumlah RM38,700. Ini hanya sekadar contoh, yang menjadi bukti rakyat wajib tukar kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

2.Institusi Kehakiman Dipertikaikan

Satu ketika dahulu institusi kehakiman negara kita adalah antara yang terbaik, kerana tidak ada campur tangan dipihak eksekutif. Ia berlaku tragedi hitam apabila pemecatan Tun Saleh Abbas 1988. Selepas daripada peristiwa pemecatan Tun Saleh keadaan sudah berubah. Apa yang dilihat oleh rakyat dalam kes Linggam dan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah buktinya. Sebuah negara akan hancur jika institusi yang dianggap oleh rakyat untuk mendapat pengadilan telah diragui. Ianya bukan sahaja oleh rakyat yang cerdik malahan di kalangan pelabur asing yang tidak mahu datang melabur di negara ini.

3.Tahap keselamatan negara membimbangkan.
Bagaimana kerajaan boleh mengambil APCO Yahudi Israel sebagai penasihat komunikasi dengan bayaran RM77 juta setahun. Apa jaminan maklumat keselamatan negara tidak terlepas kepada mereka?. Kenyataan Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi telah pun mendedahkan berlaku pembocoran dan penjualan rahsia penting negara berkaitan keselamatan dan pertahanan negara. Setakat hari ini isu itu selesai begitu sahaja. Kononnya diselesaikan melalui saluran diplomatik.

Begitu juga dengan isu kehilangan enjin kapalterbang yang besar boleh hilang. Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan menyifatkan kehilangan enjin F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai tanda aras keruntuhan moral pimpinan negara ini.Beliau melahirkan kekesalannya kerana perkara yang tidak pernah dibayangkan boleh berlaku sebelum ini seperti kehilangan enjin pesawat yang saiznya besar tetapi mudah pula untuk diseludup ke luar negara. Kalau sampai dua enjin pesawat pejuang boleh hilang yang ahli silap mata terkenal dunia seperti David Copperfield tidak boleh hilangkannya tetapi yang menjaga keselamatan negara boleh hilangkan, ini satu gambaran tahap keselamatan negara.

4. Tahap keselamatan sosial juga merosot sehingga kerajaan terpaksa berbelanja wang sebanyak RM59 juta untuk memasang CCTV di seluruh negara. Betapa banyaknya wang rakyat terpaksa dibazirkan kerana keselamatan berada ditahap yang parah. Statistik jumlah keseluruhan orang hilang di negara ini dari tahun 2007 hingga 2010 iaitu seramai 7,312 orang yang dilaporkan PDRM amat membimbangkan rakyat.

Daripada jumlah itu, seramai 3,653 orang yang telah ditemui manakala bakinya sejumlah 3,479 masih belum ditemui.

Meskipun daripada jumlah yang ditemui tersebut lebih 95 peratus daripadanya dijumpai masih hidup, namun jumlah yang masih gagal ditemui menjadi titik persoalan yang besar.

5. Sempadan negara mudah terbolos.
Laporan Berita Harian pada 27 Ogos 2010 amat menggerunkaan tahap keselamatan negara yang mudah dimasuki dengan suapan rasuah. Dalam laporan eksklusifnya mendedahkan ada anggota dan pegawai imigresen di Jeti Penumpang Pulau Ketam, di Pelabuhan Klang menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.
Mengikut laporan itu, setiap penguat kuasa di percayai dibayar RM2,000 sehari untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cop palsu atau tiada sebarang dokumen perjalanan. Apa jaminan pula dengan sempadan negara yang lain?

6.Rasuah telah menjadi barah negara yang sukar diubat daripada atas hingga peringkat bawah. Jika perkara ini tidak dicegah ia akan mendatangkan musibah yang besar. Semuanya berpunca daripada orang yang memimpin negara, naik dengan kuasa rasuah. Laporan audit 2008 sebanyak RM28 bilion hilang kerana ketirisan dalam pentadbiran. Indek rasuah tahun 2010 hanya 4.4 walaupun sasaran 4.9/10 berbanding dengan tahun 2009 2.9/10.


7. Gagal mewujudkan politik yang harmoni, walaupun cuba untuk berlindung disebalik slogan 1 Malaysia. Beberapa insiden yang berlaku melambangkan kegagalan kerajaan mewujudkan keharmonian kaum yang ada pada hari ini. Contohnya apa yang berlaku kepada Datuk Nasir Safar Pegawai Khas Perdana Menteri, Timbalan Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Wilayah Persekutuan, Hamim Husin, Ucapan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Datp' Johari Abdul Ghani dan ucapan dua orang pengetua sekolah. Umno dan BNlah pihak yang tidak henti-henti mengapi-apikan kebencian perkauman sama ada melalui agensi-agensi kerajaan yang dikuasai oleh kerajaan Umno BN atau media-media arus perdana yang dikuasai mereka.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Related Posts with Thumbnails