Ahad, 9 Mei 2010

Wajarkah Ezam, Palanivel Di Lantik Senator ?

·



DARI kacamata perspektif yang mudah, perlantikan bekas Ketua Pemuda PKR juga bekas Setiausaha Politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Ezam Mohd Noor sebagai Ahli Dewan Negara boleh dilihat sebagai hadiah politik istimewa kerana jasa besar beliau mendedahkan berbagai rahsia parti PKR dan membongkar isu peribadi Anwar.


Beliau didakwa diberi jawatan senator kerana kerajaan BN ingin membalas sumbangan besar beliau memujuk beberapa bekas pemimpin dan ahli PKR meninggalkan parti dan menyertai Umno. Kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat berterimakasih kepada Ezam kerana beliau berjaya membongkar dan memburuk-burukan dengan berkesan imej PKR dan kredibiliti penasihatnya di mata rakyat sekaligus secara tidak langsung membaikpulih imej Umno tanpa perlu berusaha keras atau mengeluarkan perbelanjaaan yang banyak.
Ezam disebut-sebut bakal ditawarkan jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri sesuai dengan kebolehan dan bakatnya dalam bidang NKRA dan KPI dibawah menterinya, Tan Sri Koh Tsu Koon. Jika ramalan itu menjadi kenyataan, semakin marah dan kecewa lagi pemimpin PKR dan Pakatan yang sudah pun terluka dengan pembongkaran cerita dan skandal yang memalukan dan mencederakan imej bekas partinya itu.
Namun, perlantikan beliau sebagai senator dikatakan sudah mengecewakan beberapa pemimpin muda Umno berbakat dan sudah lama berjuang dalam parti. Apakah motif sebenar Najib melantik Ezam sebagai ahli Dewan Negara padahal beliau baru masuk semula menyertai Umno? Adakah kesetiaan beliau dengan parti dan kerajaan boleh dipercayai dan berterusan sedangkan beliau sudah mempunyai rekod pernah meninggalkan Umno dan belot kepada PKR?
Ada suara di dalam dan di luar Umno menyebut, Ezam sepatutnya diberi masa lebih lama lagi untuk ‘berubat’ dan berubah. Usaha gigih beliau yang sengkat dengan mendedahkan terus kepincangan PKR dan pemimpinnya serta turut berkempen bagi pihak BN setelah menyertai semula Umno, dianggap belum mencukupi untuk beliau diberi jawatan senator. Ada dakwaan mendedahkan, sebenarnya ramai pemimpin muda Umno yang lebih berjasa dan berbakat tidak diberi peluang oleh Najib atas alasan yang beliau sendiri tahu.
Sepatutnya Ezam diberi tugas dalam parti dulu sebelum dilantik menjadi Ahli Dewan Negara. Beliau lebih baik diberi tugas khas penting membantu Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin melakar berbagai rancangan bagaimana memantapkan parti dengan idea dan pengalaman yang ada. Atau beliau perlu diberi tanggungjawab lain dalam parti seperti bagaimana menarik gulungan muda menyertai Pemuda seperti yang diharap Najib sendiri.
Najib kelihatan terlalu cepat memberi ‘hadiah’ kepada Ezam walaupun beliau baru dua tahun menyertai semula Umno. Satu pendapat lain menyebut, sekiranya Ezam diberi jawatan dalam kabinet sebagai timbalan menteri sudah pasti menghampakan Khairy dan penyokong setianya. Khairy yang sudah dipilih sebagai Ketua Pemuda dan Ahli Parlimen pasti kecewa kerana Ezam yang tiada apa-apa jawatan dalam parti dan kerajaan diberi jawatan dalam kabinet? Adakah Najib lebih percaya beliau dari Khairy? Apakah dari kacamata Najib, Ezam lebih berkebolehan dan Khairy belum pulih sepenuhnya dari sindrom tsunami politik 2008 dulu?
Ezam dikatakan benar-benar sudah berubah dan bertaubat seperti juga bekas pemimpin tertinggi lain PKR yang sudah meninggalkan parti. Beliau menyertai semula Umno tahun 2008 kononnya bukan kerana jawatan tetapi kekesalan mendalam kerana memilih parti yang salah dan kini ingin berbakti semula kepada parti yang menurutnya menuju jalan lurus dan membela orang Melayu dengan pengalaman dan bakat yang ada tanpa menyedari kebangkitan semula beliau dicurigai banyak pihak dalam Umno sendiri.
