Isnin, 28 Jun 2010

Najib: Kepentingan Melayu dan Pilihan Raya Umum ke-13

·

"Dalam realiti hari ini, perlu kepada orang seperti Ibrahim Ali sebagai reaksi kepada serangan-serangan terhadap orang Melayu."

"Saya lihat Najib terpaksa mengimbangi dalam melayan orang Cina dan orang Melayu. Nampak kepada banyak orang, dia lebih layan tuntutan orang Cina."

- Tun Dr Mahathir Mohamad, Siasah 27 Jun-3 Julai, 2010 


Beberapa perkembangan terbaharu melibatkan Umno menjelaskan kerumitan program 1 Malaysia cetusan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dan permainan kuasa dalam parti terbesar dalam pemerintah hari ini.
 
Ketika slogan 1 Malaysia Najib berdepan kritikan, Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) mengadakan perhimpunan bertema “Melayu Bangkit” di Terengganu, dengan dihadiri lebih 40 pertubuhan Melayu termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan dihadiri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Baru-baru ini, Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Pasir Mas yang kini lebih dikenali dengan peranannya dalam Perkasa membuat kenyataan menggesa Datuk Seri Idris Jala meletak jawatan daripada kabinet Najib ekoran kenyataannya berhubung subsidi.
 
Gerakan kumpulan-kumpulan Melayu kini semakin jelas dapat dilihat dengan tertubuhnya Perkasa dan Gertak yang mendakwa mewakili kepentingan orang Melayu yang semakin tergugat selepas pilihan raya umum yang lalu.
 
Agenda 1 Malaysia yang dibawa Najib dilihat sukar diterima banyak pihak dalam Umno kerana kaitannya dengan fahaman liberal yang bertentangan dengan perjuangan Umno.
 
Akibat munculnya 1 Malaysia, Umno terpaksa berkompromi dengan slogan “ketuanan Melayu” yang dilihat tidak selari dengan apa yang cuba dikemukakan dengan program Najib itu.
 
Ide 1 Malaysia yang dicetuskan untuk membawa imej kesatuan telah berdepan manipulasi dan kritikan ekoran kekaburannya. Ia dilihat sebagai terlalu liberal oleh pihak konservatif dan dibaca sebagai satu janji oleh kelompok liberal, yang sentiasa menuntut 1 Malaysia dilaksanakan menurut tafsiran mereka.
 
Pada masa sama, Mahathir yang dilihat sebagai penasihat kepada Najib sentiasa berada di pihak kumpulan-kumpulan Melayu tersebut, yang dikritik sebagai bersifat perkauman oleh golongan liberal, dengan mengaitkan pertentangannya dengan ide 1 Malaysia.
 
Sokongan Mahathir penting bagi Najib disebabkan pengaruh bekas perdana menteri itu yang masih meluas di dalam dan luar Umno. Tetapi sokongan Mahathir kepada kumpulan Melayu yang dikritik sebagai perkauman itu boleh menjejaskan Najib.
 
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dikatakan menunjukkan sikap yang kurang mesra dengan ide 1 Malaysia, menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai perbezaan mendalam kedua-dua pemimpin itu.
 
Muhyiddin juga dilihat sebagai pemimpin yang lebih berani melibatkan isu-isu Melayu, dan pernah mengakui bahawa identiti pertama beliau ialah Melayu.
 
Sebelum Ibrahim membuat kenyataan mengkritik Idris yang juga ketua eksekutif badan pemantau prestasi kerajaan, beberapa blog yang dipercayai pro-Muhyiddin telah menerbitkan siri kritikan terhadap orang Najib dalam kabinet.
 
Kritikan tersebut ialah yang paling jelas dan terperinci sejak Najib menjadi perdana menteri pada April 2009.
 
Blog tersebut, di theunspinners.blogspot, menerbitkan siri kritikan bertajuk Nak Menang ke PRU?, dengan mensasarkan Idris, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan satu senarai menteri dan timbalan menteri termasuk Datuk Seri Hishamuddin Hussein.
 
Tulisan mengkritik Raja Nong Chik mengaitkan beliau dengan isu Kampung Baru yang menjadi perhatian beliau sejak memegang jawatan kabinet. Beliau dilihat cuba membuka kawasan Melayu tersebut kepada bukan Melayu dan mengundang pelbagai reaksi keras.
 
Ini kemudian mendorong beliau memberi penjelasan melalui satu wawancara panjang dalam sebuah akhbar harian dikuasai Umno.
 
Blog tersebut juga mengkritik Tan Sri Amirsham A Aziz, pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara, mengaitkan beliau dengan Model Baharu Ekonomi (MBE) yang dikatakan tidak menjaga kepentingan Melayu.
 
Satu kritikan utama blog itu – yang dikongsi banyak pihak – ialah isu-isu melibatkan kepentingan Melayu dan kebijaksanaan menteri-menteri yang dipilih Najib menangani isu tersebut.
 
Dalam satu komentar berdasarkan satu entri sebuah blog lain, blog itu menyarankan “menteri-menteri yang tidak perform” digugurkan daripada kabinet, termasuk Hishamuddin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketiga-tiga naib presiden Umno.
 
Cadangan yang dibuat menjelang rombakan kabinet itu menyenaraikan ramai menteri dan timbalan menteri yang dilihat sebagai orang Najib.
 
Perkembangan-perkembangan ini semakin menunjukkan sentimen Melayu yang kuat dalam Umno mula menunjukkan penentangan terhadap Najib yang didakwa lebih mengutamakan bukan Melayu sehingga melupakan kepentingan Melayu.
 
Sentimen ini setakat ini menyumbang kepada peningkatan pengaruh Muhyiddin dalam Umno, pemimpin yang kini dilihat sebagai lebih mewakili kepentingan Melayu dan menepati semangat Umno sebagai pejuang Melayu. – 16 Jun, 2010

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails