Isnin, 3 Mei 2010

AS, Syria dan Iran

·

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton memberi amaran terbaharu kepada pemerintah Iran dan Syria yang baru-baru ini telah menunjukkan kesepakatan dan ancaman kepada Israel.

Kenyataan Clinton itu dibuat menjelang lawatan Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad ke New York, di tengah-tengah ketegangan berkaitan dakwaan pemindahan senjata canggih oleh Damsyik dan Tehran kepada Hizbullah di Lubnan, ancaman utama kepada Israel.

Hakikat bahawa kenyataan itu dibuat di majlis lobi Yahudi di AS menjelaskan retorik keras itu, tetapi Damsyik dan Tehran juga menunjukkan respons yang tidak sehaluan dengan kehendak AS di Asia Barat.

Kenyataan terbaharu ini meningkatkan suasana tegang di Asia Barat dan tekanan terhadap Damsyik dan Tehran yang kini berdepan tekanan untuk tidak membantu Hizbullah yang menjadi ancaman kepada Israel, sekutu utama AS di Asia Barat.

Syria tidak menunjukkan perubahan dalam pakatannya dengan Iran yang berusia lebih 30 tahun, malah dalam pertemuan Presiden Syria Bashar al-Assad dengan Naib Presiden Pertama Iran, Mohammad Reza Rahimi baru-baru ini, kedua-dua negara menunjukkan rancangan untuk mengukuhkan kerjasama diplomatik dan ekonomi.

Ujian terhadap hubungan Syria-Iran ini bukan pertama kali, dan mungkin bukan yang paling mencabar. Pada 1985, ketika Perang Iran-Iraq masih berlangsung, Syria yang berasa semakin terpinggir dalam dunia Arab mula memulihkan hubungan dengan Arab Saudi dan Jordan.

Tujuannya ialah mendapatkan bekalan minyak dan bantuan lain daripada Saudi ketika Iran menghentikan bekalan kepada Syria, dan membina hubungan dengan dunia Arab untuk mengelakkannya daripada terus tersisih, ketika Iran sendiri berdepan tekanan daripada dunia Arab dan masyarakat antarabangsa.

Pada masa itu, Damsyik juga tidak menunjukkan perubahan yang drastik, walaupun hubungan dengan Tehran tidak berada pada tahap yang baik, dan tawaran yang diberikan Riyadh menarik dari segi ekonomi.

Tahun-tahun 1980-an menyaksikan ujian getir kerjasama pakatan Syria-Iran, dengan isu-isu termasuk pertikaian dalam bekalan minyak Iran kepada Syria, dan pengendalian proksi-proksi kedua-dua negara di Lubnan.

Syria juga menanggung kos tersendiri dalam sikapnya menyokong Iran dalam perang dengan Iraq, terutama apabila Iran melakukan beberapa tindakan yang dilihat tidak bijak.

Iran juga, seperti hari ini, ketika itu ditekan melalui tindakan Arab Saudi meningkatkan pengeluaran minyak sehingga menjatuhkan harga di pasaran dunia, sekaligus mengurangkan pendapatan utama Iran pada masa itu.

Pada masa sama, Iraq terus disokong untuk menyerang Iran. Melalui dua tekanan itu, Tehran diharapkan akan tersepit dan akhirnya akan tunduk kepada tekanan dunia Arab ketika itu, yang diketuai Majlis Kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council, GCC) untuk menjadi orang tengah menyelesaikan konfliknya dengan Iraq.

Syria ketika itu dilihat sebagai pemain penting untuk mempengaruhi tindakan Iran. Kerjasama Syria untuk mempengaruhi Iran semakin diperlukan negara-negara Arab, terutama Saudi dan Kuwait pada 1986, ketika Iran berjaya menawan Semenanjung al-Faw, kawasan berpaya berdekatan Basra. Kedudukan tentera Iran tidak jauh daripada sempadan Saudi dan Kuwait membimbangkan kedua-dua negara.

Usaha negara-negara Arab untuk memisahkan Syria daripada Iran tidak mendatangkan hasil yang diharapkan, walaupun Damsyik menunjukkan beberapa perubahan sikap yang kecil.

Hari ini, pakatan Syria-Iran sekali lagi menunjukkan ketahanannya berdepan dengan pelbagai cabaran politik serantau.

http://politikpop.blogspot.com/

0 ulasan:

Related Posts with Thumbnails