Sebenarnya tiada pihak boleh mempersoal tindakan Najib melantik Ezam ke Dewan Negara termasuk Ketua Pemuda Umno dan ahli Umno kerana itu adalah hak istimewa beliau sebagai perdana menteri dan ketua BN. Walaupun mungkin ada keluhan dan kritikan tentang tindakan drastik Najib itu, namun ia mudah difahami dan sukar dipertikai secara terbuka kerana ia menjadi tradisi yang sudah lama bertapak dan diamalkan dalam Umno.
Apapun, masa akan menentukan bagaimana perkembagan selanjutnya nasib Ezam setelah dilantik menjadi senator. Beliau mungkin akan bersuara lantang dalam dewan membela dasar kerajaan BN dan pada waktu sama membongkar terus episod keburukan parti dan boss lamanya untuk terus mendapat simpati serta pujian dari pemimpin kerajaan. Beliau dikatakan bakal berjuang membenteras rasuah dan memberi nasihat kepada Najib bagaimana Umno dan kerajaan harus bertindak menyekat gejala itu dari merebakluas di kalangan pemimpinnya.
Perlantikan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel sebagai senator mudah dibaca sebagai balasan atas pengorbanan beliau mengosongkan kerusi Hulu Selangor bagi memberi peluang calon muda MIC, P.Kamalanathan menggantikan tempatnya. Pengorbanan beliau sudah dibalas Najib dengan jawatan Ahli Dewan Negara yang boleh membawa maksud mungkin dilantik menjadi timbalan menteri di mana-mana kementerian yang perlu jika Najib berhasrat berbuat demikian.
Semua ini dilakukan Najib demi menjaga hati Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang berkeras mahukan timbalannya dipilih semula menjadi calon pilihan parti dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor baru lalu. Najib tiada pilihan selain bersikap lembut menawarkan jawatan senator sebagai jalan bertolakansur kepada Samy Vellu yang memang berhasrat melantik Palanivel sebagai penggantinya apabila beliau berundur tidak lama lagi.
Orang nombor dua parti itu harus diberi jawatan tertentu dalam kerajaan supaya keberadaan beliau dirasakan ahli parti dan sekiranya apa-apa terjadi beliau boleh menggantikan tempat Samy seperti diatur tanpa banyak masalah. Dalam episod ini MIC mendapat dua keuntungan besar. Pertama, mendapat semula jawatan ahli parlimen kerana menang semula kerusi AP Hulu Selangor.
Kedua, mendapat jawatan senator yang tidak disangka. Ini semua dilakukan Najib demi persepakatan dalam BN demi menjaga kepentingan parti komponen tanpa menyedari kelembutan beliau sudah dipertikai banyak pihak sebagai terlalu berlembut dan pemurah.
Sudah kedengaran suara sumbang dari kalangan orang Melayu bahawa Najib terlalu pemurah menunaikan apa saja permintaan kaum bukan Melayu termasuk di Sabah dan Sarawak untuk merealisasikan gagasan 1Malaysianya. Beliau didakwa kurang membela tuntutan orang Melayu sendiri terutama para peniaga di bandar-bandar yang terhempet dan amat memerlukan pertolongannya. Kaum Cina yang tidak menyokong BN dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor lalu tetap ditunaikan peruntukan RM3 juta bagi pembinaan dan pemulihan SJKC untuk mengambil hati mereka.
Kenapa beliau bermurah hati mencurahkan peruntukan dan bantuan kepada kaum Cina sedangkan kaum itu jelas tidak menyokong BN? Adakah cara itu boleh diterima atau langkah ke belakang yang dianggap pembaziran yang tidak perlu kerana kaum itu tidak pernah menghargai peruntukan dan bantuan BN? Setengah pemimpin ultra Melayu berpandangan, sepatutnya bantuan dan peruntukan tidak boleh diberi jika mereka tidak menyokong kerajaan dan hanya bertindak sebaliknya jika mereka mengundi calon BN. Setengahnya malah mendesak MCA keluar dari BN kerana gagal memujuk orang Cina menyokong dan mengundi BN.
Najib berpendapat, beliau mengambil sikap realistik dan terbuka dengan terus menunaikan permintaan kaum Cina dengan harapan mereka sedar tentang komitmen kerajaan BN untuk membantu mereka walaupun majoriti kaum itu menolak BN. Najib mengambil sikap diplomasi dengan harapan kaum Cina akhirnya berfikir dan bertindak waras menghargai pertolongannya tanpa menyedari kaum itu sudah ada pilihan lain dari kalangan pemimpinnya dalam DAP dan PKR yang didakwa lebih memahami kehendak dan hasrat sebenar mereka. IZMAS

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails