Isnin, 3 Mei 2010

Pengarah JPMK jadi ‘tukang cat’ di bilik pejabat UMNO Luar Negara – Presiden SUARA

·

Rumah Kelantan Baru, 24 April - Dianggarkan lebih 800 orang telah hadir di dalam program ‘ceramah perdana’ anjuran Gerakan Suara Rakyat (SUARA). Program tersebut dihadiri oleh dua orang tokoh tanahair dari Parti Islam SeMalaysia (PAS), Ustaz Yusuf bin Embong, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang dan juga Ustaz Fadhil Noor, EXCO Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang.

Program pada awalnya dirancang sebagai wacana ilmiah, membincangkan topik ‘Mahasiswa Melayu Timur Tengah, Peranan dan Cabaran’ bakal mempertemukan minda dan hujjah wakil-wakil parti kerajaan antara PAS dan juga UMNO. Namun, wacana tersebut terpaksa diganti kepada program ceramah, gara-gara wakil dari parti UMNO tidak menyambut baik jemputan wacana ilmiah tersebut daripada SUARA.

Pihak SUARA juga mendapat makluman dan tekanan, sekiranya program wacana tersebut dijalankan di dataran, pihak polis Arab Mesir akan dilibatkan untuk mengekang aktiviti SUARA.

Antara panel jemputan SUARA pada program wacana tersebut ialah Khairi Jalaluddin, seorang wakil khas JASA yang bekerja menguruskan Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK). Khairi bagaimanapun telah menolak jemputan SUARA kerana menyifatkan pertubuhan tersebut bukanlah pertubuhan kebajikan.

Presiden SUARA iaitu Ustaz Mohd Farhan Madzlan membenarkan kenyataan Khairi, SUARA memang bukan pertubuhan kebajikan. Akan tetapi beliau yang juga mewakili SUARA kembali menjelaskan bahawa pertubuhannya merupakan wadah yang untuk memandu pemikiran mahasiswa memahami isu-isu politik dan kenegaraan secara matang.

“Oleh sebab itu, SUARA memohon pendaftaran diselesaikan di bawah KBMK (Kedutaan Besar Malaysia Kaherah) bukannya JPMK! Malangnya, usaha pendaftaran SUARA mengambil masa berbulan-bulan dan sehingga ke hari ini masih belum diputuskan, bahkan sebenarnya tidakpun diluluskan oleh mereka.

Hal ini tidak sama seperti layanan baik JPMK terhadap Kelab UMNO Luar Negara. Adakah Kelab UMNO Luar Negara merupakan pertubuhan kebajikan kepada JPMK, sehingga tiada polisi rumit yang dikenakan ke atas pertubuhan tersebut sebagaimana yang dilakukan terhadap SUARA?

Presiden SUARA menyampaikan ucapan muqaddimah

Presiden SUARA turut memaklumkan bahawa penubuhan SUARA bukanlah seperti Kelab UMNO. SUARA ditubuhkan sebagai wadah mahasiswa menilai isu-isu kenegaraan dan memahami politik Islam yang syumul. Tidak kira apa jua aliran pemikiran yang difahami oleh warga Malaysia di Mesir, mereka berhak mengikuti program yang dianjurkan oleh SUARA.

Presiden SUARA turut menyatakan perasaan kesal apabila JPMK tidak berfungsi dengan baik di tengah-tengah komuniti pelajar. JPMK sepatutnya berperanan sebagai jabatan kebajikan, bukannya berselindung di bawah tabir politik UMNO. Menurut beliau, Pengarah JPMK sanggup menjadi tukang cat di bilik pejabat Kelab UMNO Luar Negara, Raba’ah yang dijadikan sebagai pusat khidmat pelajar.

“Saya kecewa apabila ada pihak JPMK seperti ini yang berselindung di sebalik dasar politik kerajaan UMNO. JPMK sepatutnya bertindak sebagai jabatan kebajikan pelajar, bukannya sibuk dengan urusan membuat provokasi dengan pelajar.

“Kita mendapat maklumat, pelajar-pelajar Perubatan dari Tanta, Ain Syam dan Mansurah masih tidak diuruskan dengan baik oleh JPMK. Sehingga ke hari ini, pelajar-pelajar Perubatan dari cawangan-cawangan tersebut masih tidak mendapat hak sebenarnya sebagai seorang mahasiswa. Di mana peranan JPMK sebagai jabatan kebajikan pelajar? Katanya sambil memperkenalkan Ustaz Fadhil Mohd Nor, salah seorang bekas mahasiswa Tanta yang pernah dizalimi oleh pihak Kedutaan Malaysia.

Program pada malam itu juga turut mendedahkan ‘Isu Pembatalan Wacana Ilmiah’ . Permohonan SUARA untuk mengadakan program di Dataran Hayyu Asyir telah dibatalkan oleh pegawai HEP Selangor kerana alasan peperiksaan. Kaedah pegawai menggunakan alasan ‘peperiksaan’ tidak munasabah kerana SUARA tidak pernah memaksa mana-mana individu untuk terlibat sama dalam program anjurannya.

“Jika alasan kerana ‘periksa’, pelajar Perubatan setiap bulan periksa. Sehingga ke hari ini kita masih cuba mengesan identiti sebenar pegawai Selangor yang mereka-reka cerita bahawa Dato’ Dr.Hassan Ali membenarkan program JASA di rumah Selangor.

“Mungkin Pegawai Selangor tidak tahu bahawa hubungan saya dengan Dato’ Hassan cukup baik. Saya telah menghubungi Dato’ Hassan dan beliau sendiri menegaskan bahawa, ‘Demi Allah, sekiranya dia (JASA) nak masuk rumah Selangor saya tidak akan benarkan dan saya menafikan bahawa saya membenarkan program tersebut di rumah Selangor’, menafikan dakwaan pegawai HEP tersebut.

“Dato’ Dr.Hassan Ali ketika lawatannya di Mesir, saya dan pegawai HEP Selangor telah bertemu dengannya, dan beliau menyatakan supaya pegawai memberikan kerjasama yang baik terhadap SUARA.

“Bagaimanapun saya amat kesal apabila terbukti pegawai Selangor tidak memberikan perhatian yang memuaskan kepada dasar-dasar kerajaan negeri. Kita kecewa apabila seorang pegawai yang dipilih oleh kerajaan negeri, tetapi memberi layanan lebih kepada dasar-dasar berat sebelah kerajaan persekutuan! - Qutuz

http://suaraonline.wordpress.com

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails