Sabtu, 21 Ogos 2010

Siapa dalang lindungi Tajuddin sebabkan MAS rugi RM8 billion

·

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mendakwa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melindungi dalang kerugian RM 8 billion Malaysia Airlines System (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli menyebabkan beliau tidak dibawa ke muka pengadilan.
Foto oleh Harakahdaily
Menurutnya, dokumen yang dipaparkan hari ini membuktikan bahawa MAS sendiri memberi maklumat bahawa terdapat penyelewengan rasuah yang berlaku pada 2002 ketika pentadbiran dikuasai oleh Tajudin.
“SPRM telah mendedahkan dokumen butiran yang diberikan oleh MAS kepada PDRM untuk membantu Tajudin supaya beliau tidak disiasat.

“Mengikut dokumen ini, MAS merasakan tindakan pendedahan yang dilakukan oleh SPRM kepada jabatan siasatan jenayah PDRM menunjukkan kerjasama mereka untuk menutup penyelewengan kerugian MAS,” katanya di ibu pejabat PAS hari ini.
Salahuddin berkata, apabila wujudnya perlindungan seperti ini, penjenayah yang menyebabkan kerugian besar itu tidak akan dipersalahkan dan akan sentiasa hidup mewah selepas menyeleweng duit rakyat.
Katanya, dokumen yang diterima hari ini diserahkan oleh peguam syarikat Lee Hishamuddin Allen mewakili MAS kepada SPRM kerana ingin mengetahui bagaimana SPRM boleh mendedahkan maklumat itu kepada PDRM.
“Pihak MAS sendiri meragui tindakan SPRM yang jelas gagal melindungi dokumen penting untuk dirahsiakan dalam melakukan siasatan,”katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang dilantik di bawah Akta SPRM.
Beliau berkata, SPRM perlu segera menjawab mengenai pendedahan maklumat itu supaya dapat membuktikan SPRM melaksanakan tanggungjawab dengan penuh ketulusan.
“Kerugian MAS ini adalah kerugian yang besar dan sama dengan kerugian dalam PKFZ,”ujarnya.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, sebelum ini, beliau telah membawa isu kerugian MAS kepada jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menyiasat kerugian tersebut tetapi tiada sebarang jawapan sehingga sekarang ini.
Salahuddin berkata, beliau telah menyerahkan surat mengenai penyelewengan MAS itu kepada Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid di Parlimen pada 2009.
“Timbul kemusykilan mengenai kemungkinan MAS ditipu atau diperdayakan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM8 billion dari tahun 1994 hingga 2001.
“Saya dapati ada beberapa perkara yang memerlukan penelitian dan penyiasatan yang lebih mandalam terhadap perkara ini tetapi pihak PAC hanya mendiamkan diri.
“Jika dokumen itu benar, mengapa daripada Mac 2007 hingga sekarang mereka yang dituduh pecah amanah itu tidak dibawa ke muka pengadilan,”jelasnya. –

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails