Isnin, 3 Mei 2010

KETUA POLIS NEGARA (KPN) PERLU LEBIH PROFESIONAL

·





Dewan PEMUDA PAS Pusat (DPPP) melahirkan rasa kesal dengan reaksi Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan membidas kritikan pelbagai pihak berhubung kematian remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah dalam satu kejadian di Shah Alam. Dalam kenyataannya, beliau berkata bersedia mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dalam keadaan yang mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya jika itu kehendak masyarakat.


Apakah itu jalan penyelesaian? Sepatutnya beliau sebagai KPN memikirkan apakah langkah yang paling sesuai dalam menangani permasalahan yang berlaku. Beliau harus melihat dari perspektif keselamatan rakyat bukan hanya tahu menyalahkan pihak lain. Bukankah beliau dibayar gaji yang tinggi sesuai dengan kedudukan beliau sebagai KPN harus bertindak atau menjawab soalan secara profesional? Atau rakyat marhaen pula yang harus memikul beban untuk  memberikan  jawapan serta memikirkan cara yang terbaik bagi pihak KPN? Kalau itu jawapannya, adalah lebih baik dibubarkan jawatan KPN daripada membazirkan wang rakyat membayar gaji yang tinggi kepada jawatan tersebut.



Oleh itu, DPPP berharap pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta KPN agar lebih profesional bukan sahaja dalam menjalankan tugas menjaga keamanan tetapi juga apabila berdepan dengan masyarakat. Jangan mudah melatah tetapi haruslah memikirkan jalan yang terbaik demi untuk keselamatan negara. Bertindaklah dengan adil berlandaskan undang-undang bukannya bertindak atas arahan pihak-pihak tertentu.


HJ NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI
KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails