Jumaat, 7 Mei 2010

Ulama tegur dan minta Harakah beri perhatian

·

Image

Media parti khususnya lidah rasmi PAS iaitu Harakah diminta agar mengambil pandangan ulama dalam pelbagai isu semasa yang kian rancak berlaku dalam senario politik tanah air.
Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Dato’ Mohamad Daud Iraqi berkata Harakah cetak dan Harakahdaily perlu memberikan lebih ruang kepada dewan itu bagi memberikan pandangan dan idea dari sudut Islam mengenai isu terkini.
“Kita tidak mahu ulama hanya diberikan ruang bagi menjawab persoalan mengenai ibadah khusus sahaja, tetapi kita mahu memberikan pandangan mengenai isu semasa seperti kes liwat, muzakarah, jom heboh dan sebagainya,” katanya dalam ucaptama dewan itu sebelum perasmian program hari ini.
Justeru, beliau menyeru kepada media parti khususnya Harakah supaya menghubungi ulama bagi menjawab isu-isu tersbut sepertimana sayap-sayap parti yang lain iaitu Dewan Pemuda dan Muslimat.
Sebagai dewan terkanan dalam parti, Mohamad Daud berkata ulama dewan itu juga harus diberikan ruang bagi menyatakan respon yang sama rata.
Sementara itu, mengulas mengenai isu-isu semasa ulama berpandangan agar segala isu yang melibatkan orang-orang Islam diselesaikan di mahkamah syariah dan berpegang kepada prinsip keadilan dan kehakiman.
Beliau juga menyokong penuh institusi raja berperlembagaan sebagai amalan terbaik dalam negara.
“Sekiranya terdapat percubaan pihak tertentu mempertikaikan keutuhan mereka sebagai payung negara, ia adalah suatu yang tidak patut berlaku.
“Prinsip raja berperlembagaan yang menjadi tonggak ketuanan ketuanan Melayu dan Islam sepatutnya diguanakan sepenuhnya oleh PAS demi mempertahankan kedudukan Islam yang cuba dicabar oleh musuh Islam dengan menggunakan pelbagai topeng dan kesempatan.
“Percubaan dari beberapa pihak selepas pilihan raya ke-12 baru-baru ini mencabar keputusan sultan dengan cara yang tidak beradab adalah sesuatu yang di luar adab dan tatacara masyarakat Melayu,” katanya lagi.


 
   
Justeru, beliau menyeru agar pihak semua pihak agar lebih beradab dan memelihara kesopanan apabila berdepan dengan institusi beraja dan Istana.
Kira-kira 500 perwakilan dan pemerhati hadir memenuhi Dewan Bandaran Ipoh bagi mengikuti muktamar Dewan Ulama PAS Pusat.
Ia turut mendapat perhatian para media dalam dan luar dalam suasana kehangatan kemelut politik tanah air masa kini.
Ia disiarkan secara langsung di laman web http://webtv.pas.org.my di saluran satu atau www.terengganukini.net.
Majlis bermula pada jam 8 pagi tadi dijangka berakhir pada 5 petang ini.

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails