Rabu, 9 Jun 2010

Ketetapan lagi berhubung Usul kutuk Israel - PARLIMEN

·

1. Perdana Menteri akan mencadangkan :-
BAHAWA, Tentera Rejim Zionis di bawah arahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, telah menyerang tanpa alasan dalam perairan antarabangsa konvoi kapal Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 31 Mei 2010, yang telah mengakibatkan banyak kematian dan kecederaan kepada ahli kumpulan konvoi bantuan kemanusiaan tersebut;

BAHAWA, serangan Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan tersebut merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu;
BAHAWA, sentimen yang sama telahpun disuarakan melalui Kenyataan Bersama Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN – Majlis Kerjasama Negaranegara Teluk (GCC) di Singapura pada 1 Jun 2010 yang menyuarakan kutukan keras terhadap tindakan Rejim Zionis Israel ini;
BAHAWA, rakyat Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan bagi penggunaan kekerasan yang melampau ke atas kapal misi bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza tersebut; dan
BAHAWA, rakyat Malaysia sangat kecewa dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk membuat bantahan keras terhadap tindakan ganas Rejim Zionis itu.
DENGAN INI DEWAN mengambil ketetapan seperti berikut:
(1) Mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Rejim Zionis di bawah arahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang telah mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan kecederaan kepada orang awam;
(2) Merakamkan rasa kecewa tidak terhingga tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di atas kenyataan yang begitu lemah terhadap serangan ganas Rejim Zionis ke atas kapal misi bantuan tersebut;
(3) Memutuskan untuk mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk mencela Israel dan bukannya membuat kenyataan lemah semata-mata;
(4) Memutuskan bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan negaranegara Anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Liga Arab dan negara-negara sependapat untuk mendukung prinsip undangundang antarabangsa termasuk undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza;
(5) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi merujuk situasi akibat serangan Tentera Rejim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);
(6) Menggesa negara-negara sependapat untuk mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi mendapatkan Advisory Opinion Mahkamah
Keadilan Antarabangsa (ICJ);
(7) Memohon supaya negara Turki mempertimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rome, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC);
(8) Menyeru supaya satu siasatan bebas yang penuh (fully independent) dibuat terhadap serangan Tentera Rejim Zionis dan bukannya setakat siasatan yang tidak berpihak (impartial) semata-mata;
(9) Menyokong sepenuhnya desakan masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Hak Asasi Manusia melalui Resolusi yang telah diterima pada 2 Jun 2010, supaya siasatan yang berakauntabiliti dan bebas sepenuhnya dibuat mengenai serangan ini;
(10) Menuntut Israel supaya tidak menghalang sebarang konvoi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza, selaras dengan Resolusi 1860 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu;
(11) Mengalu-alukan tindakan negara Mesir membuka sempadan Rafah tanpa syarat bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan;
(12) Merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Wilayah Palestin di Gaza tanpa menghirau dan gentar kepada ancaman Rejim Zionis;
(13) Merakamkan penghargaan kepada negara-negara Jordan, Turki, Ireland, Filipina dan juga negara-negara lain yang terlibat dalam usaha-usaha membebaskan rakyat Malaysia yang telah ditahan oleh Rejim Zionis;
(14) Menyeru rakyat Palestin supaya bersatu dengan tujuan mempertahankan hak mutlak mereka bagi menubuhkan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat; dan
(15) Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah pembentukan negara Palestin yang bebas, merdeka dan berdaulat

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails