Selasa, 4 Mei 2010

MANHAJ PERJUANGAN PAS : MENDEPANI UMNO (1)

·


Islam yang diperjuangkan oleh PAS ternyata mendapat tentangan sengit daripada UMNO & BN yang memerintah Negara ini.
Biarpun berulangkali al – Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan : “ andainya UMNO melaksanakan Islam yang tulen ( bukan Islam Palsu ) PAS sanggup membubarkan partinya.” [1]
UMNO & BN terus berkeras dan berdegil . Bukan sahaja mereka tidak mengizinkan Islam berdaulat di atas tanahair ini bahkan mereka menggunakan kekerasan ( setelah tewas hujjah ) untuk mendepani PAS dan kebangkitan ummat Islam yang mahu melihat negara ini mendaulatkan Islam atau syariat Allah swt.
Penentangan ini tidaklah memeranjatkan PAS yang menyambung Risalah an nabawiyyah di zaman ini justeru ia pernah dihadapi oleh nabi saw malah turut dihadapi oleh pejuang – pejuang Islam di sepanjang zaman .
Inilah yang dilafazkan oleh orang – orang Quraisy tatkala nabi saw menyampaikan dakwahnya :
Apa yang engkau sampaikan kepada kami ini adalah suatu yang dibenci oleh pemerintah
Tarikh Madinah Dimasyq . Juzuk 17 . Mukasurat 299
Oleh Abi al Qasim A’li bin al Hasan
Ibnu Hibbatullah bin Abdullah asy Syafi’e ( w. 571 )
Firman Allah swt yang bermaksud :
Dan ingat bagaimana perancangan orang – orang kafir untuk memenjara , membunuh dan menghalau engkau ( keluar dari daerahmu ) , mereka merancang sedang Allah jua merancang dan Allah adalah sebaik – baik perancang .
(Surah al Anfaal : Ayat 30)
Sebenarnya inilah 3 tribulasi yang akan dihadapi oleh pejuang – pejuang Islam yang menyambung lidah perjuangan Nabi saw di sepanjang zaman.


Muwaajahah Silmiyyah . (
مواجهة سلمية / berdepan secara aman )
Biarpun PAS berdepan dengan sebuah pemerintahan yang kasar dan ganas terhadap perjuangan dan anggotanya , PAS masih konsisten menggunakan pendekatan مواجهة سلمية atau موجّهة بالسلم .
PAS yang mengambil pendekatan politik menyertai pilihanraya selama ini adalah untuk mengekalkan prinsip muwaajahah tersebut .
Sungguhpun ada pemimpin PAS yang ditembak mati oleh pemerintah seperti asy Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan – rakannya di Memali Kedah.
Biarpun ada pemimpin PAS diseksa dan dikurung tanpa bicara melalui akta primitive ISA seperti Tuan Hj. Muhammad Sabu , Ustaz Abu Bakar Chik , Tuan Hj. Mahfuz Omar , al Marhum Ustaz Buniamin Yaacob dan lain–lain.
PAS tetap dengan prinsipnya mendepani pemerintah yang tidak mendaulatkan Islam ini secara aman . PAS meletakkan dirinya di atas Manhaj an Nabawi sebagaimana yang diajar oleh baginda saw. melalui hadisnya yang diriwayatkan oleh at Tabarani yang bermaksud:
Ketahuilah , sesungguhnya Islam bergerak dalam satu pusingan , maka berpusinglah bersama al kitab sekira – kira ia berpusing . Ketahuilah sesungguhnya al kitab dan pemerintah akan berpisah maka jangan kamu memisahkan al kitab , ketahuilah sesungguhnya akan berlaku ke atas kamu ( zaman kamu ) , pemimpin yang memutuskan ( sesuatu ketetapan ) untuk kepentingan diri mereka bukan untuk kamu . Jika kamu mengingkari mereka , mereka membunuh kamu dan jika kamu mentaati mereka , mereka menyesatkan kamu . Lalu mereka berkata
Ya Rasulallah , apakah ( sewajarnya ) kami lakukan ?
Rasul saw menjawab : ( jadilah ) sebagaimana pengikut Nabi Isa ibnu Maryam as. , mereka dikelar dengan pengelar besi dan mereka disalib di atas palang kayu . Mati dalam mentaati Allah adalah lebih baik daripada hidup mendurhakai Allah swt.
Rujuk Majma’ az Zawaai’d. Juzuk 5 /muka surat 238
Oleh : Ali bin Abi Bakar al Haithami ( w. 807 )
Cetakan Darul Rayyan Lit Turath , Qaherah

PAS Tidak Mencari dan Memulakan Permusuhan .
Kehadiran PAS hanya untuk membawa Islam ke mercunya dan memastikan tiada fitnah ( penentangan secara terbuka terhadap Islam ) dan perlecehan syariat Ilahi . Ianya berasaskan kepada apa yang difirmankan oleh Allah swt yang bermaksud :
Dan perangilah olehmu akan mereka itu ( yang menyengutukan Allah ) sehingga tiada lagi fitnah ( penentangan terbuka terhadap Islam ) dan jadilah ( satu – satunya ) cara hidup milik Allah swt maka jika mereka berhenti , tiada lagi permusuhan kecuali terhadap orang – orang yang zalim .[2]
(Surah al Baqarah : Ayat 193)

Saksikanlah , bahawa yang dibunuh ialah pemimpin PAS sementara tiada seorang pun pemimpin UMNO & BN dibunuh oleh PAS .
Yang dipenjara ialah pemimpin dan aktivis PAS , sementara tiada seorang pun pemimpin UMNO dan BN dipenjara oleh PAS .
Yang diugut , diancam dan dibuang daerah ialah ahli – ahli PAS dan rakyat yang menyokong PAS sedang tiada seorang pun ahli – ahli UMNO ditindas dan dizalimi oleh PAS .
“ Dosa ” PAS hanya kerana memperjuangkan Islam dan mahu ianya didaulatkan . Sementara UMNO & BN sangat tidak bersetuju dengan apa yang dicadangkan oleh PAS , malah UMNO & BN membangkangnya dengan keras dan ganas .
Sekali lagi PAS mengambil pendekatan Manhaj an Nabawi sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasul saw.
Wahai Manusia , Jangan kamu bercita – cita mencari musuh dan mohonlah kepada Allah akan kesejhteraan , jika kamu bertemu jua ( akan musuh ) maka bersabarlah dan ketahuilah sesungguhnya syurga itu berada dibawah kilatan mata pedang kemudian baginda berdoa :
Ya Allah , tuhan yang menurunkan al kitab , yang memperjalankan awan dan tuhan yang membinasakan tentera ahzab , hancurkanlah mereka ( musuh ) dan berilah kemenangan ke atas kami .
Sohih Bukhari Hadis No. 2804 Juz.3 / muka surat 1082
Cetakan Darul Ibnu Kathir . Beirut
Sohih Muslim Hadis No.1742 Juz 3 / Muka surat 1362
Cetakan Dar Ihya’ Turath al A’rabi. Beirut

UMNO & BN Pembangkang yang Degil .
Bumi ini milik Allah , malah segalanya dibawah kawalan Allah Jalla wa A’la . Selayaknya bumi ini amnya dan tanahair ini khasnya ditadbir dan diselia berasaskan peraturan dan perundangan ( syariat ) Ilahi .
Siapa kita untuk berkata “ tidak !” kepada Allah swt. Lantas PAS sejak awal penubuhannya ( biarpun melalui pelbagai kelemahan dan kekurangan ) terus mencadang supaya hukum Allah ditegakkan sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud :

Dan hendaklah kamu berhukum diantara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau mengikut keinginan hawa nafsu mereka dan waspadalah terhadap mereka jangan sampai mereka memperdayakan engkau terhadap sebahagian apa apa yang telah diturunkan Allah kepadamu .
Jika mereka berpaling ( dari hukum yang telah diturunkan oleh Allah ) maka ketahuilah sesungguhnya Allah berkehendak menimpakan musibah kepada kepada mereka disebabkan sebahagian dosa – dosa mereka dan sungguh kebanyakkan manusia adalah orang – orang yang fasiq .
Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki ? Hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang – orang yang menyakini ( agamanya ) .
(Surah al Maaidah : Ayat 49 - 50)

Namun malang 1001 kali malang , ternyata UMNO & BN sangat degil dan merekalah pembangkang yang “ istiqamah ” dengan penentangannya terhadap Islam yang dicadangkan oleh PAS agar didaulatkan atas tanahair ini .
Sebenarnya tidak timbul siapakah yang akan mendaulatkan Islam , tetapi yang penting ialah Islam mesti didaulatkan . Jika UMNO bersedia mendaulatkan Islam dan melaksanakan syariat sebagaimana yang diajar oleh Nabi saw , PAS sangat bersedia untuk bekerjasama demi kedaulatan Islam .
Malang sekali lagi malang seperti slogan mereka , UMNO dulu , kini dan selamanya membangkang cadangan PAS agar Islam didaulatkan . Persoalannya , kalau PAS cadang nak laksanakan hukum Allah , mereka kata itu hukum PAS , hudud PAS atau Islam PAS lalu dimanakah hukum UMNO , hudud UMNO dan Islam UMNO setelah rakyat memberi mereka mandat yang besar dalam pilihanraya umum 2004 yang lalu dan sebelumnya . Kenapa mereka tidak melaksanakan Islam ?
Firman Allah swt :
الذين ان مكناهم في الأرض أقاموا الصلوة و اتوا الزكوة و امروا بالمعروف و نهوا عن المنكر و لله عاقبة الأمور .
Orang – orang yang jika kami berikan kedudukan ( kuasa ) di muka bumi , mereka mendirikan solat , mengeluarkan zakat dan menegakkan yang ma’ruf ( syariat ) serta mencegah kemungkaran dan kepada Allah kembali segala urusan .
(Surah Al Hajj : Ayat 41)
Saya tidak percaya mandat yang diberi untuk mereka memerintah adalah untuk mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah seperti arak , judi , kelab malam dan segala macam mungkar serta kezaliman . Apa yang rakyat mahu ialah keadilan dan kesejahteraan jua keamanan sedang segalanya itu ada bersama Islam . Laksanakanlah !

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails